Saturday, September 24, 2011

Berita: Akademi Teknologi Hijau & Restoran Hijau Dibina di Melaka


Kerajaan Negeri Melaka akan membina Akademi Teknologi Hijau dan Restoran Hijau yang pertama di Melaka yang terletak di Mukim Ayer Panas. Projek itu dijangka siap dalam tempoh setahun.


Akademi dan restoran tersebut dibangunkan oleh Yayasan Melaka di atas tanah milik yayasan itu yang berkeluasan 1.37 hektar dengan melibatkan kos pembinaan RM2.7 juta. Projek tersebut merupakan model Bandar Hijau yang pertama di negeri ini yang memperlihatkan kewujudan sebuah perbandaran baru yang mengguna pakai sepenuhnya teknologi hijau.



Beliau berkata bangunan pentadbiran akademi itu mempunyai keluasan 567 meter persegi merangkumi dewan, empat bilik, pantri, dan tandas. DAR menekankan bahawa projek tersebut akan dibangunkan dengan menggunakan konsep Kem Permata Resort yang terletak di Ayer Pa'abas di Alor Gajah. 


Projek Restoran Hijau pula memiliki keluasan 1,728 meter persegi meliputi pentas, bilik audio, ruang makan, dapur, ruang penyediaan dan tandas.


Kedua-dua bangunan tersebut bercirikan pembangunan teknologi hijau sebagaimana digariskan oleh Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) sebagai model pertama dibangunkan di Bandar Hijau.


Yayasan Melaka telah membelanjakan peruntukan sejumlah RM10.9 juta bagi membina jalan masuk sepanjang tiga kilometer ke akademi tersebut dari Kolej Yayasan Saad di Ayer Keroh.


Antara komponen pembangunan lain yang akan dibina di Bandar Hijau itu ialah Kolej Kejururawatan, Pejabat Pengarah Kesihatan Melaka, Akademi Percukaian, Pusat Rehabilitasi oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Pusat Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya.