Renginang yang telah digoreng
Renginang atau juga dipanggil inang-inang adalah merupakan makanan ringan yang berasal dari Melaka dan namanya diambil daripada gelaran mak inang di istana yang menciptanya iaitu pengasuh anak-anak raja Melaka. Inang-inang diperbuat daripada beras pulut, garam dan sedikit pewarna. Beras pulut akan direndam selama 2 hari dan kemudian dikukus selama setengah jam. Semasa mengukus, pewarna akan dicampur ke dalam inang-inang. Inang-inang dibentuk menjadi bulat menggunakan acuan dan akan dijemur sehingga kering.

Inang-inang dijemur sebegini

Inilah inang-inang Telok Mas, sangat popular
Inang-inang, sseperti keropok beras yang lain, mempunyai rasa yang hampir sama iaitu tawar kemasinan. Jadi, untuk menambah kelazatan inang-inang, anda boleh menyira inang-inang dengan gula atau makan bersama air gula Melaka.

Rangup dan lazat
Sedikit pewarna diletakkan agar kelihatan menarik dan cantik. Inang-inang boleh didapati dalam empat warna iaitu merah, hijau, kuning dan oren. Inang-inang sering dihidangkan pada waktu minum petang atau sebagai kudapan. Ianya perlulah digoreng sebelum dihidangkan bersama air gula (gula melaka).
Di Melaka, inang-inang sangat mudah didapati di gerai-gerai jualan produk buatan Melaka di tepi-tepi jalan, pasar, pasaraya dan kedai-kedai runcit. Inang-inang kering yang belum digoreng mampu bertahan sehingga 3 tahun bergantung kepada cara pembuatan dan keadaan tempat simpanannya.
Terdapat beberapa tempat di Melaka yang terkenal dengan aktiviti dan perusahaan inang-inang antaranya ialah Kampung Teluk Gong, Bukit Tembakau, Telok Mas dan lain-lain. Harga sebungkus inang-inang adalah RM3 hingga RM3.50 sahaja. Bagi anda yang tidak pernah merasa dan mencuba inang-inang, apa tunggu lagi? Belilah sebungkus sekiranya berkunjung ke Melaka.


Inang-inang yang belum digoreng