Tuesday, October 19, 2010

Culture: Sanggul Lintang


Tangkas bersilat langkah Tun Teja
Terhunus keris bertatah nilam
Cantik dipandang pengantin Melaka
Bersanggul lintang pusaka silam


Sanggul lintang adalah merupakan sejenis sanggul atau perhiasan kepala tradisi masyarakat wanita Melaka yang telah diwarisi sejak berkurun lamanya. Keunikan sanggul lintang terletak pada seni motif flora yang terdapat pada sanggul. Menurut catatan sejarah, para puteri dan permaisuri Melaka memakai sanggul lintang untuk semua majlis rasmi. Sanggul lintang diperbuat daripada emas dan perak bertatahkan permata. Dianggarkan berat sanggul lintang mampu mencecah sehinga 5 kilogram!

Sanggul lintang pada sewaktu ketika dahulu sama tarafnya dengan mahkota diraja. Oleh itu, hanya golongan diraja sahaja mampu memiliki dan memakainya. Bukan semua orang mampu memasang dan menghiasi sanggul lintang kerana jika tidak kena caranya, sanggul ini boleh tercabut dan mencederakan si pemakai. 

Kini sanggul lintang menjadi perhiasan kepala untuk pengantin perempuan dan diberi nafas baru dan mengikut peredaran zaman. Sanggul lintang memang terkenal di Melaka dan dipakai oleh pengantin perempuan sejak dahulu sehingga sekarang. Tidak berseri atau tidak lengkap seseorang pengantin perempuan itu jika kepala tidak dihias dengan sanggul lintang.

Sanggul lintang mungkin mendapat namanya kerana bentuk sanggul itu yang melintang atas kepala dan bukan di belakang seperti kebanyakan sanggul lain.

Ilustrasi Permaisuri Tun Kudu yang memakai sanggul lintang


Ia yang turut dikenali sebagai sanggul bermahkota kerana perhiasan seperti mahkota di atas kepala. Dipercayai juga sanggul lintang berasal daripada hiasan kepala yang biasa digunakan oleh masyarakat Cina peranakan atau Baba dan Nyonya di negeri itu. Namun seperti mana yang diketahui, sanggul lintang telah menjadi perhiasan kepala puteri-puteri dan permaisuri Melaka sejak sebelum kedatangan orang-orang Cina.


Perhiasan ini menjadi kemestian untuk dipakai ketika persandingan perkahwinan masyarakat Melayu Melaka zaman dahulu. Bagaimanapun ia telah diubah suai bagi disesuaikan dengan pemakaian pengantin pada masa kini.

Sanggul Lintang Melaka digayakan dengan sibai (pelapik dokoh atau penutup dada)