Sunday, October 31, 2010

Berita: Projek Melaka Alive Bahtera Merdeka 5D


Pernahkah anda menonton wayang dengan air menjadi layarnya?

Seperti tidak masuk akal tetapi itulah produk pelancongan terbaru dikenali sebagai Melaka Alive Bahtera Merdeka 5D (dulu dikenali Dataran Cahaya dan Bunyi) yang sedang dibangunkan berhampiran Dataran Pahlawan Megamall, Banda Hilir di sini.

Projek yang menelan belanja RM21 juta itu merupakan sebuah panggung wayang yang menggunakan tirai air sebagai layar dan dibangunkan di atas sebuah kapal dikenali sebagai Bahtera Merdeka.

Keunikan menonton wayang dengan air menjadi layar adalah yang pertama dibina di Asia menggunakan gabungan teknologi dari United Kingdom, Itali dan Amerika Syarikat (AS).

Projek itu dibangunkan dengan usahasama Syarikat Sarner IXL Sdn. Bhd. dan Perbadanan Muzim Melaka (Perzim).

Ketua Pegawai Eksekutif Sarner IXL Sdn. Bhd., Suffian Afendi Ahmad Apandi berkata, Melaka Alive Bahtera Merdeka 5D merupakan panggung wayang paling unik pernah dibina di negara ini kerana menggunakan tirai air sebagai layar.

Lebih menarik, katanya, orang ramai akan menonton wayang di atas sebuah kapal yang dibina khas mirip kapal yang digunakan pada zaman Kesultanan Melayu Melaka dikenali sebagai Bahtera Merdeka.
''Wayang yang akan ditayangkan mengisahkan kisah sejarah silam sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka hingga negara mencapai Kemerdekaan.

''Tidak hanya menonton wayang dengan air menjadi layar tetapi ia turut dilengkapi dengan kesan khas seperti bunyi letupan, percikan api, tiupan angin, asap, gegaran dan sebagainya.

''Di samping itu, ia turut dilengkapi dengan jaluran cahaya digital yang akan mengikut rentak filem yang ditayangkan serta dibantu oleh sistem audio termoden menggunakan teknologi dari Itali," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Suffian Afendi berkata, bahtera yang sedang dibina itu mampu memuatkan kira-kira 320 penonton untuk setiap tayangan.

Katanya, Melaka Alive Bahtera Merdeka 5D dibangunkan mirip seperti yang terdapat di Las Vegas, Amerika Syarikat.

Menurutnya, orang ramai akan merasai seolah-olah berada di zaman Kesultanan Melayu Melaka ketika menonton wayang itu kerana dibantu oleh kesan khas, jaluran cahaya digital dan sistem audio.

''Inilah keunikan Bahtera Merdeka yang pertama terdapat di Asia. Melaka Alive Bahtera Merdeka bakal menjanjikan pengalaman paling unik kepada orang ramai," katanya.

Projek itu, katanya, telah pun bermula sejak menandatangani perjanjian dengan Perzim pada 10 Ogos lalu dan dijangka siap sepenuhnya April tahun depan.

Beliau berkata, itu merupakan projek fasa pertama dan bagi fasa kedua pula pihaknya akan menaiktaraf empat muzium di bawah pengurusan Perzim melibatkan kos sebanyak RM41 juta.

--UTUSAN


ILUSTRASI pelukis menunjukkan layar air dijadikan wayang secara 5D bagi Projek Melaka Alive Bahtera Merdeka 5D di Dataran Pahlawan Banda Hilir Melaka.