Wednesday, December 01, 2010

Homestay: Homestay Kampung Ayer Limau

Pada penghujung tahun lepas, Melaka mempunyai satu lagi homestay terbaru di daerah Alor Gajah iaitu Homestay Kampung Ayer Limau, Masjid Tanah yang berdekatan dengan Homestay Seri Tanjung. Homestay Ayer Limau menawarkan pelbagai aktiviti tradisional kepada pengunjung dari dalam dan luar negara. Riqq bersama-sama dengan beberapa staff Bahagian Promosi Pelancongan Melaka telah mengunjungi homestay tersebut beberapa hari sebelum majlis perasmiannya oleh TYT Melaka. Riqq tidak menyangka telah menerima kad undangan ke majlis perasmian homestay tersebut namun tidak dapat hadir atas sebab-sebab tertentu. Homestay Kampung Ayer Limau bukan sahaja bersih, indah malah penduduknya ramah tamah dan mengalu-alukan pengunjung yang datang tanpa mengira bangsa dan agama.

Kampung Ayer Limau telah dibuka sekitar tahun 1820. Antara orang pertama yang telah meneroka kampung ini adalah Datuk Penghulu Tua yang berasal dari Melekek. Kawasan yang mula-mula dibuka ialah Solok Ayer Limau atau Solok Pokat yang telah dikenali kini sebagai Jalan Haji Hassan. Asalnya Kampung Ayer Limau terletak bermula dari hujung pekan Masjid Tanah meliputi Kampung Pinang hinggalah ke Kampung Bukit Apit yang bersempadan dengan Kampung Rantau Panjang

Setelah berlaku persempadanan semula maka pada hari ini Kampung Ayer Limau terletak di tengah-tengah antara kedua-dua kampung tadi iaitu bermula dari Sungai Ayer Limau hinggalah ke Sekolah Kebangsaan Ayer Limau yang meliputi kawasan seluas kira-kira 7 km persegi. Pada hari ini jarak Kampung Ayer Limau hanyalah lebih kurang 1 km sahaja dari pekan Masjid Tanah.

Kami dijemput berkunjung ke rumah pengerusi Homestay Kampung Ayer Limau, Encik Zohaime terlebih dahulu. Cantik rumahnya! Sengaja dibina baru dengan bentuk rumah tradisional Melaka. Kosnya telah menelan hampir setengah juta dengan bahan binaan dan pengukir dari Terengganu. Kemasan lantai dan perabot dibuat dengan terperinci bagi menyesuaikan dengan konsep rumah.

 Pengerusi Homestay Kampung Ayer Limau, Kak Yati, Haji Shariman (Pengerusi Persatuan Homestay Malaysia berbaju kuning dan rakannya berbaju biru) sedang berbincang sesuatu 

Encik Hafiz dan anak pengerusi homestay, comelkan budak ni. Petah bercakap

Rumah pengerusi Homestay Ayer Limau yang dibina mengikut seni bina rumah tradisional Melaka, siap dengan tangga batu, peran (loteng), kekisi, anjung dan berandah

Sebuah kolam pancing yang baru siap di sebelah rumahnya

Kak Yati sedang menulis kad jemputan dan membuat senarai jemputan

Pintu masuk rumah dengan ukiran ala bali

 Bunting Homestay Ayer Limau

Ruang tamu rumah pengerusi homestay

 Bilik penginapan di rumah pegerusi

 Twin bed

Berandah tempat bersantai

 Puan Lim Swee Kiang, Pengurus Promosi Domestik BPP
dan Haji Shariman

Tangga batu dan anjung, elemen penting rumah Melaka

Reban ayam, itik dan angsa

Salah satu aktiviti menarik yang boleh didapati dan dirasai oleh para pengunjung Homestay Kampung Ayer Limau adalah aktiviti 'Dancing on the Leaves'. Di Homestay Ayer Limau, terdapat banyak kolam-kolam ternakan ikan terutamanya ikan keli. Pemilik kolam tersebut akan menabur makanan ikan berbentuk palet di atas daun pokok teratai. Ikan-ikan keli akan naik dan melompat-lompat ke atas daun-daun teratai dan menghabiskan palet tersebut. Gerakan ikan-ikan tersebut yang menangkap palet seakan-akan menari dengan irama tersendiri sangat menarik perhatian. 

 'Dancing on the leaves'

 Ikan keli menghabiskan palet yang ditabur di atas daun teratai

Sekelip mata sahaja palet dapat dihabiskan

Kolam asuhan yang menempatkan anak-anak ikan keli


Pokok teratai sengaja ditanam di kolam-kolam ikan keli untuk perlindungan daripada burung pemangsa, panas matahari dan untuk aktiviti 'Dancing on the Leaves'

Kolam asuhan ikan patin

Kolam ternakan ikan patin

Puan Lim, Kak Yati, Haji Shariman dan pemilik kolam ternakan ikan

Kak Yati memberi sedikit penerangan kepada Puan Lim

Pemandangan indah yang menghijau

Tempat ternakan kambing Boer yang berhampiran dengan kolam-kolam ikan 

Sebuah Pondok yang dibina untuk majlis perasmian, digunakan untuk demonstrasi anyaman tikar, atap dan rotan

Antara produk kraftangan Homestay Ayer Limau yang dihasilkan daripada mayang kelapa seperti beca dan lampu dinding

Demonstrasi anyaman tikar mengkuang

Demonstrasi pembuatan atap rumbia

Anyaman bekas dodol atau dikenali sebagai topong oleh penduduk di selatan Melaka dan tampin di bahagian utara

Encik Hafiz sempat menempah dodol topong untuk Hari Raya

Puan Lim dan Encik Hafiz sedang melihat rupa sebenar topong untuk bungkusan dodol

Anyaman atap rumbia

Persediaan untuk hari perasmian, khemah-khemah akan dipasang di sini; Kak Yati

Tengok macam senang hendak anyam atap tetapi rumit juga, duri daun rumbia perlu dibuang terlebih dahulu dan daun tadi akan dianyam satu persatu menggunakan sejalur buluh

Peramah sungguh Mak Cik ni, dengan loghat pekat Melakanya.

Begini caranya...

Daun perlu dianyam rapat barulah tidak mudah tanggal kalau ditiup angin

Daun mengkuang perlu dilayur sebelum dianyam

Demonstrasi pembuatan kuih denderam

Kuih denderam Kampung Ayer Limau sangat lazat, maklumlah orang lama yang buat


Suasana kampung yang cantik dan unik

Demonstrasi pembuatan produk berasaskan anyaman rotan

Anyaman dilakukan dengan teliti, barulah produk berkualiti dapat dihasilkan

Mak cik ni antara yang paling handal menganyam rotan, cepat betul dia menganyam

Menarik kan Homestay Kampung Ayer Limau ni. Jika anda berminat untuk menyertai program homestay di Kampung Ayer Limau, anda boleh menghubungi Encik Zohaime, 012-6822707 atau faks di 06-3851080 dan e-mail mereka di admin@ayerlimauhomestay.com

Alamat:
Bilik Gerakan JKKK,Balai Raya Kampung Ayer Limau
78300 Masjid Tanah
Melaka


Artikel Utusan Online

Damai di Inap Desa Ayer Limau


BAGI warga kota yang inginkan kelainan ketika bercuti mahupun menikmati suasana kampung yang mendamaikan, apa kata anda mencuba percutian secara inap desa.

Percutian inap desa kini merupakan salah satu produk pelancongan yang semakin mendapat tempat di hati pelancong dalam serta luar negara.

Ini kerana percutian yang mendamaikan serta suasana kampung yang mengasyikkan menjadi tarikan utama pelancong-pelancong hari ini.

Apa yang menarik mengenai percutian di inap desa ialah ia bukan sekadar untuk merehatkan diri serta menikmati panorama kampung yang nyaman malah para pelancong turut berpeluang menginap bersama penduduk yang menjayakan program inap desa untuk mengenali dengan lebih dekat mengenai sosio budaya masyarakat setempat.

Bagi mereka yang teringin merasai masakan serta kehidupan orang Melaka, apa kata anda mengunjungi Homestay Kampung Ayer Limau, Masjid Tanah, Melaka.

Pelbagai aktiviti bakal disajikan kepada para pelancong seperti tarian tradisional, pertunjukan kompang, permainan tradisional, pembuatan kraftangan, kuih serta makanan tradisional. Sekiranya mereka bernasib baik mereka akan merasai pengalaman kenduri kahwin ataupun majlis mendodoi anak.

Inap desa ini juga merupakan inap desa kelima di negeri Melaka yang dijadikan antara salah satu produk pelancongan terbaru di negeri itu.

Mempunyai 217 buah rumah dengan jumlah penduduk seramai 1,327 orang, program inap desa Kampung Ayer Limau telah dilancarkan buat pertama kalinya pada bulan Ogos 2009 oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop.

Daripada jumlah tersebut, seramai 18 penduduk terlibat dengan program tersebut yang secara tidak langsung dapat menambahkan pendapatan mereka daripada perkhidmatan yang diberikan kepada pelancong.

Perkampungan tersebut yang telah dibuka sekitar tahun 1820-an, kini mempunyai pelbagai seni bina rumah yang terdiri daripada rumah Melaka, rumah Limas serta rumah banglo batu.

Penduduk di sini rata-ratanya bekerja sebagai petani, penternak ikan air tawar ataupun penternak kambing.

Anda pastinya teruja apabila dapat bermalam bersama penduduk kampung di dalam rumah tradisional masyarakat Melaka yang sejuk dan nyaman.

Meninjau ke dalam bilik-bilik penginapan, lazimnya susun aturnya hampir sama di mana katil, almari, kerusi rehat dan meja solek sudah memadai.

Tuan rumah pastinya tidak kalah menghias rumah, maklumlah hendak menyambut tetamu jauh. Sudah menjadi kebiasaan langsir beropol dan cadar kapas dengan warna terang menjadi pilihan untuk menambah seri.

Pastinya semua itu mengingatkan serta menggamit pelancong kepada kampung halaman sendiri.

Selain mengisi waktu dengan mendekati masyarakat setempat dan mencuba pelbagai produk kampung, para pelancong yang bermalam di Kampung Ayer Limau juga berkesempatan untuk menghargai seni bina rumah lama.

Memang bertuah bagi tetamu yang berpeluang bermalam di dalam salah sebuah rumah utama yang dibina daripada kayu jati bermutu tinggi.

Bukan sahaja kerana penampilannya yang mewah seumpama istana lama, ia lengkap dengan hiasan seperti pintu gerbang, jendela dan rabung yang berukir motif alam Nusantara.

Seperkara lagi yang pastinya terpahat di ingatan bagi mereka yang memilih untuk bercuti secara inap desa ialah tuan rumah serta orang kampung yang terlibat akan melayan tetamu seperti sanak saudara sendiri.

Ini kerana selain tumpang bermalam, para tetamu juga akan dihidangkan dengan sarapan, makan tengah hari, makan petang, makan malam serta makan lewat malam.

Boleh dikatakan anda tidak akan 'kebulur' apabila tinggal bersama-sama penduduk Kampung Ayer Limau, Melaka.

Bukan itu sahaja, malah apabila tiba masa untuk mengucapkan selamat tinggal, tentunya pengunjung akan diberikan cenderahati untuk dijadikan kenangan sepanjang berada di sana.

Pengerusi inap desa kampung berkenaan, Zohaime Muhamad Sori, 42, berkata, setiap pelancong dalam dan luar negara yang berkunjung ke kampung berkenaan boleh mengambil pelbagai pakej yang disediakan dengan bayaran serendah RM65 seorang dan semalam.

Dengan bayaran berkenaan, pelancong mendapat layanan istimewa seperti tempat tidur yang selesa serta masakan kampung.

Bagi mereka yang memilih untuk turut serta dalam pelbagai aktiviti yang disediakan untuk program inap desa itu seperti sukan rakyat, aktiviti menangkap ikan, aktiviti bermesra dengan kambing, demonstrasi membuat kuih tradisional, anyaman rotan dan mengkuang, lawatan ke ladang buah (ikut musim) serta menyaksikan pertunjukan malam kebudayaan, para pelancong akan dikenakan bayaran sebanyak RM130 hingga RM140 semalam (seorang).

Bagi mereka yang berminat untuk merasai sendiri pengalaman bermalam di Kampung Ayer Limau, Melaka, anda boleh hubungi Zohaime di talian 012-6822707 atau emailkan sebarang pertanyaan ke zohaime @gmail.com.