Wednesday, October 20, 2010

Menarik: Beca gunakan tenaga solar diperkenal di Melaka

MELAKA 19 Okt. - Lazimnya apabila berkunjung ke negeri ini dan berpeluang menaiki beca di Banda Hilir, pastinya kita merasa sayu melihat warga emas mengayuh beca membawa penumpang.
Kesayuan itu lebih bertambah apabila melihat mereka memerah tenaga untuk mengayuh sedangkan muatan yang dibawa amat berat apatah lagi dengan usia yang kian meningkat.

Namun perkara itu bakal berubah apabila perkhidmatan beca menggunakan tenaga solar akan diperkenalkan penggunaannya di negeri ini tidak lama lagi.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Datuk Seet Har Cheow berkata, kerajaan negeri berminat untuk memperkenalkan beca menggunakan tenaga solar bagi menambah tarikan pelancong ke negeri ini.

Katanya, kerajaan negeri akan berbincang dengan Persatuan Beca Negeri Melaka bagi memberi penerangan mengenai penggunaan tenaga solar pada beca masing-masing.
''Pengunaan tenaga solar tidak akan menjejaskan keunikan beca kerana bentuk fizikal beca masih kekal seperti biasa cuma penambahan panel solar di atas bumbung beca sahaja.

''Perkhidmatan ini mampu bergerak lebih jauh dan memberikan keselesaan kepada penumpangnya dan yang lebih penting pengayuh beca tidak akan merasa penat," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengiringi Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam melihat beca menggunakan tenaga solar di Stadium Hang Jebat di sini hari ini.

Har Cheow berkata, bagi tujuan tersebut anak syarikat kerajaan negeri ICM Corporation Sdn. Bhd. akan bekerjasama dengan HNH Technology Sdn. Bhd. untuk menyediakan panel solar untuk digunakan oleh setiap beca.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif HNH Technology Sdn. Bhd., Zainoor Hashim berkata, salah satu keistimewaan yang dimiliki beca menggunakan tenaga solar ialah pengayuh beca tidak perlu mengecas bateri mereka jika ingin bergerak.

Sebaliknya kata beliau, pengayuh beca hanya perlu menggerakkan beca mereka di kawasan yang mendapat cahaya matahari dan panel solar akan secara automatik mengecas bateri.

''Daripada bateri ia akan disalurkan kepada magnetik motor yang dipasang di tayar hadapan dan secara automatik beca akan bergerak dengan memulaskan panel minyak beca," katanya.
Beliau menambah, panel solar yang disalurkan kepada bateri mampu bertahan selama 12 jam dengan kadar kelajuan antara 15 hingga 20 kilometer sejam.

''Buat masa ini syarikat saya akan bekerjasama dengan ICM Cooperation Sdn. Bhd. untuk mengeluarkan tiga model panel solar berkuasa 1,000 watt, 750 watt dan 500 watt," katanya.
Zainoor menambah, bagi 1,000 watt ia berharga antara RM4,000 hingga RM5,000, bagi 750 watt pula bernilai RM3,000 hingga RM4,000 dan 500 watt pula berharga RM3,000.

Katanya, kerajaan negeri telah mengarahkan syarikatnya untuk mempatenkan panel solar tersebut.



--UtusanOnline