Pemilik kereta lembu yang rata-ratanya terdiri daripada masyarakat tani dari seluruh Melaka akan berhimpun dan mengambil bahagian. Setiap tahun pada malam Rabu akhir bulan Safar mereka akan membanjiri sepanjang pantai Tanjung Keling dengan membawa kumpulan mereka. Beberapa minggu sebelum tibanya hari tersebut, lembu-lembu ini akan dibersihkan dan disapu minyak. Di samping itu mereka akan mengumpulkan alat muzik seperti biola, gong dan gendang bagi mengiringi mereka nanti.Semasa dalam perjalanan mereka akan mengesek biola, memukul gendang dan gong serta menyanyi sepanjang jalan sehingga ke Tanjung Kling. Mereka akan menyanyi sambil berbalas pantun dalam berbagai corak pantun.