Saturday, October 30, 2010

Dances: Tarian Istana Lama, Ceracap Inai


Tahukah anda terdapat banyak tarian-tarian asli yang berasal dari Istana Melaka? Berikutan terjadinya peperangan antara Melaka dengan Portugis, Sultan Mahmud Shah, para pembesar dan sida-sida telah berundur ke Muar. Persembahan-persembahan tarian tersebut turut dibawa bersama-sama mereka. Salah satu tarian Istana Melaka yang sangat unik dan sudah tidak ditarikan di Melaka kini adalah tarian Cerecap Inai. 
Tarian Ceracap Inai ini hanya ditarikan di hadapan Sultan, kerabat diraja dan pembesar-pembesar negeri di dalam sesuatu majlis keramaian diraja. Oleh kerana itu, Tarian Ceracap Inai mempunyai unsur-unsur 'menyembah duli' (sembah/ampun), bertujuan untuk merendahkan diri kepada golongan bangsawan.Tarian ini ditarikan di balai penghadapan dan balairung seri istana oleh penari-penari, dayang-dayang dan penghibur diraja.



Tarian Ceracap Inai dipersembahkan dengan hiasan seperti 'bunga emas dan perak bertempawan' dan para penari akan membawa sepasang talam ceracap yang bercahayakan api lilin yang memberikan erti membawa kepada sinaran kebahagiaan dan kesejahteraan. 
Tarian ini asalnya ditarikan oleh bilangan penari yang ganjil seperti 5, 7, 9, 11 dan 13 orang atau boleh juga ditarikan secara berpasangan oleh penari lelaki dan wanita dan boleh juga ditarikan oleh penari-penari wanita sahaja. Kini, tarian ini amat terkenal di Kampung Baru Lenga, Batu 28, Lenga di Daerah Muar yang pernah menjadi tempat persinggahan Sultan Mahmud Shah.