Wednesday, December 01, 2010

Makan-Makan: Perhentian Kuih Kampung / Kedai Bawah Pokok

Kepada sesiapa yang tercari-cari tempat untuk menikmati asam pedas Melaka yang lazat, Riqq ingin mengesyorkan anda berkunjung ke sebuah gerai di Banda Hilir, berhampiran dengan Balai Polis dan Penjara Banda Hilir. Gerai tersebut juga dikenali sebagai Perhentian Kuih Kampung atau Kedai Bawah Pokok dan agak tersorok pada pandangan umum. Mulanya Riqq tidak langsung mengetahui kewujudan gerai tersebut, namun semasa praktikal di Bahagian Promosi Pelancongan Melaka (BPP), terdapat staff yang mengajak Riqq makan tengahari di sana. Riqq sudah beberapa kali berkunjung dan menikmati makanan di sana. Jika anda datang dari Ujong Pasir, kedai tersebut berada di sebelah kanan betul-betul berada di bawah sebatang pokok besar. Kalau tak silap Riqq, pokok angsana.

Bagi mereka yang menggemari pelbagai jenis kuih-muih tradisional dan moden Melayu seperti kuih koci, talam, talam keladi, seri kaya, cara berlauk, bingka betawi, bingka ubi, bengkang, kaswi, rengas, lempeng gulung, tako, tepung gomak, genggang, tepung pelita, kuih angku, apam, buah melaka, popiah basah, popiah gorang dan sebagainya, di sinilah tempatnya. Bukan sekadar kuih muih sahaja, terdapat juga nasi ayam, nasi lemak, asam pedas pelbagai ikan seperti pari, tenggiri, parang, kembung, sembilang, jenahak dan lain-lain. Minuman popular di sini adalah lo han kuo atau air kelapa laut dengan campuran gula Melaka. Selain itu, terdapat juga pelbagai jenis bebola dan makanan laut goreng turut dijual sebagai makanan ringan.


Set nasi putih dan asam pedas dengan telur masin dan timun


Asam pedas ikan tenggiri dan jenahak


Dekorasi gerai


Kaunter bayaran dan senarai menu

Jadi, sekiranya anda bercuti dan ternampak gerai tersebut, jangan lupa untuk mencuba makanan di sana. Selain bersih, harganya sangat berpatutan dan pekerjanya juga cekap dan peramah. Gambar-gambar kat atas ni Riqq sempat snap masa makan tengahari di gerai tersebut Isnin lepas dengan seorang kawan yang tersangat comel. Hahaha :)