Tuesday, October 19, 2010

Berita: Komited Bangunkan Teknologi Hijau MELAKA BINA WORLD SOLAR VALLEY-MOHD ALI

AYER KEROH, 27 Mei- Kerajaan negeri begitu komited dalam usahanya untuk membangunkan teknologi hijau dengan merancang pembinaan 'Melaka Solar Valley' di Kawasan Perindustrian Rembia.


Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata, Melaka akan ber
gerak ke arah penggunaan teknologi hijau secara progresif dan holistik sebagai asas pembangunan perbandaran dan komuniti di masa depan.


Beliau memberitahu, fasa pertama pembangunan Melaka Solar Valley kini membabitkan pembinaan kilang Solar Cell milik Sunpower Malaysia Sdn Bhd di tapak seluas 144 hektar di Kawasan Perindustrian Rembia dengan pelaburan RM2.5 bilion untuk fasa pertama yang dijangka siap pada September ini dan RM2 bilion lagi untuk fasa kedua.


Katanya, Melaka World Solar Valley yang membabitkan kawasan seluas 7,248.43 hektar bukan sahaja bakal memiliki kawasan perindustrian berasaskan solar, bahkan ia akan melibatkan pembangunan kawasan perdagangan dan perumahan yang dirancang dengan mengaplikasikan pengunaan teknologi hijau sepenuhnya.


"Kita mensasarkan untuk menjadikan Melaka World Solar Valley sebagai pengeluar utama panel solar dan menggunakan sepenuhnya teknologi hijau menjelang tahun 2020," kata Mohd Ali dalam sidang media selepas berucap di Taklimat Pendekatan Pembangunan 'Melaka World Solar Valley', hari ini.


Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Negeri Perindustrian, Perdagangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Md Yunos Husin; Yang DiPertua Majlis Perbandaran Alor Gajah, Nordin Ali; Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM), Zainal Abu serta Ketua Pegawai Eksekutif, Jabatan Penyelidikan dan Pembangunan Jabatan Ketua Menteri Melaka (JPPJKMM), Prof. Madya Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah.


Katanya, pembangunan Melaka World Solar Valley juga bakal meningkatkan tahap ekonomi di Daerah Alor Gajah dengan melahirkan ramai usahawan industri solar dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan baru.


"Walaupun kos membangunkan tenaga solar dijangka lebih tinggi iaitu empat kali ganda berbanding tenaga elektrik, namun kita perlu bersungguh-sungguh menerokai industri yang berpotensi untuk pasaran dunia ini dengan terbabit secara langsung sebagai pengeluar panel solar sebagai melengkapi produk solar cell yang dihasilkan oleh Sunpower," kata Ketua Menteri.


Mohd Ali memberitahu, selain melihat kepentingan ekonomi untuk jangka panjang, pembinaan Melaka World Solar Valley juga mempunyai banyak kepentingan yang akan diperolehi oleh penduduk di kawasan tersebut termasuk alam sekitarnya yang lebih bersih dan tahap kesihatan yang lebih baik.


Kepada soalan lain, Ketua Menteri berkata, Melaka sanggup menjadi pembekal tenaga elektrik yang dijana oleh tenaga solar atau toknologi hijau yang lain sekiranya ada permintaan dari Tenaga Nasional Berhad (TNB)
"Adalah satu langkah yang bijak sekiranya tenaga solar dibangunkan seiring dengan pembangunan tenaga nuklear yang sedang dirancang olehkerajaan kerana dengan sumber uranium yang terhad, dua sumber ini dapat membantu antara satu sama lain dalam menjana tenaga elektrik untuk keperluan rakyat selaras dengan Kerajaan membangunkan sektor teknologi hijau di Malaysia seperti yang ditekankan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak," kata Mohd Ali.


Sebanyak tiga kertas kerja dibentangkan pada taklimat tersebut iaitu 'Introduction to Sustainable Development & Alternative Energy' (Dr. Nurul Muiz Murad) ; 'Solar Valley- Local Implementation & Role of Locan Government' (Farouk Abdul Khalid) dan 'Solar Power & Solar Vally' (Prof. Dr. Kamaruzzaman Sopian).