Monday, October 18, 2010

Tahukah Anda? Kincir Air Kesultanan Melaka

Melaka telah membina semula kincir air di tebing Sungai Melaka seperti mana yang tersebut dalam sejarah Melayu. Adalah dipercayai bahawa semasa zaman kegemilangan Melaka sebagai sebuah empayar Melayu, Melaka telah mula memiliki teknologi pengairan dan saliran yang hebat dan dikagumi untuk penduduk kota mahupun pedagang-pedagang. 


Kincir air adalah alat untuk menimba dan mengalirkan air dari anak sungai terus ke saliran yang dibina hingga ke istana, masjid-masjid mahupun sekitar kota. Lazimnya kincir berbentuk roda dibina di kawasan saluran sungai atau parit yang airnya deras bagi membolehkan pengayuh itu bergerak dan memusingkan roda dan menyalurkan air. 


Teknologi kincir air terdapat di Hama di Syria, negara China, India dan Eropah. Selain kincir air, menurut Sejarah Melayu, Melaka juga sudah memiliki teknologi pancuran air atau juga disebut sebagai 'Lipat Gunting' dimana air pancut menghiasi kawasan istana diraja serta masjid-masjid di kawasan kota tanpa menggunakan kuasa elektrik.