Tuesday, October 19, 2010

Produk Pelancongan Terbaru: Taman Tema Empire Marine bernilai RM600 juta bakal siap menjelang 2011

MELAKA: Melaka bakal mendapat satu lagi mercu tanda apabila projek Taman Tema Empire Marine Melaka berharga RM600 juta siap dibina di kawasan Klebang Besar dekat sini menjelang 2011. 


Projek di kawasan seluas 81.2 hektar yang dimulakan secara rasmi b
aru-baru ini diyakini mampu melonjakkan lagi pembangunan sektor pelancongan negeri ini.

Ia berkonsepkan warisan kebudayaan dan sejarah Melaka yang bakal dipaparkan secara interaktif untuk membangkitkan kembali zaman kegemilangan Melaka.
Taman tema berprestij itu akan dibina dengan reka bentuk moden dilengkapi kemudahan permainan air, pusat sukan dan permainan khusus untuk kanak-kanak. 


Selain pelbagai permainan air bagi memberi kelainan dan keseronokan pengunjung, turut disediakan ialah persembahan kebudayaan 'amphitheatre' dengan inspirasi sejarah awal Melaka, kolam renang serta jakuzi.
Presiden Empire World Wide Sdn bhd, Datuk Dr Alex Teh berkata, kemudahan lain adalah penginapan 1,397 unit apartmen, 202 chalet perkampungan air serta 3,000 bilik hotel bertaraf lima bintang, selain 200 kediaman berlainan konsep. 


Katanya, fasa pertama projek bermula baru-baru ini membabitkan pembinaan 510 unit kompleks perniagaan perusahaan kecil dan sederhana. 


"Apa yang membanggakan, setakat ini 80 peratus apartmen berjaya dijual. Dari segi promosi, kami memberi tumpuan menarik lebih ramai pelancong China berkunjung ke negeri ini berdasarkan pasaran pelancongan yang baik di negara itu, sekali gus menjadikan taman tema ini yang terbaik di selatan tanah air," katanya.
Mirip kubu Portugis abad ke-16, taman tema itu turut menggunakan rekaan rumah tradisional Melayu Melaka bagi menampilkan ciri-ciri kebudayaan negeri ini. 


Beliau berkata, setiap ruang bakal memberikan suasana santai kepada pengunjung, selain pengalaman menghayati hidupan laut menaiki kapal mewah di persisiran Selat Melaka. 


Dr Alex berkata, turut disediakan ialah pusat konvensyen dan ruang pameran yang mampu menempatkan 10,000 pengunjung pada satu-satu masa. 


"Kami yakin projek ini dapat menjana pertumbuhan ekonomi Melaka di samping membuka peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan. Ini membantu kerajaan negeri menarik lebih ramai pelancong untuk berkunjung dan bermalam di sini," katanya.