Berita: Peruntukan RM12.8 Juta Bina Semula Tembok Pertahanan Kota Melaka
MELAKA, 18 Feb (Bernama) -- Kerajaan pusat telah meluluskan RM12.8 juta bagi pembinaan semula tembok pertahanan Kota Melaka yang diwujudkan pada era penjajahan Portugis atau Belanda di Bandar Hilir di sini.
Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata fasa pertama kerja pembinaan itu dijangka bermula pada April atau Mei ini.
Kabinet bersetuju supaya peta lakar (pembinaan tembok itu) disiapkan dengan segera oleh Jabatan Warisan Negara dengan bantuan pakar sejarah di Melaka dan beberapa pakar arkeologi berkaitan, katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis makan malam "Serumpun Kasih" anjuran Pergerakan Wanita Umno Negeri di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh, malam tadi.
Tembok pertahanan Kota Melaka itu mula dikesan ketika kerja pembinaan menara berputar berharga RM21 juta di Bandar Hilir pada Oktober lepas. Berikutan penemuan itu, pembinaan menara berkenaan dipindahkan ke lokasi lain berdekatannya.
Dr Rais berkata pembinaan semula itu hanya melibatkan kawasan tertentu yang mempunyai kaitan dengan sejarah pertahanan kota berkenaan.
"Orang akan bertanya kenapa didirikan semula dalam bentuk replika sebab ini adalah peninggalan penjajah. Kita tidak melihat dari sudut sentimen yang condong kepada pihak tertentu, kita cuma cenderung kepada artifak sejarahnya," katanya.
Dr Rais berkata kerajaan pusat juga memperuntukkan RM8 juta bagi pembinaan Memorial Tun Abdul Ghafar Baba di negeri ini bagi mengenang sumbangan besar bekas timbalan perdana menteri dan bekas ketua menteri Melaka itu.
Sementara itu, Ketua Menteri Datuk Seri Mohamed Ali Rustam berkata kerajaan Melaka menyambut baik keputusan kerajaan pusat membina semula tembok pertahanan Kota Melaka itu yang akan menjadi tarikan baru kepada pelancong serta pengkaji sejarah.
-- BERNAMA