Tokong Cina tertua di Malaysia adalah Tokong Cheng Hoon Teng yang terletak di Jalan Tokong, Melaka. Dibina pada tahun 1646 dengan menggunakan bahan-bahan yang dibawa daripada negara China oleh Kapitan Tay Kie Ki atau dikenali juga sebagai Tay Hong Yong. Semasa era pemerintahan Portugis dan Belanda, Kapitan adalah gelaran bagi ketua komuniti tertentu yang menjaga kebajikan sesuatu etnik di Melaka seperti etnik India dan Cina.
Pada era tersebut, tokong ini bukan sahaja menjadi pusat penyembahan kaum Cina malah turut menjadi pusat pengadilan atau mahkamah bagi etnik Cina dan juga pusat pentadbiran dan kebajikan.
Selain Kapitan Tay Kie Ki. Kapitan Li Wei King, Chan Lak Kua dan Chua Su Cheong juga terlibat dalam pembangunan dan pembinaan tokong tertua ini. Kapitan Chua bertanggungjawab dalam pembinaan semula tokong ini pada tahun 1801 sementara Kapitan lain selepasnya dan Teng Choo lain-lain menyumbang kepada penambahan struktur dan pemuliharaan tokong ini.
Pada tahun 1824, British telah menghapuskan sistem Kapitan dan ketua tokong atau sekarang digelar sebagai Teng Choo yang menyamai tugas Kapitan.
Satu Lembaga Pemegang Amanah telah ditubuhkan untuk tokong ini. Penerajunya termasuklah Tun Tan Cheng Lock yang telah mengambil inisiatif dengan menubuhkan Perbadanan Tokong Cheng Hoon Teng dibawah akta Parlimen (Ordinan Perbadanan Tokong Cheng Hoon Teng 1949).
Tokong ini juga dikenali sebagai Kebun Datok (Gods' Garden) dan Kwan Yin Teng oleh masyarakat Cina tempatan.