Serabai
Serabai (sebutannya seghabai) adalah merupakan sejenis makanan pencuci mulut tradisi yang kebiasaanya dihidangkan oleh orang-orang di Melaka pada majlis-majlis tertentu khasnya kenduri kematian ataupun tahlil. Jadi, tidak hairanlah sekiranya makanan ini digelar sebagai 'kuih mayat' atau 'kuih orang mati' kerana di Melaka telah menjadi adat ataupun tradisi bagi menghidangkan kuih ini kepada para tetamu yang datang. Serabai enak dimakan bersama kuah yang diperbuat daripada gula Melaka ataupun madu.
Jika dimakan, serabai berasa tawar dan sedikit kemasinan, jadi peranan kuah yang manis dan pekat sangat penting untuk mengimbangkan rasa tawar serabai. Gula Melaka akan dicairkan dan dijadikan kuah untuk dimakan bersama serabai. Kuih ini seakan-akan menyerupai pancake ataupun lempeng tradisi masyarakat barat.
Serabai menjadi bertambah popular pada musim durian. Kuih ini akan dimakan bersama kuah durian.
Bahan-bahan:
Serabai
500 gram tepung beras
300 gram nasi (dikisar bersama sedikit air)
1 1/2 biji kelapa (gunakan air suam untuk memerah santan, jadikan 1 liter)
1 1/2 sudu kecil mauripan / Baking Soda (serbuk penaik) - untuk membuat Serabai asli, bahan ini tidak perlu dimasukkan
Garam secukup rasa
Kuah:
1 cawan gula Melaka
2 cawan santan
Garam secukup rasa
2 Helai daun pandan
Cara-cara:
Serabai
1. Campurkan mauripan / baking soda dengan santan suam. Kacau sebati dan campurkan kesemua bahan serabai hingga adunan sebati dan biarkan selama 2 jam. (kecairan bancuhan sama seperti membuat kuih cara) - boleh juga dikisar menggunakan blender
2. Panaskan kuali atau acuan serabai dan sapukan sedikit minyak.
3. Masukkan adunan 3/4 penuh ke dalam acuan serabai dan masak hingga adunan masak di atas api kecil.
Kuah
Campurkan kesemua bahan ke dalam periuk dan masak hingga pekat. Siap dan boleh dihidangkan.
Kini serabai bukan sahaja menjadi hidangan untuk majlis kenduri tahlil malah telah menjadi hidangan kegemaran oleh setiap lapisan masyarakat. Cubalah!