Tuesday, January 24, 2012

Melaka Cuisine: Lenot

Lenot? Apakah itu sebenarnya lenot? Jika di Sabah masyarakatnya terkenal dengan ambuyat, kami di Melaka pula terkenal dengan lenot. Lenot merupakan pencuci mulut tradisi masyarakat Melayu Melaka sejak berkurun lamanya. Diperbuat daripada tepung sagu, lenot enak dimakan bersama kuah santan yang dicampur gula melaka dan sedikit garam. 


Mungkin generasi sekarang tidak mengenali lenot malah ada yang mungkin tidak pernah merasai keseronokan dan keenakan menjamah lenot dalam sebarang majlis di Melaka kerana masyarakatnya kini semakin melupakannya. Tidak seperti cendol, lenot kurang popular kerana peredaran zaman dan cita rasa yang kian berubah.


Tekstur lenot yang kenyal dan lembut sungguh enak dimakan bersama kuah santan dan gula Melaka pasti membuatkan anda menggemarinya. Sesuai dijadikan hidangan minum petang atau pencuci mulut, lenot menjadi pilihan anak-anak dan juga warga tua.


Lenot bukan sahaja mudah disediakan, kos membuatnya juga cukup murah kerana hanya tepung sagu diperlukan untuk membuat lenot manakala santan kelapa, sedikit gula melaka dan secubit garam untuk menambah rasa.


Mungkin anda juga tertanya-tanya dimanakah untuk mendapatkan lenot jika berkunjung ke Melaka. Setakat ini, tiada sebarang restoran pun yang menyajikan lenot namun anda boleh menjumpai dan merasai kelazatan lenot di program-program homestay di Melaka.


Asal usul lenot tidak diketahui namun ada kisah-kisah lama nenek moyang mengatakan lenot telah dijadikan hidangan sejak berkurun lamanya iaitu sebelum zaman penjajahan lagi dan sehingga kini tidak dilupakan oleh sebahagian keluarga dan masyarakat Melayu Melaka.