Thursday, December 23, 2010

Melaka Cuisine: Telur Pindang

Telur Pindang tradisi masyarakat Jawa di  Melaka

Telur Pindang bukan sahaja terkenal di negeri Johor malah turut menjadi makanan tradisi untuk negeri-negeri yang mempunyai rakyat berketurunan Jawa seperti Selangor dan Melaka. Telur Pindang menjadi makanan tradisi turun temurun di kawasan-kawasan seperti Sungai Rambai; Parit Penghulu, Parit Penghulu Benteng, Parit Gantong, Parit Perawas, Parit Sidang Seman, Parit Putat, Sebatu, Batu Gajah, Air Molek dan banyak lagi kawasan lain. 

Warna isinya coklat cerah

Bagi masyarakat berketurunan Jawa di Melaka, Telur Pindang dianggap sebagai satu elemen atau makanan penting yang perlu ada untuk majlis-majlis seperti kenduri aqiqah, kenduri kahwin, malam berinai, ulangtahun kelahiran dan majlis berkhatam. Telur Pindan akan direbus selama 2 hari 2 malam bersama-sama dengan pelbagai rempah ratus dan dedaun herba. Perbezaan Telur Pindang masyarakat Jawa di Melaka dan tempat lain adalah rempah ratus akan ditumis terlebih dahulu supaya kulit telur akan menjadi lebih berkilat dan licin.

Telur Pindang bukan sahaja berkhasiat malah sesuai dimakan sesiapa sahaja kerana banyak mengandungi herba dan rempah ratus yang bagus untuk kesihatan. Antara bahan-bahan yang diperlukan untuk membuat Telur Pindang tradisi Melaka adalah:

Telur Pindang yang telah siap direbus

Bahan-bahan:
50-100 biji telur ayam
20 helai daun manggis
40 helai daun lengkuas
40 helai daun jambu
Seikat daun serai
secekak Serai
40 helai daun senduduk
4 botol kicap soya
400 g ketumbar
400 g jintan manis
Semangkuk bwang kecil
Semangkuk bawang putih
5 ulas lengkuas
Segenggam cili kering
Sedikit garam
Sedikit cuka
Kulit bawang putih dan merah



Cara-cara:
1. Kisar bawang merah, bawang putih, jintan manis, serai, ketumbar, lengkuas, cili kering.
2. Koyak-koyakkan semua daun kepada serpihan halus.
3. Sediakan periuk dan tumiskan bahan-bahan kisar sehingga naik bau wangi.
4. Masukkan dedaun dan goreng seketika.
5. Masukkan kulit bawang bawang, cuka dan kicap.
6. Masukkan semua telur dan penuhkan periuk dengan air.
7. Tutup periuk dan biarkan dengan api perlahan.
8. Tambah air setiap 2-3 jam dan biarkan sehingga 2 hari 2 malam.
9. Setelah dua hari, keluarkan Telur Pindang dan bilas dengan air.
10. Boleh dihidang atau dilekatkan pada bunga telur untuk dijadikan pahar.

Siap untuk dilekatkan pada bunga untuk dijadikan bunga telur pahar

Pembuatan Telur Pindang sangat rumit dan sukar. Sekiranya tersilap langkah, banyak telur akan pecah dan tidak tahan lama. Jadi tidak hairanlah sekiranya Telur Pindang berharga antara RM 1.50 hingga RM 2 sebiji bergantung kepada kualiti dan rasanya. Warna kehitaman Telur Pindang terhasil daripada penyerapan kicap soya dan dedaun herba. Sekiranya anda mahukan Telur Pindang yan lebih gelap, masukkan lebih banyak daun-daun tersebut dan tambah kicap soya. Rasanya akan lebih sedap dan lazat.

Belum pernah cuba?

Telur Pindang boleh dimakan begitu sahaja atau dijadikan lauk untuk dimakan bersama nasi. Rasa Telur Pindang yang lazat sangat digemari kana-kanak. Riqq masih ingat sewaktu masih kecil, sangat suka dan berebut-rebutkan Telur Pindang dengan kawan-kawan. Kini, Telur Pindang bukan sahaja popular dikalangan masyarakat berketurunan Jawa di Melaka malah turut terkenal dikalangan masyarakat Melayu dan lain-lain.

Bagi anda yang ingin mencuba atau menempah Telur Pindang tradisi Melaka ini, bolehlah menghubungi Riqq dengan syarat tempahan 100 biji ke atas.