Tuesday, October 19, 2010

Culture: Pesta Intrudu

Pesta Intrudu (Petikan akhbar KOSMO!)


APABILA sudah masuk ke kawasannya, janganlah marah apabila tiba-tiba anda diserang bertubi-tubi dengan air oleh sepasukan penduduk kampung.


Pesta air yang disambut oleh masyarakat Portugis di Melaka menyerupai pesta air di Thailand.
Lucunya apabila ada antara mereka yang sanggup mengangkut bergelen-gelen air semata-mata untuk ‘mengenakan’ mereka yang tidak basah.


Penangan pesta air itu bukan calang-calang kerana lebih 1,200 orang penduduk di Kampung Portugis di Ujong Pasir turun pandang bagi menyambutnya apatah lagi pesta air itu dianggap pengikat kasih sayang sesama penduduk kampung.


Lebih meriah apabila pesta air pada tahun ini kebetulan jatuh ketika masyarakat Cina sedang bergembira menyambut perayaan Tahun Baru Cina. Ketua Kampung Portugis, Peter Gomez, berkata, penganjuran pesta itu sudah menjadi acara tradisional masyarakatnya yang diperkenalkan di Melaka sejak 1930.
Malah acara hebat itu tidak pernah luntur kerana saban tahun penduduk kampung akan sentiasa bersiap sedia untuk menyambut acara paling meriah itu.


“Intrudu adalah salah satu daripada perayaan kaum Portugis yang kami kekalkan kerana keunikannya. Namun kami juga masih menyambut acara kebudayaan lain seperti Pesta San Pedro yang akan dirayakan pertengahan tahun ini,” katanya ketika ditemui Kosmo!.


Menurut Peter, pesta Intrudu bukan sahaja disambut dengan cara menyimbah air semata-mata, tetapi sambutan itu turut diserikan dengan acara menjual kuih-muih, sukaneka dan tari-menari yang disifatkan sebagai acara simbolik berakhirnya pesta itu.


“Pesta ini bukan sahaja menjadi amalan tradisional masyarakat Portugis tetapi juga menjadi salah satu cara untuk mengeratkan ikatan sesama penduduk yang selama ini jarang berjumpa kerana sibuk dengan tugas masing-masing,” katanya.


Kepada rakyat Malaysia, pesta air di Kampung Portugis secara tidak langsung menjimatkan kos mereka untuk merasai pesta itu. Mereka tidak perlu lagi ke Songhkla, Thailand sebaliknya mereka boleh ke Melaka untuk menyertai pesta itu.


“Tiada halangan untuk menyertai pesta terbabit kerana kami menerima sesiapa sahaja yang ingin rasa disimbahi air dan tunggulah penangannya,” kata Peter.
Pesta Intrudu sentiasa disambut meriah setiap tahun oleh kaum Portugis di seluruh dunia.


Mengikut ajaran agama mereka, Pesta Intrudu diadakan sempena sambutan bulan puasa oleh masyarakat Portugis yang berlangsung selama 40 hari mengikut kalendar masyarakat tersebut.


Apa yang unik mengenai pesta itu ialah cara pesta tersebut disambut apabila seluruh penduduk keluar dari rumah masing-masing secara beramai-ramai dan menyimbah air sesama mereka tanpa mengira sesiapa.
Bagi kaum Portugis, pesta Intrudu merupakan satu acara simbolik untuk memberi peluang kepada penduduk bersuka ria sebelum bulan puasa bermula.


Meriah


Dimulakan seawal pukul 9.30 pagi disusuli loceng yang berbunyi sebagai tanda acara telah bermula, sudah cukup membuatkan penduduk-penduduk begitu gemuruh dan tidak sabar untuk menyimbah air.
Selepas semua penduduk keluar, bermulalah acara simbah-menyimbah. Kebanyakan penduduk hanya memakai baju seksi ala bersantai di tepi pantai.


Suasana semakin meriah apabila penduduk kampung itu terutama kanak-kanak dan remaja dilihat berkejaran. Lebih menarik, mak cik-mak cik juga tidak ketinggalan untuk menyertai upacara itu.
Namun malang bagi sesiapa yang melintas. Mereka akan menjadi mangsa simbahan air. Apa yang penting mereka mesti sporting apabila disimbah air.


Bukan hanya orang yang menjadi mangsa simbah air, mana-mana kereta yang masuk secara sengaja atau tidak turut akan merasai kemeriahan acara itu walaupun hanya dari dalam kereta.
Apabila pemandu kereta tidak mengunci pintu, sudah pasti kereta dan penumpangnya akan menjadi mangsa acara tersebut selepas pintu kereta dibuka.


Kebanyakan penduduk menggunakan pelbagai cara bagi memastikan setiap penduduk kampung itu wajib dibasahi air, antaranya menggunakan pili atau belon berisi air.
Tidak cukup dengan itu ada yang sanggup menggunakan motosikal sambil membawa baldi lalu dicurahkan pada mana-mana mangsa yang dirasakan perlu dibasahi. Sudah tentu orang luar yang menyertai pesta itu menjadi mangsa mereka.


Rupa-rupanya pistol air juga mendapat pilihan apabila ia paling digemari kanak-kanak yang lebih selesa menembak mangsa mereka menggunakan pistol air itu.
Itu baru bab penduduk kampung yang menyertai pesta berkenaan, lain pula halnya bagi pelancong yang tidak tahu menahu mengenai pesta air unik ini.


Akibatnya, mereka ‘dibuli’ oleh penduduk kampung yang bertindak membasahkan mereka.
Mulanya ada yang marah kerana tidak sangka baju cantik yang dipakai untuk bersiar-siar di kampung itu habis basah, namun selepas itu mereka berubah fikiran apabila mereka pula agresif dengan membuat serangan balas kepada penduduk.


Bagi seorang pelancong dari Switzerland, Monica Monique, 63, perasaan teruja dengan acara tersebut sukar digambarkan dengan kata-kata.


“Ini kali pertama saya menyertai pesta ini, dan sudah tentu dari jauh saya terbang tidak lengkap rasanya jika saya tidak basah dan apa yang penting hati saya puas dapat siram air pada orang,” katanya ketika ditemui.
Seorang lagi pelancong dari India, Rajesh Kumar, 40, berkata, dia asalnya tidak tahu akan dibasahkan selepas masuk ke kampung ini.


“Tiba-tiba datang seorang lelaki lalu terus menyimbahi badan saya dan ketika itu rasa geram pun ada,” katanya.
Namun kurang lima saat, Rajesh memberitahu dia terus membuat serangan balas dan baru tahu tidak lengkap apabila baju tidak basah.


“Ini merupakan pesta paling seronok sepanjang saya berada di negara ini,” katanya.