Bangsawan Tun Fatimah
Bangsawan Tun Fatimah
Tun Fatimah adalah merupkan isteri Sultan Mahmud Shah yang kelima. Beliau berketurunan Tamil Muslim dan merupakan gadis biasa yang memiliki rupa paras yang cantik. Merupakan anak perempuan kepada Bendahara Seri Nara Di Raja Tun Ali hasil perkahwinan dengan Tun Kudu juga adik bongsu kepada Bendahara Tun Mutahir.Tun Mutahir adalah Bendahara Melaka pada waktu pemerintahan Sultan Mahmud Shah. Tun Fatimah dan Tun Mutahir adalah dari hasil perkahwinan Tun Kudu (bekas isteri Sultan Muzzafar Shah yang juga kakak kepada Bendahara terkenal Tun Perak) dan juga Tun Ali.
Tun Fatimah sudahpun berkahwin apabila Sultan Mahmud cuba memperisterikannya. Sultan Mahmud Shah turut dijemput sama untuk meraikan majlis perkahwinan Tun Fatimah. Sultan berasa amat murka kerana Bendahara tidak pernah menyembahkan kepada baginda bahawa beliau memiliki anak gadis yang cantik jelita.
Sultan Mahmud dikhabarkan telah meninggalkan majlis perkahwinan tersebut tanpa menyentuh santapan. Raja Mandaliar dan Kitul dengan dipersetujui sama oleh Laksamana Khoja Hassan telah memfitnah Bendahara, yang kononnya Bendahara itu telah menempah persalinan dan cerek yang semuanya daripada emas kerana mempunyai agenda ingin merampas takhta Melaka. Sultan bertambah murka, dan tanpa usul periksa lantas menyerahkan keris kuasanya kepada Tun Sura dan Tun Setia untuk menjatuhkan hukuman bunuh kepada seluruh keluarga Bendahara kecuali Tun Fatimah. Terbunuhlah Bendahara, Seri Nara Diraja, Tun Hassan dan kerana titah Sultan tersebut.
Namun akhirnya Sultan Mahmud sedar atas keterlanjuran perbuatannya dan bersungguh-sungguh menyintai Tun Fatimah. Tun Fatimah dipinang dan dibawa masuk ke istana secara besar-besaran dan tidak lama kemudian berlangsunglah perkahwinan antara Tun Fatimah dan Sultan Mahmud Shah. Tun Fatimah terpaksa akur dengan titah Sultan Mahmud kerana tidak mahu menderhaka. Pada mulanya Tun Fatimah enggan beradu bersama-sama dan melayani Sultan Mahmud, namun setelah menyedari keikhlasan dan keinsafan baginda, Tun Fatimah akhirnya membalas cinta Paduka Seri Sultan Mahmud Shah.
Kerana terlalu menyayangi dan mengagumi paras rupa Tun Fatimah yang cantik, Sultan Mahmud kemudiannya telah mengisytiharkan Tun Fatimah diangkat menjadi Paduka Seri Permaisuri Melaka.
Tun Fatimah akhirnya bersetuju menjadi permaisuri Melaka. Dengan menjadi permaisuri Melaka, Tun Fatimah dengan dayang-dayang Istana dan rakan-rakan wanitanya yang lain telah berjaya menangkap orang-orang yang memfitnah keluarganya. Tun Fatimah dikatakan pandai bermain keris dan tombak serta handal dalam ilmu persilatan akhirnya berjaya menuntut bela atas pembunuhan keluarganya. Raja Mandeliar, Kitul dan Laksamana Khoja Hassan dihukum bunuh dan telah menerima hukuman yang setimpal dengan kesalahan yang mereka lakukan.
Paduka Seri Permaisuri Tun Fatimah telah melahirkan empat orang anak, di antaranya adalah Raja Raden Ali yang akan memerintah Johor sebagai Sultan Alauddin Riayat Shah II selama 36 tahun. Baginda merupakan Paduka Seri Permaisuri yang sangat terkenal dengan semangat perjuangannya yang tinggi dan berjuang bersama-sama Sultan Mahmud untuk mempertahankan Melaka.
Anak-anak Tun Fatimah:
Raja Ala'uddin ibni Sultan Mahmud Shah, Sultan Muda Ahmad Shah
Raja Raden Ali ibni Sultan Mahmud Shah, Sultan Johor ke-2
Raja Puteh binti Sultan Mahmud Shah
Raja Khadijah binti Sultan Mahmud Shah
Bangsawan Tun Fatimah
Drama Tari Tun Fatimah
Tun Fatimah Srikandi Melayu
Oleh Nurul Farina Nazlan
nfarina@bharian.com.my
2010/10/13
Ketokohannya diakui sarjana dan pengkaji dalam mahupun luar negara
KEHEBATAN Tun Fatimah sebagai srikandi Melayu mendapat pengiktirafan sarjana dan pengkaji sejarah Melayu baik dari dalam mahupun luar negara sehingga melayakkannya untuk dipilih sebagai ikon kepada semua gadis Melayu.
Mantan Timbalan Pengarah Institut Tamadun dan Alam Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Datuk Dr Siti Hawa Salleh, berkata Tun Fatimah adalah lambang kesetiaan dan ketaatan rakyat terhadap raja yang memerintah.
“Hal ini dapat dibuktikan melalui penerimaan Tun Fatimah untuk menjadi isteri Sultan Mahmud Syah bukan saja kerana dipujuk Raja Zainal, tetapi kerana beliau teringatkan pesanan Almarhum ayahandanya, Tun Mutakhir iaitu orang Melayu tidak boleh menderhaka kepada Sultan.
“Beliau tampil sebagai tonggak Sultan meskipun ingatannya terhadap ayahandanya tidak pernah berkurang. Emosi Tun Fatimah sukar ditafsir dan ketegasannya dapat dilihat melalui keengganannya mengandungkan zuriat Sultan Mahmud Syah.
“Tun Fatimah berbuat demikian kerana beranggapan Melaka sudah ada pewaris takhta iaitu Raja Ahmad,” ujarnya ketika melapah Kesusasteraan dan Tradisi Masyarakat Melayu dan Pemerintah di Zaman Tun Fatimah pada Dialog Tun Fatimah di Dewan Tun Hamdan, Wisma Sejarah, Jalan Tun Razak, baru-baru ini.
Baginya tidak keterlaluan untuk mengangkat Tun Fatimah sebagai ikon gadis Melayu kerana tokoh itu sangat dihormati dan disanjung tinggi oleh rakyat Melayu sehingga dianggap sebagai permaisuri yang hebat pada zaman Kesultanan Melayu Melaka.
“Malangnya, hanya sedikit kisah Tun Fatimah dipaparkan dalam Sejarah Melayu sedangkan ia patut diperluaskan dan diberi penekanan kerana beliau lambang wanita Melayu yang penuh keperibadian dan ketokohan hebat, malahan sangat menjaga tatasusila mahupun jatidiri wanita Melayu,” katanya.
Karyawan Tamu, Jabatan Sosio Budaya Melayu, Akademi Pengajian Melayu (APM), Universiti Malaya (UM), Tenas Effendy, berkata keteguhan hati, semangat dan keperibadian Tun Fatimah yang taat setia, di samping Sultan Mahmud Syah menyebabkan baginda terus berjuang melawan Portugis.
“Betapa besarnya pengaruh Tun Fatimah terhadap suaminya agar terus tabah, teguh, kukuh dan menentang Portugis demi mempertahankan maruah serta martabat orang Melayu. Ini bukti taat setia Tun Fatimah kepada Sultan dan tanah airnya.
“Malah rasa cintakan Melaka terus mekar di hatinya walaupun selepas melarikan diri ke Kampar. Setianya kepada Sultan Mahmud terus dipertahankan sehingga ke hujung nyawa, walaupun baginda pernah menjatuhkan hukuman bunuh ke atas ahli keluarganya.
“Tun Fatimah adalah teladan dan ikon yang layak diteladani semua masyarakat Melayu terutama wanita kerana ketabahan serta ketelusan hatinya dalam perjuangan luar biasanya untuk menegakkan maruah Melayu dalam satu naungan kerajaan besar iaitu Kesultanan Melayu Melaka,” katanya ketika menyampaikan ucaptama Sejarah dan Kesinambungan Keturunan Tun Fatimah.
Pengarah Bahagian Warisan Tidak Ketara, Jabatan Warisan Negara, Siri Neng Buah menyifatkan Tun Fatimah sebagai wanita yang mempunyai paras rupa sempurna sehingga wajahnya seperti bulan purnama, selain elok budi pekerti dan tingkah laku sebagai anak Bendahara.
“Tun Fatimah adalah ikon wanita Melayu yang tinggi ketokohan dan kepintarannya, malahan boleh disamakan dengan srikandi sezaman ketika itu yang antaranya Tri Buana Tungga Dewi, Raden Ayu Kencana Wungu, Galuh Cendera Kirana, Puteri Saadong dan Tun Teja Ratna Benggala.
“Pada zaman Tun Fatimah, memang berlaku pelbagai gejala negatif dan antaranya keruntuhan moral terutama kalangan pucuk pimpinan negeri, selain rasuah, seks rambang, penyelewengan, iri hati, dendam dan pilih kasih.
“Mungkin disebabkan itu, Tun Mutakhir tidak mahu menjodohkan puterinya dengan sultan kerana bimbang akan nasib Tun Fatimah dengan situasi Melaka yang tidak menentu dan sikap liar baginda. Ternyata Tun Fatimah puteri yang hebat sehingga berjaya mengubah sikap dan kelemahan sultan,” jelasnya.
Dialog anjuran Alumni Sekolah Tun Fatimah dengan kerjasama Persatuan Sejarah Malaysia bertujuan mengumpul pengetahuan, fakta sejarah dan cerita yang diperturunkan dari generasi ke generasi untuk didokumenkan sebagai satu daripada bahan sejarah penting negara.
Presiden Alumni Sekolah Tun Fatimah, Mek Yam Jusoh, berkata dialog itu membuka peluang perbincangan mengenai sosioekonomi, busana dan politik zaman Kesultanan Melayu Melaka yang turut mendorong Tun Fatimah menyertai barisan pahlawan Melaka menentang ancaman Portugis.
“Semua cerita dan fakta mengenainya akan didokumenkan sebagai rujukan bagi generasi muda di dalam Monograf Tun Fatimah yang boleh dianggap sebagai rujukan sejarah paling tepat, selain boleh dijadikan bahan rujukan oleh peminat sejarah serata dunia.
“Kami berharap usaha menganjurkan dialog dan mendokumenkan sejarah srikandi Tun Fatimah mendapat sokongan semua pihak kerana tokoh terbilang ini bukan saja lambang keberanian wanita Melayu, tetapi sejarahnya mampu menjadi khazanah berharga dalam dunia dan rumpun Melayu,” katanya.