Wednesday, January 12, 2011

Berita: Hospital Pakar Mata Terbesar di Malaysia

Sebuah Hospital Pakar Mata yang terbesar di Malaysia akan dibina di Bandar Hang Tuah Jaya tidak lama lagi sekaligus dapat menjadi alternatif bagi pesakit-pesakit mata yang perlu mendapatkan rawatan di hospital-hospital pakar mata di ibu negara. Pembinaan Hospital Pakar Mata yang baru ini dapat mengukuhkan lagi kedudukan Melaka sebagai sebuah destinasi Pelancongan Kesihatan serantau dimana kini lebih 55% warga Indonesia telah mendapatkan rawatan di hospital-hospital dan pusat-pusat rawatan di Melaka.

Sebuah artikel tentang pembinaan Hospital Pakar Mata di Melaka:

Sedia Pelbagai Rawatan Termasuk ENT
HOSPITAL PAKAR MATA TERBESAR DI BANDAR HIJAU


AYER KEROH, 28 April - Melaka bakal memiliki sebuah Hospital Pakar Mata terbesar di negara ini yang akan dibina ditapak seluas 5.48 ekar di Bandar Hijau Hang Tuah Jaya.

Pengarah Hospital Pakar Mata Melaka Sdn Bhd, Raja Shahrizan Raja Shahrom berkata, projek bernilai kira-kira RM10 juta bakal menyediakan pelbagai fasiliti rawatan mata serta rawatan untuk telinga, hidung dan tekak (ENT).

"Kerja-kerja pembinaan dijangka bermula dalam tempoh enam bulan dari sekarang setelah pelbagai urusan berkaitan pengambilan tanah, pelan reka bentuk dan sebagainya selesai," ujar Raja Shahrizan.

Beliau berkata demikian kepada MHI selepas menandatangani perjanjian pembelian tanah bernilai RM1.2 juta dengan Yayasan Melaka yang diwakili Pengarahnya, Mohd Derus Tumpang.

Majlis ringkas tersebut turut disaksikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, di pejabatnya di Seri Negeri, pagi tadi.

Raja Shahrizan memberitahu, Melaka merupakan lokasi strategik bagi pembinaan hospital berkenaan sejajar dengan kedudukannya sebagai destinasi pelancongan kesihatan terunggul di Malaysia.


"Hospital Pakar Mata Melaka juga merupakan yang pertama dibina di luar Lembah Klang yang kini memiliki Hospital Pakar Mata Tun Hussein Onn di Petaling Jaya. Kewujudannya kelak bakal memberi alternatif kepada pesakit, khususnya dari luar negara yang berhasrat mendapatkan rawatan," ujarnya.

Beliau menjelaskan, Hospital Pakar Mata Melaka bakal dilengkapi dengan kemudahan 20 katil untuk pesakit dan 20 katil lagi untuk rawatan harian.

"Kita juga akan menyediakan kemudahan untuk rawatan ENT sebagaimana yang dicadangkan oleh Ketua Menteri," kata Raja Shahrizan.