Sunday, October 17, 2010

Produk Pelancongan Terbaru : Sungai Rambai River Cruise (SRRC)

Sungai Rambai River Cruise tarikan baru pelancongan 


JASIN 5 Jun – Sebut sahaja Sungai Rambai mungkin ramai yang tidak mengenali kawasan tersebut berbanding Bandar Hilir yang menempatkan pelbagai produk pelancongan yang menjadi tarikan pelancong dalam dan luar negara untuk datang ke Melaka.

Namun kini, kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai yang terletak kira-kira 40 kilometer di sempadan Muar di gerbang Selatan kini mampu diletakkan di dalam peta pelancongan.

Terbaru, Sungai Rambai River Cruise menjadi produk pelancongan terbaru diperkenalkan di kawasan tersebut untuk menjadikan daerah itu turut dikunjungi orang ramai pada cuti hujung minggu atau cuti umum.

Jika menaiki bot Melaka River Cruise di Taman Rempah, anda berpeluang menikmati pemandangan bangunan-bangunan sejarah.

Namun dengan menggunakan perkhidmatan Sungai Rambai River Cruise, pengunjung berpeluang menikmati hutan paya bakau daripada pelbagai spesies.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai, Hasan Rahman berkata, dengan menaiki Sungai Rambai River Cruise, orang ramai berpeluang menikmati suasana kampung dan menyaksikan flora serta fauna di samping hutan paya bakau yang unik di sepanjang laluan tersebut.

”Laluannya cukup mencabar kerana mempunyai banyak selekoh dan perjalanan memakan masa selama satu jam menyusuri sungai Rambai sejauh 7 kilometer dari Dataran Rekreasi Sungai Rambai hingga ke muara Kuala Kesang.

”Selain itu, pengunjung dapat melihat pelabuhan barter trade yang masih wujud di sini di mana urusan pertukaran barangan dengan pedagang-pedagang dari Bukit Tinggi dan Dumai Indonesia dijalankan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian Sungai Rambai River Cruise yang telah disempurnakan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam di Dataran Rekreasi Sungai Rambai dekat sini semalam.

Menurutnya, bot yang menggunakan enjin 115 kuasa kuda boleh memuatkan lapan hingga 10 penumpang pada satu-satu masa.

”Buat masa ini kita menyediakan dua perkhidmatan Sungai Rambai River Cruise yang beroperasi setiap hari dengan kadar bayaran RM8 seorang pada hari biasa dan RM10 khususnya pada hujung minggu dan cuti umum,” ujarnya.

Sehubungan itu Hasan berkata, dengan wujudnya produk terbaru itu ia akan dapat menjana ekonomi penduduk setempat bagi menambah pendapatan harian mereka.

Usaha menambah nilai produk pelancongan di kawasan tersebut katanya, untuk menyahut saranan kerajaan negeri agar setiap DUN di negeri ini turut memperkenalkan produk pelancongan untuk menarik kunjungan pelancong dari dalam dan luar negara.

Dipetik dari Utusan Malaysia