Produk Pelancongan Terbaru : Sungai Rambai River Cruise (SRRC)
Melaka Cadang Bina Jambatan Baru Di Sungai Rambai Bagi Projek Pelancongan
JASIN, 26 Jun (Bernama) -- Melaka akan mendapatkan persetujuan kerajaan negeri Johor bagi merobohkan jambatan Sungai Rambai dan membina semula sebuah jambatan konkrit bagi menaik taraf produk pelancongan terbaru, 'Sungai Rambai River Cruise' (SRRC).
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Negeri, Datuk Seet Har Cheow, berkata jambatan lama yang menghubungkan Sungai Rambai dan Muar itu menyukarkan laluan bot pelancongan untuk sampai sehingga ke muara Sungai Rambai.
Bagi mendapatkan persetujuan itu, katanya, mesyuarat awal peringkat Dewan Undang Negeri (DUN) akan diadakan dalam masa terdekat ini antara Ahli DUN Sungai Rambai, Hassan Abd Rahman dengan Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman, yang juga ADUN Serom.
"Peruntukan bagi meroboh dan membina jambatan baru itu mungkin dari kerajaan pusat atau kedua-dua kerajaan negeri," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke SRRC di Dataran Rekreasi Sungai Rambai pada hari Sabtu.
Seet berkata Kementerian Pelancongan juga telah memperuntukan RM500,000 untuk menaik taraf kawasan SRRC termasuk membina jeti baru, restoran dua tingkat, taman permainan dan gelanggang futsal.
Katanya projek menaik taraf itu dijangka siap pada 15 Sept ini.
SRRC, yang menyamai Melaka River Cruise, dilancarkan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam pada 4 Jun lalu bagi merancakkan kedatangan pelancong di pintu masuk gerbang selatan Melaka.
Terletak kira-kira 40 kilometer dari bandar Melaka, SRRC menawarkan orang ramai menyusuri sungai dengan menikmati suasana di jeti nelayan, menyaksikan flora fauna dan hutan paya bakau yang unik yang masih tidak terusik.
Laluan yang disusuri sejauh 14 kilometer (pergi dan balik) dari Dataran Rekreasi Sungai Rambai hingga ke muara Kuala Kesang dengan perjalanan memakan masa selama satu jam.
SRRC mengadakan operasi setiap hari dengan menyediakan bot yang boleh memuatkan lapan hingga 10 penumpang pada satu-satu masa dengan kadar bayaran RM5 seorang bagi kanak-kanak bawah 12 tahun dan RM10 untuk orang dewasa.
-- BERNAMA