Tuesday, October 19, 2010

History: Daerah Jasin

Sejarah awal pembukaan bandar Jasin bermula pada tahun 1918 iaitu di kawasan Kesang Pajak, mengikut aliran sungai. Bagaimanapun, tragedi kebakaran telah mengubah kedudukannya sebagai sebuah pekan kecil. Seorang pendatang berbangsa Bugis, Mat Yasin membangunkan semula kawasan itu pada tahun 1928. Usaha beliau telah mendapat kerjasama pihak Inggeris dan kawasan itu dipanggil Jasin ( mengikut sebutan orang Inggeris ) bersempena dengan nama Yasin. Sejak itu bandar Jasin mula berkembang.


Dengan berkuatkuasanya Undang-undang Malaysia Akta Kerajaan Tempatan 1976, seperti mana juga dengan Penguasa-penguasa Tempatan yang lain di negara ini, Majlis Daerah Luar Bandar Jasin ( Jasin Rural District Council ) yang ditubuhkan pada tahun 1959 telah diberi pengiktirafan sebagai Majlis Daerah Jasin iaitu pada 1 Julai 1978.

JASIN DALAM ZAMAN KESULTANAN MELAKA

Tidak terdapat banyak dokumen mengenai Daerah Jasin dalam Zaman Kesultanan Melaka. Tidak juga terdapat peta-peta lama untuk dijadikan panduan dalam mengenalpasti penempatan-penempatan di zaman tersebut. Sehingga kini kita tidak lagi mengetahui kampung-kampung manakah yang terdapat di daerah ini kecuali Hulu Duyung.


Salah satu dokumen yang ada menceritakan tentang Jasin ialah Hikayat Hang Tuah. Di dalam hikayat tersebut ada menceritakan bahawa Hang Tuah telah difitnah oleh orang lalu beliau dikenakan hukuman bunuh. Bendahara Tun Perak telah ditugaskan untuk menjalankan hukuman tersebut. Bendahara Tun Perak telah mengetahui dari awal bahawa Hang Tuah tidak bersalah dan hukuman itu tidak dilaksanakan sebaliknya Bendahara menyembunyikan Hang Tuah di Hulu Melaka (Hulu Duyung). 


Di sinilah beliau tinggal bersama-sama dengan seorang pendita (petapa) sehingga beliau dibawa balik ke Melaka untuk menentang Hang Jebat. Hulu Duyung yang dimaksudkan itu terletak di Jasin iaitu di sekitar GAPAM, Bemban. Kemungkinan terdapat sebuah perkampungan kecil di situ satu waktu dahulu.


Oleh kerana hanya Hulu Melaka sahaja yang terdapat di dalam dokumen lama, dapat dibuat kesimpulan bahawa kampung ini merupakan sebuah kampung yang tertua yang pernah wujud di daerah ini.
Satu peristiwa bersejarah yang terdapat di dalam Sejarah Melayu dan juga hikayat Hang Tuah ialah peristiwa peminangan Puteri Gunung Ledang. Peristiwa peminangan ini diketuai oleh Tun Mamat. Tun Mamat berjaya sampai ke puncak gunung dan bertemu dengan puteri tersebut.\


Mengikut tradisi lisan, rombongan meminang Puteri Gunung Ledang itu merentasi hutan dengan melalui Jasin. Semasa dalam perjalanan, Tun Mamat dan rombongannya singgah berehat di Jasin dan tempat singgahannya itu ialah di Rim. Sepanjang perjalanan mereka itu, tidak dinyatakan bahawa mereka ada bertembung dengan mana-mana perkampungan orang. Oleh itu dapat diyakinkan bahawa kawasan Jasin pada masa dahulu dipenuhi dengan hutan belantara.


Semasa singgah di Rim, Tun Mamat dikatakan telah menggali sebuah telaga dan telaga tersebut digelar Telaga Tun Mamat. Telaga tersebut terletak di kawasan Rim, Jasin. Malangnya, telaga itu telah ditimbus untuk melaksanakan projek Padang Bola Rim.


Satu lagi peristiwa bersejarah di zaman Kesultanan Melayu Melaka yang terdapat di Jasin ialah kemangkatan Tun Teja di Merlimau. Ketika Melaka diserang dengan hebatnya oleh Portugis, Sultam Mahmud dengan diiringi pengikut-pengikut setianya telah mengundurkan diri ke Bentayan (Muar). Pada waktu itu, Tun Teja sedang gering dan terpaksa ditandu sepanjang jalan. 


Akhirnya beliau meninggal dunia dan dikebumikan di Merlimau. Pada waktu itu Merlimau belum lagi didiami orang. Begitu juga sepanjang jalan pengundurannya itu, tidak terdapat sebarang perkampungan kerana tidak tercatat di dalam dokumen tersebut.


Daripada peristiwa-peristiwa yang diceritakan di atas, tidak ada sebarang bukti yang menunujukkan terdapatnya perkampungan orang tempatan di Daerah Jasin kecuali di sekitar Gapam, semasa zaman Kesultanan Melayu Melaka. Namun demikian, tidak dapat dinafikan bahawa terdapat suku-suku orang Darat yang mendiami hutan belantara Jasin tersebut. Mungkin juga terdapat beberapa kelompok menusia yang mendiami tebing-tebing sungai di daerah ini.