Saturday, January 01, 2011

Melaka Cuisine: Bubur Putih Bubur Merah


Bubur Putih Bubur Merah merupakan sejenis makanan tradisi masyarakat di Melaka terutamanya bagi masyarakat berketurunan Melayu dan Jawa. Makanan ini biasanya disajikan pada hari-hari tertentu seperti ulang tahun perkahwinan, hari lahir, majlis kenduri dan sebagainya. 


Di Melaka, Bubur Putih Bubur Merah akan dimasak dan diberikan kepada sanak saudara, rakan-rakan dan jiran tetangga sekiranya hajat seseorang  telah tercapai. Contohnya jika anak-anak lulus peperiksaan ataupun selamat dikhatankan, ibu mereka akan memasak Bubur Putih Bubur Merah untuk dihidang dan diberikan kepada orang-orang di sekeliling mereka sebagai tanda kesyukuran. 


Keunikan bubur ini adalah terletak pada namanya iaitu Bubur Putih Bubur Merah. Nama bubur ini tiada kaitan langsung dengan lagenda Bawang Putih Bawang Merah. Bubur ini mendapat namanya daripada warna yang terhasil pada bubur yang dicampur gula melaka dan bubur yang tidak bercampur gula Melaka. 


Bubur putih akan diletakkan di tengah-tengah bubur merah dan kuantiti bubur merah adalah lebih banyak berbanding bubur putih kerana bubur putih berasa sedikit masin dan bubur merah pula berasa manis.

Mengikut cerita masyarakat lama di Melaka, Bubur Putih Bubur Merah ini telah wujud sejak lama dahulu iaitu seawal era Kesultanan Melaka dan telah menjadi ikutan rakyat biasa dan amalan mengagihkan bubur ini masih diteruskan sehingga kini bagi menzahirkan rasa kesyukuran atas nikmat yang dikurniakan oleh yang Maha Esa. 

Di Melaka, anda dapat melihat ramai orang mengagihkan Bubur Putih Bubur Merah di Masjid Kampung Hulu dimana masjid ini bukan sahaja menjadi tempat menunaikan solat, malah masjid ini turut mempunyai berkatnya tersendiri kerana telah berusia ratusan tahun dan antara masjid terawal dibina di Malaysia. Pengagihan Bubur Putih Bubur Merah oleh individu mahupun keluarga yang telah tercapai hasratnya (nazar) di masjid ini pada waktu Zohor telah menjadi suatu kebiasaan bagi masyarakat Melaka. 

Bubur Putih Bubur Merah sesuai dijadikan pencuci mulut kerana rasanya yang manis dan lemak. Terdapat 2 jenis Bubur Putih Bubur Merah iaitu bubur yang menggunakan nasi atau pulut. 


Bagi anda yang belum pernah merasai Bubur Putih Bubur Merah, anda boleh mencuba resepi ini:

Bahan-bahan ( anggaran untuk 5-6 orang )

300 gm beras /pulut
4 ketul gula Melaka di masak / cairkan kemudian ditapis
200 ml santan kelapa
2 sudu mkn gula pasir
Garam secukup rasa
4-5 helai daun pandan
Air

Cara-cara:
1. Tanak pulut / beras dengan secukup air hingga kembang dan masukkan daun pandan.
2. Masukkan santan kelapa, masak dan kacau sehingga sebati dan asingkan 5 senduk pulut ke dalam mangkuk lain dantambah garam ke dalamnya.
3. Masukkan gula melaka ke dalam bubur yang selebihnya dan kacau sehingga rata, jika kurang manis tambahlah sedikit gula pasir.
4. Jika sudah masak sendukkan bubur pulut merah ke dalam mangkuk dan senduk sedikit bubur pulut putih bubuh di atasnya (tengah-tengah).
5. Siap untuk dihidangkan!