Sunday, May 27, 2012

Info: Bukit Katil


Masjid Bukit Katil

Tahukah anda tentang sejarah dan asal usul nama Bukit Katil? Pembukaan awal kampung berkenaan mempunyai keistimewaan tersendiri. Menurut Sidang Kampung Bukit Katil, Abdul Ghani Maarof, 63, beliau mengetahui sejarah awal pembukaan kampung berkenaan berdasarkan cerita yang disampaikan 'orang-orang tua' di situ secara turun-temurun mengenai asal usul nama berkenaan. 

Berdasarkan cerita disampaikan, penduduk terdahulu dikatakan menemui batil emas (bekas simpanan air) seperti labu sayong yang terletak di atas batu berbentuk seakan katil di atas puncak bukit di situ (bukit terletak bersebelahan Sekolah Rendah Kebangsaan Dato' Demang Hussin).

Rumah Melaka (Pusat Perkayuan Negeri Melaka)

Penemuan batil emas di bukit terbabit sekali gus membawa kepada terciptanya nama Bukit Katil yang digabungkan antara bukit dan batu didakwa berbentuk seperti katil, selain bekas menyimpan air yang ditemui ketika itu. Nama Kampung Bukit Katil tercipta selepas kemasukan pihak British ke Melaka pada waktu dahulu.

Kampung Bukit Katil meliputi empat solok iaitu Solok Bukit Bayan, Solok Telok, Solok Tambak dan Solok Balik Hutan (kini dikenali sebagai Solok Kampung Baru atau Kampung Desa Wawasan).

Bagaimanapun, berdasarkan fakta sejarah, kampung asal Bukit Katil adalah Bukit Sama Tahu (selepas itu dikenali sebagai Solok Pantai) yang terletak di pinggir pertemuan Sungai Gapam dan Sungai Ayer Panas (Sungai Tehel).

Fakta sejarah juga mencatatkan pertemuan dua sungai berkenaan yang bercantum dengan Sungai Duyong menjadi laluan askar kerajaan Melayu Melaka yang lari daripada serangan tentera Portugis selepas kejatuhan Empayar Melaka.

Ketika melarikan diri, sebahagian daripada tentera kerajaan Melaka ketika itu ada yang mudik ke Ulu Duyong manakala sebahagian lain pula meneroka kawasan di pinggir pertemuan Sungai Gapam dan Sungai Ayer Panas seterusnya membuka perkampungan di situ dan menamakannya Bukit Sama Tahu.

Menurut Sidang Abdul Ghani, berdasarkan pengetahuan silam seorang penduduk, Allahyarham Dalip Said dari Solok Balik Hutan, asal asul pembukaan Kampung Bukit Sama Tahu mempunyai versi yang agak unik apabila mereka yang mula meneroka tempat berkenaan dikatakan terjumpa seekor kijang bertanduk emas.

Bagaimanapun, disebabkan pantang-larang orang dulu kala yang pada masa itu dipegang teguh, maka mereka bertindak merahsiakan perkara berkenaan sesama mereka dengan berjanji bahawa 'kita sama kita saja yang tahu'.

Dengan itu, kampung yang dibuka di situ pada masa itu diberikan nama Bukit Sama Tahu sempena rahsia disimpan di kalangan penduduk asal terbabit," katanya mengisahkan serba sedikit sejarah kewujudan Kampung Bukit Katil.

Selepas kampung berkenaan wujud barulah penempatan lain di kawasan berdekatan mula diterokai penduduk lain. Sejarah mengenai asal usul Kampung Bukit Katil mendapat nama tidak banyak berbeza dengan apa yang diceritakan seorang penduduk lain, Abu Samah Mohd, 64.

Menurut cerita disampaikan kepadanya oleh bapa beliau, Mohd Lamin, yang lahir pada 1918, moyangnya yang berhijrah dari Kedah dan menetap di Kampung Pengkalan Badak mendapati sudah ada rumah atau penempatan penduduk di kampung bersebelahan iaitu Kampung Bukit Katil.

Nama Bukit Katil berkemungkinan diperoleh penduduk pertama yang menjumpai batil iaitu bekas menyimpan air ketika menebang pokok di puncak bukit apabila mula meneroka kawasan di situ. Berkemungkinan juga penduduk pertama yang meneroka kawasan bukit di sini menamakannya seumpama itu selepas menjumpai batil di atas batu seakan bentuk katil sempena penemuan itu.

Sorotan sejarah juga menunjukkan penghubung laluan kampung berkenaan untuk ke bandar Melaka pada masa lampau menggunakan laluan menerusi Sungai Gapam dan Sungai Duyong. Manakala jalan asal kampung terbabit adalah jalan kereta lembu yang digunakan penduduk dari Duyong melalui Solok Tambak ke Bukit Bayan hinggalah ke Bukit Sama Tahu dan Balik Hutan.

Selepas penjajahan Inggeris pertama, maka pihak penjajah bertindak membina jalan di lokasi sedia ada untuk kemudahan penduduk mengangkut hasil getah dari Ladang Getah Bukit Katil Home Division ke bandar (pelabuhan) manakala Jalan Bukit Katil diturap pada 1960.

Secara amnya, penduduk Kampung Bukit Katil pada waktu dulu kebanyakannya menyara diri dengan menjual kayu api seperti kayu getah dan kayu gelam untuk memasak dan dihantar ke bandar menggunakan kereta lembu termasuk basikal yang ketika itu sebagai nadi pengangkutan utama. Selain itu, mereka turut bercucuk tanam termasuk menanam padi.

Kawasan sekitar Kampung Bukit Katil pada suatu masa dulu dikelilingi pokok getah dan sawah padi kini membangun dengan pesat apabila dikelilingi pejabat agensi kerajaan seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Kimia, sekolah, taman perumahan termasuk masjid.

Malah, terdapat juga produk terbaru tarikan pelancong iaitu Rumah Melaka yang menempatkan pelbagai perabot kayu dan tradisional daripada seluruh negara kini diwujudkan di situ oleh kerajaan negeri.

Namun di sebalik pembangunan pesat, terdapat seorang tokoh tempatan, Demang Hussin Maaji yang dikatakan pernah menabur bakti dengan menyumbang peranan penting dalam pembangunan ilmiah sehingga namanya diabadikan pada sebuah sekolah rendah.

Sekolah berkenaan dulunya dikenali sebagai Sekolah Melayu Bukit Katil (sekolah atap diperbuat daripada kayu dan atap rumbia dan berlantaikan tanah) dibina pada 1924, tetapi lokasi asalnya terletak di Solok Tambak berhadapan Masjid Jamek Bukit Katil sekarang.

Ketokohan Demang Hussin Maaji terbukti apabila beliau ketika hayatnya juga dikenali sebagai guru mengaji, guru besar sekolah diasaskannya selain pernah dilantik sebagai Ketua Penghulu atau Demang bagi Mukim Bukit Katil, Duyong dan Semabok di zaman penjajahan Inggeris.