Salah satu kuih tradisional yang popular di Melaka adalah bingka. Terdapat pelbagai jenis bingka seperti bingka ubi, bingka roti, bingka betawi, bingka pandan, bingka labu, bingka tepung, bingka berlauk, bingka jagung dan lain-lain. Namun, bingka betawi merupakan sejenis bingka tradisi warisan turun-temurun masyarakat Melayu di Negeri Melaka.
Bingka betawi agak rumit untuk disediakan namun penat lelah membuatnya pasti berbaloi apabila dimakan bersama-sama keluarga dan rakan-rakan untuk minum petang mahupun meraikan acara tertentu.
Bingka betawi tidak jauh bezanya dengan bingka ubi tetapi cara penyediaan dan ramuannya mungkin berbeza-beza mengikut daerah dan mukim-mukim di Melaka. Kebiasaannya kuih bingka akan dibuat sempena Hari Raya Aidiladha atau Hari Raya Haji bersama-sama dengan kuih-muih 'basah' yang lain seperti kuih bakar basah, kuih koci, kuih genggang, seri kaya, kuih lopes, bujang lapok, apam dan lain-lain.
Masyarakat Melayu Melaka lebih gemar menyediakan kuih muih 'basah' sebegini sempena Hari Raya Haji kerana sambutannya yang agak singkat iaitu selama 4 hingga 5 hari sahaja (10, 11, 12 & 13 Zulhijjah). Jadi penyediaan kuih bingka dan lain-lain kuih 'basah' ini dianggap sesuatu yang unik bagi orang-orang luar dan pelancong.
Bingka betawi sangat lazat dan rasanya sangat unik. Kenyal seperti dodol, namun tekstur dan warnanya sangat menyelerakan. Kuih ini juga sangat popular dijadikan juadah minum petang, sarapan pagi mahupun dijadikan hantaran perkahwinan.