Saturday, December 25, 2010

Melaka Cuisine: Roti John

Roti John daging kisar Sungai Rambai, Lebuh AMJ

Roti John merupakan salah satu makanan kegemaran masyarakat pelbagai kaum di Melaka. Roti John sangat popular dan terkenal di Melaka. Ramai pelancong tempatan dan luar negara gemar menikmati keenakan Roti John di Melaka. Terdapat pelbagai jenis Roti John boleh didapati di Melaka antaranya Roti John Sardin dan daging kisar di Sungai Rambai, Roti John klasik di Semabok, Roti John Barkat di Pantai Puteri, Roti John Merlimau dan lain-lain. Setiap jenis mempunyai keistimewaan dan rasa tersendiri.

Sedapnya :)

Selain rasanya yang sangat lazat, Roti John juga sesuai dimakan oleh sesiapa sahaja dari kanak-kanak sehinggalah orang dewasa. Roti John diperbuat daripada sejenis roti yang berbentuk panjang, bahagian dalam roti akan disaluti Sardin, tuna atau daging kisar campuran telur ayam dan bawang. 

Cubalah!

Di sesetengah tempat seperti Sungai Rambai, kulit roti tersebut akan dipotong dan dibuang menjadikannya lebih lembut dan nampak  berbeza dengan Roti John di tempat lain. Roti John klasik dimasak dengan pelbagai cara yang berbeza berbanding Roti John moden seperti yang banyak didapati di pasar-pasar malam. Roti John klasik mempunyai kuah tersendiri yang dibuat khas berbanding Roti John moden yang hanya menggunakan sos cili biasa. Roti John klasik tidak dimakan bersama mayonis mahupun kobis atau salad. Cukup sekadar dicecah dengan kuah.

Roti John moden dengan mayonis dan hirisan kobis

Nak makan Roti John yang sedap kenalah datang ke Medan Selera Sungai Rambai!

Kini, Roti John boleh didapati dimana-mana sahaja. Sekiranya anda ke Melaka, jangan lupa untuk mencuba kelazatan Roti John Barkat di Pantai Puteri, Roti John Sungai Rambai dan Roti John klasik Semabok. Roti John Sungai Rambai boleh didapati di Medan Selera Taman Rekreasi Sungai Rambai dan di Lebuh AMJ (dari Muar; kiri) manakala Roti John klasik Semabok boleh didapati di sebelah SK Semabok.

Roti John Barkat

Signboard Barkat Roti John

Di Melaka, Roti John hanya dihidangkan untuk makan malam atau makan lewat malam (supper), bukannya untuk sarapan pagi seperti di negeri-negeri lain. 

Restoran Barkat Roti John,
No. 2175-2, 
Tanjung Kling,
76400 Melaka
No. Tel: 019-3148910