Masjid Bukit Katil
Tahukah anda tentang sejarah dan asal usul nama Bukit Katil? Pembukaan awal
kampung berkenaan mempunyai keistimewaan tersendiri. Menurut Sidang Kampung Bukit Katil, Abdul Ghani Maarof, 63, beliau mengetahui sejarah awal pembukaan kampung berkenaan berdasarkan cerita yang disampaikan 'orang-orang tua' di situ secara turun-temurun mengenai
asal usul nama berkenaan.
Berdasarkan cerita disampaikan, penduduk
terdahulu dikatakan menemui batil emas (bekas simpanan air) seperti labu sayong
yang terletak di atas batu berbentuk seakan katil di atas puncak bukit di situ
(bukit terletak bersebelahan Sekolah Rendah Kebangsaan Dato' Demang Hussin).
Rumah Melaka (Pusat Perkayuan Negeri Melaka)
Penemuan batil emas di bukit terbabit
sekali gus membawa kepada terciptanya nama Bukit Katil yang digabungkan antara
bukit dan batu didakwa berbentuk seperti katil, selain bekas menyimpan air yang ditemui ketika itu. Nama Kampung Bukit Katil tercipta
selepas kemasukan pihak British ke Melaka pada waktu dahulu.
Kampung Bukit Katil meliputi empat solok iaitu Solok Bukit
Bayan, Solok Telok, Solok Tambak dan Solok Balik Hutan (kini dikenali sebagai
Solok Kampung Baru atau Kampung Desa Wawasan).
Bagaimanapun, berdasarkan fakta sejarah, kampung asal Bukit
Katil adalah Bukit Sama Tahu (selepas itu dikenali sebagai Solok Pantai) yang
terletak di pinggir pertemuan Sungai Gapam dan Sungai Ayer Panas (Sungai
Tehel).
Fakta sejarah juga mencatatkan pertemuan dua sungai
berkenaan yang bercantum dengan Sungai Duyong menjadi laluan askar kerajaan
Melayu Melaka yang lari daripada serangan tentera Portugis selepas kejatuhan Empayar Melaka.
Ketika melarikan diri, sebahagian daripada tentera kerajaan
Melaka ketika itu ada yang mudik ke Ulu Duyong manakala sebahagian lain pula
meneroka kawasan di pinggir pertemuan Sungai Gapam dan Sungai Ayer Panas
seterusnya membuka perkampungan di situ dan menamakannya Bukit Sama Tahu.
Menurut Sidang Abdul Ghani, berdasarkan pengetahuan silam seorang
penduduk, Allahyarham Dalip Said dari Solok Balik Hutan, asal asul pembukaan
Kampung Bukit Sama Tahu mempunyai versi yang agak unik apabila mereka yang mula
meneroka tempat berkenaan dikatakan terjumpa seekor kijang bertanduk emas.
Bagaimanapun, disebabkan pantang-larang orang dulu
kala yang pada masa itu dipegang teguh, maka mereka bertindak merahsiakan
perkara berkenaan sesama mereka dengan berjanji bahawa 'kita sama kita saja
yang tahu'.
Dengan itu, kampung yang dibuka di situ pada masa itu
diberikan nama Bukit Sama Tahu sempena rahsia disimpan di kalangan penduduk
asal terbabit," katanya mengisahkan serba sedikit sejarah kewujudan
Kampung Bukit Katil.
Selepas kampung berkenaan wujud barulah
penempatan lain di kawasan berdekatan mula diterokai penduduk lain. Sejarah mengenai asal usul Kampung Bukit Katil mendapat nama
tidak banyak berbeza dengan apa yang diceritakan seorang penduduk lain, Abu
Samah Mohd, 64.
Menurut cerita disampaikan kepadanya oleh bapa beliau, Mohd
Lamin, yang lahir pada 1918, moyangnya yang berhijrah dari Kedah dan menetap di
Kampung Pengkalan Badak mendapati sudah ada rumah atau penempatan penduduk di
kampung bersebelahan iaitu Kampung Bukit Katil.
Nama Bukit Katil berkemungkinan diperoleh penduduk
pertama yang menjumpai batil iaitu bekas menyimpan air ketika menebang pokok di
puncak bukit apabila mula meneroka kawasan di situ. Berkemungkinan juga penduduk pertama yang meneroka
kawasan bukit di sini menamakannya seumpama itu selepas menjumpai batil di atas
batu seakan bentuk katil sempena penemuan itu.
Sorotan sejarah juga menunjukkan penghubung laluan kampung
berkenaan untuk ke bandar Melaka pada masa lampau menggunakan laluan menerusi
Sungai Gapam dan Sungai Duyong. Manakala jalan asal kampung terbabit adalah jalan kereta
lembu yang digunakan penduduk dari Duyong melalui Solok Tambak ke Bukit Bayan
hinggalah ke Bukit Sama Tahu dan Balik Hutan.
Selepas penjajahan Inggeris pertama, maka pihak penjajah
bertindak membina jalan di lokasi sedia ada untuk kemudahan penduduk mengangkut
hasil getah dari Ladang Getah Bukit Katil Home Division ke bandar (pelabuhan)
manakala Jalan Bukit Katil diturap pada 1960.
Secara amnya, penduduk Kampung Bukit Katil pada waktu dulu
kebanyakannya menyara diri dengan menjual kayu api seperti kayu getah dan kayu
gelam untuk memasak dan dihantar ke bandar menggunakan kereta lembu termasuk
basikal yang ketika itu sebagai nadi pengangkutan utama. Selain itu, mereka
turut bercucuk tanam termasuk menanam padi.
Kawasan sekitar Kampung Bukit Katil pada suatu masa dulu
dikelilingi pokok getah dan sawah padi kini membangun dengan pesat apabila
dikelilingi pejabat agensi kerajaan seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ),
Jabatan Kimia, sekolah, taman perumahan termasuk masjid.
Malah, terdapat juga produk terbaru tarikan pelancong iaitu
Rumah Melaka yang menempatkan pelbagai perabot kayu dan tradisional daripada
seluruh negara kini diwujudkan di situ oleh kerajaan negeri.
Namun di sebalik pembangunan pesat, terdapat seorang tokoh
tempatan, Demang Hussin Maaji yang dikatakan pernah menabur bakti dengan
menyumbang peranan penting dalam pembangunan ilmiah sehingga namanya diabadikan
pada sebuah sekolah rendah.
Sekolah berkenaan dulunya dikenali sebagai Sekolah Melayu
Bukit Katil (sekolah atap diperbuat daripada kayu dan atap rumbia dan
berlantaikan tanah) dibina pada 1924, tetapi lokasi asalnya terletak di Solok
Tambak berhadapan Masjid Jamek Bukit Katil sekarang.
Ketokohan Demang Hussin Maaji terbukti apabila beliau ketika
hayatnya juga dikenali sebagai guru mengaji, guru besar sekolah diasaskannya
selain pernah dilantik sebagai Ketua Penghulu atau Demang bagi Mukim Bukit
Katil, Duyong dan Semabok di zaman penjajahan Inggeris.