Tuesday, October 19, 2010

History: Sejarah Perang Rokam (1887)

Sejarah Perang Rokam (1887)
(15hb Safar 1306H)


Terdapat banyak peristiwa bersejarah yang berlaku di Serkam disepanjang zaman . Diantara peristiwa yang menarik disepanjang abad yang ke 19 ialah gerakan anti cukai yang berlaku dalam tahun 1887. Peristiwa yang sedih walaupun telah hampir seratus tahun lamanya, tetapi ia masih subur menjadi kenangan hingga kehari ini.

Gerakan anti cukai ini juga lebih dikenali oleh masyarakat tempatan sebagai ‘Perang Rokam’. 


Perang Rokam ini sebenarnya diambil dari nama seorang pegawai Inggeris yang bertugas sebagai penetap sempadan (Demarcation Officer) di Melaka bernama J.B Alcolm .Oleh kerana beliaulah yang memainkan peranan sebagai punca perang ini, Melayu telah menyebut sebagai “Rokam” dan bukan Alcom.


Penentangan ini diketuai oleh seorang imam di kampung bernama Mohammad Said Bin Marsah atau lebih terkenal dengan nama Tok Andak.


Punca berlaku Perang Rokam ini terdapat pertama dalam syair Perang Rokam yang telah menjadi tradisi lisan yang mewarisi oleh penduduk tempatan . Rangkap ini berbunyi:

Bismillah itu mula dikarang
Syair sudah dibuat orang
Sebab kampong jadi berperang
Cukai lama telah terbang.

Dari rangkap ini jelas menunjukkan bahawa berlaku pernag rokam ini berpunca dari soal cukai yang telah ditetapkan oleh kerajaan Inggeris kepada penduduk Melaka.


Sistem cukai asal di Melaka yang diwarisi oleh penduduk Melaka hingga ke zaman pemerintahan Inggeris adalah berasal dari Kerajaan Melayu Melaka. Sistem cukai traditional itu ialah sistem sepuluh satu (10 : 1) Mengikut sistem Melayu traditional ini, semua hasil tanaman atau ternakan yang diperolehi hendaklah diserahkan kepada kerajaan 1 unit dari tiap tiap sepuluh unit yang diperolehi. 


Contohnya bagi tiap-tiap sepuluh biji kelapa yang diturunkan , sebiji hendaklah diserahkan kepada kerajaan. Bagitu juga bagi tiap tiap 10 gantang padi yang dituai, segantang hendaklah diserahkan kepada kerajaan melalui seorang wakil yang dilantik . Sistem ini telah diwarisi oleh pemerintah Portugis dan juga diamalkan zaman pemerintahan di Melaka.

Pada tahun 1795 Negeri Melaka telah diserahkan kepada Inggeris melalui ‘Surat Kew ’. Ini memberi peluang kepada Inggeris menguasi Melaka hingga tahun 1818. Pada tahun itu Pulau Pinang sedang berkembang dan Syarikat India Timor Inggeris yang diketuai William Farquehar telah bertindak menghapuskan kota Melaka dengan harapan supaya perdagangan Melaka berpindah ke Pulau Pinang.


Pada tahun 1818 Inggeris mengembalikan Melaka kepada Belanda. Mengikut perjanjian Inggeris-Belanda, Inggeris mendapati Melaka semula. Pada masa itu Melaka merupakan pelabuhan yang tidak produktif dan menghadapi masalah tanah yang amat besar. 


Kerajaan Inggeris telah menjalankan ikhtiar untuk mengatasi masalah kewangan yang dihadapi oleh pemerintah tempatan Melaka. Salah satu keputusan ng diambil ialah mencukai tanah yang ada di Melaka bagi memudahkan mereka memungut hasil cukai. Mereka tidak bersetuju sistem cukai 10:1 kerana mengikut pandangan mereka sistem ini tidak ekonomik , mewujudkan penyelewengan dan melahirkan rasuah. Penipuan boleh berlaku oleh pemungut hasil yang ditugaskan – berlaku tidak jujur terhadap pemerintah.

Di Serkam orang yang ditugaskan untuk memungut hasil di kampung tersebut ialah Jamal atau Mata-mata Jamal. Tugas Jamal meronda seluruh kampung untuk mengetahui samaada ada diantara penduduk dikampung itu yang telah menurunkan kelapa, menuai padi, memungut buah-buahan, menternak binantang. Beliau akan mengenakan pungutan seperti yang telah ditetapkan.Semua hasil yang dipungut dikumpulkan disebuah tempat pengumpulan letaknya dipekan Umbai. Dari Umbai ianya diangkut kebandar Melaka dengan mengunakan kereta lembu.


Bagi Inggeris, adalah lebih baik dikenakan cukai tetap dan dibayar dalam bentuk wang. Dengan ini setelah tanah disukat oleh JB Alcolm pegawai Penetap Sempadan, cukai tetap mula dikenakan. Cukai yang ditetapkan itu ialah 50 sen seekar purata sama ada tanah itu berhasil atau tidak.

Ketua ketua kampong diseluruh negeri Melaka telah dipanggil ke pejabat pentadbiran British Melaka oleh ResidenT Commisioner Melaka bagi menerangkan tentang sistem cukai yang baru. Ketua-ketua kampung kemudiannya dikehendaki menjelaskan tentang cukai kepada anak buahnya masing-masing. Ketua kampung pada waktu itu ialah Dato’Penghulu Dol bin Bidin. Dato’ Penghulu Dol telah mengumumkan tentang cukai tersebut di masjid Serkam selepas sembahyang Jumaat. 


Mengikut beliau, pemerintah Inggeris bertujuan untuk menyelaraskan segala cukai-cukai dengan mengenakan bayaran tunai 50 sen seekar bagi semua tanah tanah di Melaka.Dengan lain perkataan sistem pungutan cukai 10:1 yang diwarisi sejak zaman berzaman dimansuhkan.


Penduduk Serkam telah mendengar penerangan penghulu dengan rasa gelisah. Tuan Imam Masjid Serkam iaitu Imam Mohammad Said bin Marsah atau lebih terkenal dengan nama Tok Andak merasakan perubahan sistem itu satu pukulan yang hebat kepada orang Melayu. Beliau telah bangun memprotes dan diikuti oleh pengikut-pengikutnya menentang sistem pungutan yang baharu diberitahu itu.

Dato’ Penghulu telah dikecam oleh orang kampung kerana tidak membantah semasa penerangan diberikan kepadanya sebelum itu. Beliau juga telah diejek dan disifatkan sebagai tali barut British. Beliau tidak dapat berbuat apa-apa selain dari melaporkan “Peristiwa Jumaat” itu ke Melaka.


Penduduk penduduk Serkam dibawah pimpinan Tok Andak sebulat suara menentang sistem cukai tetap yang dikenakan oleh Inggeris itu. Tok Andak memberitahu Tok Penghulu Dol orang Serkam tidak akan membayar apa apa, sekali pun menghadapi apa apa kemungkinan yang datang. Mereka menyeru akan menentang orang Inggeris walaupun nyawa mereka terancam. 


Mereka menganggap bahawa penentangan itu satu perang agama.
Keesokan harinya Dato’ Penghulu Dol berangkat ke Melaka dengan kereta kudanya untuk menemui J.B Alcolm – segala protes penduduk Serkam telah disampaikan nya kepada pegawai itu. 


Tuan Alcolm bagitu terperanjat kerana beliau tidak menduga perkara seperti itu berlaku. Orang-orang Melayu yang selama ini bersifat ‘pasif’ rupa-rupanya telah mempunyai semangat menentang. Beliau ingin mengetahui setakat mana kebolehan orang Melayu menentang Inggeris. Dato’ Penghulu Dol telah meminta Tok Andak menemui Tuan Alcolm. Sebaliknya beliau telah mengumpulkan orang-orang Serkam di masjid bagi membincangkan tentang kemungkinan2 yang akan dilakukan oleh Inggeris terhadap mereka. Mereka membincangkan strategi perjuangan mereka jika sekiranya Inggeris datang menyerang, masjid Serkam dijadikan sebagai markas mereka .

Inggeris tidak berjaya mengadakan perundingan dengan Tok Andak. Mereka tiada jalan lain selain dari mengancam orang Serkam dengan menggunakan senjata. Satu tindakan segera telah diadakan dengan menghantar seramai 24 orang askar Benggali dengan senapang lantaknya. Mereka datang dengan menaiki kereta kuda.

Tok Andak dan pengikut pengikutnya telah menguatkan pertahanan mereka di kampung itu. Ketua ketua telah dilantik untuk mempertahankan kampung Serkam dari dicerobohi oleh Inggeris. Diantara mereka yang telah dipilih ialah Tok Shamsuddin, Mata-mata Jamal dan Hj Ahmad Gemok. Ketiga-tiganya merupakan pendekar-pendekar yang menjadi orang kanan Tok Andak. Adalah dipercayai mereka mempunyai ilmu mempertahankan diri dan ilmu kebatinan yang tinggi darjatnya.


Tiap-tiap hari askar Sikh dipimpin oleh seorang pegawai Inggeris datang ke Serkam lalu melepaskan tembakan. Tujuannya ialah menakut2kan orang Serkam. Mereka kemudian balik ke Melaka pada sebelah petangnya. Mereka , disamping itu, berusaha upaya untuk menangkap Tok Andak dan pimpinan yang lain.


Pada hari ketiga Tok Andak telah membuat satu strategi baru dengan menempatkan beberapa orang pengikutnya disebelah barat kampung Serkam berhampiran dengan Sungai Lobok Buaya . Hj Ahmad Gemok telah ditugaskan untuk memimpin kumpulan tersebut. Sejak dari subuh lagi mereka telah berkumpul didalam hutan gelam dikiri kanan lorong. Mereka hanya menggunakan senjata tradisional seperti keris, tombak,pedang dan lembing.


Lebih kurang pukul 7.30 pagi kereta kuda sampai ke tempat mereka bersembunyi. Sebaik sahaja mereka menerima isyarat dari Hj Ahmad, mereka telah menyerang kereta kuda itu. Askar Sikh serta merta melepaskan tembakan ke arah mereka. Salah satu dari tembakan itu mengenai kaki Hj Ahmad. Melihatkan demikian Hj Ahmad telah diundurkan dan pertempuran pun reda. Senjata traditional Melayu tidak dapat menandingi senapang-senapang Inggeris.


Berita tertembaknya Hj Ahmad telah disampaikan kepada Tok Andak yang bertahan disebelah baruh berhampiran dengan masjid. Tok Andak telah menerima berita itu dengan sedihnya. Askar -askar upahan, askar Sikh terus menyerbu kebeberapa bahagian kampung tersebut. Tok Andak tidak dapat berbuat apa-apa lalu berundur ke paya bakau disebelah laut. Askar Inggeris tidak berhenti melepaskan tembakan hingga ke petang. Namun demikian rancangan menangkap Tok Andak gagal juga. Mereka kemudiannya berundur ke Melaka .


Kisah penentangan hebat itu telah disampaikan kepada pihak pentadbir di Melaka. Bagi mereka tidak ada jalan lain lagi selain dari menangkap’pemberontak pemberontak’ itu . Mereka merasa penentangan dapat ditamatkan jika pemimpin pemimpin ‘pemberontak’ itu ditangkap Mereka telah menjalankan satu operasi untuk menyerbu kampung Serkam pada waktu malam . Mereka telah sampai pada jam kira-kira satu malam dan terus menuju ke rumah Tok Shamsuddin (seperti syair yang ditulis oleh Tuan Hj Omar Hj Othman).


Berlaku pergelutan diantara orang-orang Sikh dan orang kampung. Pergelutan telah berlaku didalam gelap . Bukan sahaja diperjuangkan oleh orang orang laki-laki bahkan orang pun turut campur tangan menentang Inggeris .

Tidak diketahui berapa ramai diantara askar Sikh dan orang orang kampung yang cedera. Tok Shamsuddin telah ditangkap oleh askar Sikh. Tuan Alcolm telah memerintahkan supaya menembak sesiapa sahaja yang cuba hampir dengan Tok Shamsuddin yang telah diikat. Berita penangkapan Tok Shamsuddin telah disampaikan kepada Tok Andak kemudiannya.


Didalam operasi itu, mata mata Jamal, Tik Sharif dan Hj Manaf juga turut tertangkap dan dibawa keMelaka dengan kereta kuda. Tidaklah diketahui apakah yang berlaku kepada mereka.

Tok Andak telah kehilangan kesemua orang kanannya. Beliau rasa seolah2 tidak dapat lagi meneruskan perjuangan. Pada malam esoknya beliau telah mengadakan perbincangan di masjid Serkam bagi membincangkan soal Kampung Serkam. Beliau rasa Tuan Alcolm pasti akan datang semula untuk menangkap beliau. Walaubagaimana pun penduduk Serkam telah kehilangan semangat perjuangan .


Askar-askar Sikh telah datang setiap hari ke Kampung Serkam sambil melepaskan tembakan beberapa das ke udara. Inggeris juga menyeru Tok Andak supaya menyerah diri. Tok Andak terpaksa bersembunyi dan telah menjadi orang buruan Inggeris setiap hari.


Melihatkan usaha untuk memaksa Tok Andak menyerah diri tidak berjaya, mereka telah menjalankan taktik diplomasi. Beberapa orang wakil Inggeris telah dihantar ke Serkam untuk memujuk orang Serkam meninggalkan perjuangan mereka yang dianggap sis-sia itu. Mereka juga telah memberitahu penduduk Serkam yang penempatan cukai bukan untuk menyusahkan rakyat, sebaliknya menggunakan wang untuk penggunaan pembangunan kampung dan negeri.


Orang-orang suruhan Inggeris ini datang memujuk dan akhirnya dapat mempengaruhi beberapa orang pengikut Tok Andak. Akibat dari tindakan diplomasi ini orang-orang Melayu di Serkam telah berpecah. Ada yang menyokong Inggeris dan ada yang pro Tok Andak. Tok Andak rasa adalah lebih baik beliau meninggalkan kampung Serkam dari menjadi orang buruan Inggeris.


Pada penghujung tahun 1887 Tok Andak telah bertindak meninggalkan Kampung Serkam. Tujuannya ialah untuk mengagalkan cita-cita Inggeris untuk memungut cukai di Serkam. Mengikut beliau jika tiada penduduk sudah tentu Inggeris tidak akan memungut cukai di tempat itu. Protes cara bagini pernah dilakukan orang Melayu dalam zaman kekuasaan pembesar Melayu. Penduduk di kawasan Alor Gajah juga meninggalkan kampung halaman mereka secara beramai-ramai di Bukit Senggih setelah Inggeris mengenakan cukai tetap ini.


Tok Andak mengambil keputusan untuk melarikan diri ke Kesang. Baginya adalah lebih baik tinggal di daerah dibawah naungan raja Melayu. Sementara itu kisah penentangan orang Melayu Serkam terhadap sistem cukai telah sampai ke pengetahuan Sultan Abu Bakar Johor. Dalam lawatannya keTanjung Gading, baginda Sultan mengutuskan seorang wakil untuk menemui Tok Andak disitu.


Dalam pertemuannya dengan Sultan, beliau telah dianugerahkan sebidang kawasan di Muar . Beliau dengan pengikut-pengikutnyatelah berhijrah ke kawasan tersebut. Kawasan itu dibangunkan dan sebuah surau didirikan. Disitulah Tok Andak meneruskan usahanya mengajar agama kepada pengikut-pengikutnya . Beliau hendak menjadikan tempat itu seperti Kampung Serkam yang aman.


Kampung Serkam yang ditinggalkan pada suatu ketika adalah aman, penuh denganhasil tanaman tetap menjadi kenangan.Tok Andak mahu kembalikan keamanan Kampung Serkam itu kepada kampung barunya. Kampung baru itu dinamakan Kampung Serkam,dan lorong yangmenghala ke kampung itu dinamakan Lorong Serkam.


Setelah mengetahui Tok Andak telah membuka Kampung Serkam yang baru dibawah naungan raja Melayu, maka ramailah orang-orang Serkam telah turut berhijrah dari Kampung Serkam Melaka ke Kampung Serkam Muar, Johor.
Kampung Serkam di Melaka, makin hari makin hari lengang , sebaliknya Kampung Serkam Muar bertambah maju .Akhirnya Tok Andak meninggal dunia dan dimakamkan diJalan Bakri Muar. Tanah perkuburan itu kemudiannya dinamakan ‘SAIDIAH’.


Demikianlah peristiwa gerakan anti cukai di Serkam atau lebih dikenali dengan nama perang Rokam yang berlaku dalam zaman pemerintahan Inggeris di Melaka pada tahun 1887. Walaupun peristiwa ini dikatakan sebagai perang, tetapi bukan dalam ertikata sebenarnya. Walaupun orang-orang Melayu talah tewas kerana kekurangan senjata tetapi pada hakikatnya dari segi semangat orang Melayu telah berjaya.


Sangkaan orang Inggeris yang orang Melayu bersifat pasif adalah salah. Tok Andak lebih rela meninggalkan kampung halamannya dari menjadi alat Inggeris. Beliau percaya jika semua orang Serkam berpindak meninggalkan kampung mereka, sudah pasti rancangan pengutipan cukai Inggeris itu gagal.


Peristiwa Perang Rokam atau gerakan anti cukai telah hampir seratus tahun, tetapi peristiwa itu masih subur dalam ingatan dikalangan penduduk-penduduk Kampung Serkam khasnya . Tambahan pula peristiwa itu telah disemadikan didalam sebuah syair yang didendangkan dari masa ke semasa.