Saturday, December 04, 2010

Melaka Cuisine: Masak Pati Santan

Melaka memang terkenal dengan asam pedas dan masakan nyonya yang lazat. Selain masakan tersebut, Melaka juga terkenal dengan sejenis masakan yang dipanggil masak pati santan. Tak pernah dengar? Masakan ini berasal dari bahagian selatan Melaka seperti Jasin Pantai termasuklah Sungai Rambai, Merlimau, Serkam, Sempang dan Pulai namun tidak diketahui dan tidaklah terkenal dikalangan pelancong sepertimana asam pedas. Masakan ini sangat lazat dan tidak pedas serta dimasak dengan cara yang berbeza-beza mengikut mukim-mukim di Melaka. Masakan ini lebih digemari oleh masyarakat Jawa Melaka yang banyak menduduki kawasan Selatan Negeri Melaka. Mereka menggunakan ayam ataupun ikan yang dipanggang atau goreng.

Masak pati santan ayam panggang

Berikut merupakan ramuan dan cara-cara untuk memasak pati santan ayam atau ikan:

1. Seekor ayam atau ikan tenggiri (selain tenggiri, boleh juga menggunakan ikan parang, timah, kembong dan apa sahaja ikan yang tidak berbau hamis kerana masakan ini tidak menggunakan dedaun mahupun herba penghilang bau hamis ikan)
2. 5 ulas bawang merah
3. 5 ulas bawang putih
4. Sedikit halia (sebesar hujung jari kelingking)
5. Hirisan lada basah (merah atau hijau)
6. Sedikit belacan
7. Garam secukup rasa
8. Santan (sebiji kelapa)
9. Tauhu atau tempe (7-8 keping dipotong - tauhu digoreng untuk mengelakkan daripada hancur, tempe terpulang)

Sedapnya, kalau tak percaya cubalah!

Beginilah rupanya setelah siap dimasak. Pati santan ayam dengan tempe

Cara-cara:
1. Ayam atau ikan dipotong mengikut citarasa dan saiz yang diingini, kemudian digaram dan kunyit seperti untuk menggoreng.
2. Panggang di atas api bara atau goreng sehingga kekuningan (jangan sampai garing atau terlalu masak kerana akan menjadi liat)
3. Tumis kan bawang merah, bawang putih dan halia
4. Setelah naik bau, masukkan sedikit belacan yang dibancuh air
5. Masukkan ayam atau ikan, goreng dalam 5 - 10 minit supaya garam pada ayam sebati dan masuk dalam penumis
6. Masukkan santan, tauhu goreng ataupun tempe, hirisan lada, tunggu sehingga mendidih
7. Jangan masukkan garam terlebih dahulu. Rasa kuah, sekiranya tidak cukup masin barulah ditambah garam.
8. Didihkan dan hidang.


Masak pati santan ayam dan tauhu

Mudahkan? Masak pati santan memang kegemaran Riqq. Untuk orang Melaka berbangsa Jawa, mereka suka masukkan tempe manakala yang Melayu mereka memasukkan tauhu ke dalam kuah. Cubalah, memang sedap kalau kena cara memasaknya.