Melaka bakal memiliki sebuah taman burung terbesar di Asia tidak lama lagi. Berkeluasan 1.8 ekar, taman tersebut akan dibina di Taman Botanikal Melaka yang terletak di Ayer Keroh.
Apabila siap kelak, taman burung ini akan menjadi habitat lebih 300 spesies burung dan unggas dari seluruh pelusuk dunia dan dijangka mampu menarik 1 juta pelancong setiap tahun.
Lokasinya yang terletak di dalam kawasan Taman Botanikal adalah bersesuaian dengan habitat asal burung dan unggas serta berdekatan dengan tempat tumpuan pelancongan di Ayer Keroh. Taman tersebut juga akan memiliki kemudahan lengkap untuk para pengunjung dan pelancong.
Untuk pengetahuan anda, Melaka pernah memiliki sebuah taman burung suatu ketika dahulu namun telah ditutup sekitar tahun 2000 atas sebab-sebab tertentu. Diharap dengan terbinanya sebuah lagi tarikan pelancongan di Ayer Keroh, Melaka akan terus popular sebagai destinasi pelancongan terkemuka tanah air.
Berikut turut disertakan laporan akhbar-akhbar mengenai projek tersebut.
Laporan Akhbar
Utusan Online:
Taman burung terbesar Asia di Melaka
MELAKA 6 Sept. - Sebuah taman burung terbesar di Asia akan dibina di Taman Botanikal, Ayer Keroh di sini melibatkan kos bernilai RM30 juta.
Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, taman seluas 1.8 hektar itu akan mula dibina menerusi peruntukan Kementerian Pelancongan hujung bulan ini.
Menurutnya, Syarikat Terbit Serba Boleh Sdn. Bhd. (STSB) telah dilantik untuk membina taman burung dan dijangka memakan masa 18 bulan untuk disiapkan.
"Taman burung ini akan menjadi satu lagi mercu tanda tarikan pelancong datang ke negeri ini kerana ini merupakan taman burung terbesar di Asia.
"Taman ini juga lebih besar daripada Jurong Bird Park yang terdapat di Singapura dan Taman Botanikal dipilih kerana mempunyai hutan hujan tropika yang amat sesuai untuk menempatkan pelbagai spesies burung di rantau ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat lawatan ke tapak pembinaan taman burung di Taman Botanikal, Ayer Keroh di sini, hari ini.
Mohd. Ali berkata, taman itu akan menempatkan kira-kira 300 spesies burung dan enam spesies utama burung kakak tua yang akan menjadi tarikan utama.
Selain menempatkan burung-burung tempatan katanya, pelbagai spesies burung dari rantau Asia akan turut terdapat di taman ini.
Katanya, antara spesies burung itu ialah burung kasih, bangau kendi, enggang badak, nuri pekicau, kakak tua jambul kuning, nuri jalur kuning, burung unta, burung upeh, burung bangau dan sebagainya.
"Kita telah minta STSB untuk menyiapkan taman ini dalam tempoh setahun dan bukannya 18 bulan. Jika siap nanti, ia mampu menarik kedatangan 1 juta pelancong setahun," katanya.
Beliau berkata, taman tersebut akan dilengkapi restoran, kedai menjual cenderamata, tandas, surau, taman permainan kanak-kanak, kawasan rehat, pentas, tempat letak kereta dan bas.
Sinar Harian:
Bina taman burung terbesar di Asia
AYER KEROH - Sebagai sebuah negeri teknologi hijau, Melaka bakal melakar sejarah dengan membina sebuah taman burung terbesar di Asia di Taman Botanikal, di sini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata, taman seluas 1.8 hektar itu akan mula dibina melalui peruntukan Kementerian Pelancongan berjumlah RM30 juta pada penghujung tahun ini.
“Taman burung ini akan menjadi salah satu tarikan pelancongan dan keluasannya melebihi Jurong Bird Park di Singapura.
“Sebuah syarikat swasta, Syarikat Terbit Serba Boleh Sdn Bhd (STSB) telah dilantik untuk membina taman burung ini, yang dijangka siap dalam tempoh 18 bulan,” katanya kepada pemberita selepas melawat tapak pembinaan taman burung itu, di sini, semalam.
Mohd Ali berkata, pemilihan Taman Botanikal berdasarkan faktor geografinya iaitu hutan hujan tropika yang amat sesuai sebagai habitat pelbagai spesies burung di rantau ini.
“Selepas siap nanti, taman ini akan dipenuhi kira-kira 300 spesies burung dan enam spesies utama burung kakak tua, selain menempatkan burung tempatan dan pelbagai spesies burung dari rantau Asia.
“Antaranya burung kasih, bangau kendi, enggang badak, nuri pekicau, kakak tua jambul kuning, nuri jalur kuning, burung unta, burung upeh, burung bangau dan sebagainya,” katanya.
Menurutnya, sesuai dengan taman pelancongan, taman burung itu juga akan dilengkapi pelbagai kemudahan seperti restoran, kedai menjual cenderamata, tandas, surau, taman permainan kanak-kanak, kawasan rehat, pentas dan tempat letak kereta serta bas.