Wednesday, October 20, 2010

Menarik: Beca solar di Melaka

MELAKA: Menjelang Pengisytiharan Melaka Maju 2010, sejarah sekali lagi tercatat apabila muncul negeri pertama menawarkan perkhidmatan beca solar untuk menggerakkannya.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata, perkhidmatan beca solar itu mampu menjadi tarikan terbaru sektor pelancongan di negeri ini, sekali gus dapat membantu penarik beca di negeri ini menambah pendapatan selain memudahkan pekerjaan mereka.


“Kita membelinya (beca solar) daripada sebuah kilang di China selepas saya membuat lawatan kerja ke sana dengan harga RM4,000 seunit dan menggunakan tenaga solar untuk menggerakkannya.


“Ia akan digunakan di Melaka bersesuaian dengan slogan negeri ini iaitu untuk menjadi Bandar Teknologi Hijau.

“Kita yakin dengan keunikan reka cipta beca solar ini yang dihasilkan itu akan mampu menarik minat pengusaha beca selain menjadi tarikan utama kepada pelancong yang datang ke negeri ini,” katanya selepas merasmikan tiga unit beca solar dan sebuah kereta elektrik di Stadium Hang Jebat, Krubong, semalam.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Othman Muhamad; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Datuk Seet Har Cheow serta Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan, Penerangan dan Pengguna negeri, Datuk R Perumal.

Pada pelancaran itu, Mohd Ali turut melancarkan kereta elektrik yang bergerak dengan menggunakan bateri yang dicas dan mampu bertahan selama empat jam.


Menurutnya perkhidmatan kereta elektrik berkenaan didapati paling sesuai digunakan di kawasan stadium, taman mahupun sekitar bangunan pelancongan di negeri ini.

Katanya, pihaknya berharap untuk menggunakan kereta elektrik yang berharga RM78,000 itu di kawasan stadium, manakala beca solar itu boleh digunakan penarik beca di kawasan pelancongan dan tumpuan umum.


“Kita mahu bergerak ke arah teknologi tinggi selain menekankan unsur kebersihan bagi mengelakkan sebarang pencemaran di negeri ini,” katanya.


--myMetro