Masyarakat Hindu Peranakan yang tinggal di Melaka dikenali sebagai masyarakat Chitty. Mereka adalah satu kelompok masyarakat minoriti India Peranakan yang unik di Melaka. Masyarakat Chitty Melaka terbentuk hasil daripada perkahwinan campur antara orang-orang Hindu dari India dengan orang-orang tempatan seperti Melayu, Cina dan lain-lain.
Pada era kegemilangan Empayar Melaka, saudagar-saudagar dari Gujerat dan India sering berulang-alik ke Melaka untuk tujuan perdagangan. Pada ketika itu, Melaka amat sibuk sebagai pusat perdagangan entreport dan sering menjadi tumpuan para pedagang yang sebahagian besarnya berasal dari India Selatan.
Disebabkan terlalu ramai saudagar India datang dan berdagang di Kota Melaka, pemerintah Melaka ketika itu telah menyediakan sebuah penempatan untuk mereka tinggal dan menajalankan aktiviti mereka dikenali sebagai ‘Kampung Keling’ yang bertujuan untuk mempemudahkan saudagar terbabit berurusniaga. Menurut catatan Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah, perkataan ‘keling’ adalah berasal dari ‘Kaling Gappatinam’ atau ‘Kalinggam’ yang dikenali sebagai Benua Keling (India).
Perkataan ‘keling’ juga dikatakan bersal daripada ‘kering’ iaitu gelaran orang-orang tempatan kepada bangsa India yang gemar memakai gelang kaki loceng yang berbunyi dan menjalankan upacara keagamaan mereka menggunakan loceng. Oleh itu, lama-kelamaan, perkataan ‘kering’ bertukar kepada ‘keling’ mengikut kesesuaian cara penyebutan orang-orang tempatan.
Gerbang Kampung Chitty Melaka di Gajah Berang
Jalan masuk ke Kampung Chetti
Perkampungan masyarakat Chitty Melaka terletak di Kampung Tujuh, jalan Gajah Berang, kira-kira 2 kilometer dari pusat Bandaraya Melaka. Perkampungan ini mempunyai keluasan lebih kurang 5 hektar yang begitu berharga untuk dibangunkan.
Muzium Chitty di Kampung Chetti, Gajah Berang yang menyimpan khazanah dan peninggalan Masyaraka Chitty Melaka
Terdapat di antara 30 hingga 50 keluarga atau di antara 300 hingga 350 orang keturunan kaum Chitty Melaka dengan purata 5 anggota ahli dalam setiap keluarga. Kebanyakkan daripada mereka telah tinggal menetap di sini sekurang-kurangnya 6 keturunan. Rumah-rumah yang didiami dibina berbentuk separuh kekal dengan ciri seni bina unik dengan serambi yang berfungsi sebagai tempat istirahat.
Jika dilihat, Masyarakat Chitty Melaka sesetengahnya berkulit gelap dan terdapat juga yang berwajah Melayu dan Cina. Ini kerana perkahwinan campur antara masyarakat Melaka sejak berkurun lamanya.
Masyarakat Chitty Melaka terdiri daripada beberapa keturunan seperti:
Chitty
Mudaliar
Narker
Rajah
Padiachee
Pillay
Pathair
Konar
Pandaram
Mereka mewarisi nama keluarga yang berasal dari India sejak beratus-ratus tahun dahulu. Walau bagaimanapun generasi Chitty hari ini tidak lagi mempunyai apa-apa hubungan persaudaraan dengan India.
Terdapat juga kaum Chitty yang telah menetap dan menjadi rakyat Singapura ( kerana migrasi yang digalakkan oleh pihak pentadbir semasa penjajahan British dan mereka ini juga berasal dari kaum Chitty Melaka.) Namun, mereka tetap kembali ke Kampung Chitty di Melaka terutamanya pada hari-hari kebesaran mereka seperti perayaan ‘Ponggal’, ‘Deepavali’, dan juga ‘Menggamay’( perayaan keagamaan hindu ).
Di samping dapat mengeratkan hubungan persaudaraan dan antara satu sama lain, ianya menjadi tradisi masyarakat Chitty bagi merapatkan lagi hubungan yang telah terpisah jauh serta bermesra semula dengan ahli keluarga mereka yang berada di Kampung Tujuh, Gajah Berang yang menjadi penempatan terawal mereka setelah kolonial Belanda menjajah Melaka.
Dalam upacara perkahwinan masyarakat Chitty, bunga rampai dan bunga manggar digunakan.
Upacara memakai inai (henna) pada Malam Berinai
Upacara perkahwinan masyarakat Chitty Melaka (menyambut pengantin)
Adat persandingan Chitty Melaka
Sebelum upacara perkahwinan kad jemputan akan dihantar keseluruh kampung. Maka, seluruh kampung akan datang untuk meraikan upacara tersebut. Barang-barang untuk perkahwinan seperti kelapa, daun kelapa, bunga rampai, sayur-sayuran, buah-buahan, bunga hiasan, sembilan jenis kacang, enam periuk air, batu giling, air kuning, arsani, nasi kuning dan barang sembahan. Pakaian mereka kini, adalah lebih kurang sama dengan masyarakat India lain di Malaysia.
Budaya Masyarakat Chitty Melaka
Bahasa Pertuturan
Kaum Chitty semenjak dahulu lagi, sangat fasih bertutur dalam Bahasa Melayu, malah Mahasa Melayu merupakan bahasa pertuturan kaum ini tetapi bahasa pertuturan seharian kaum ini terdapat sedikit perbezaan dialek dan kosa kata berbanding Bahasa Melayu yang dituturkan oleh rang Melayu sendiri seperti mana berbezanya Bahasa Melayu yang dituturkan oleh masyarakt Cina Peranakan (Baba Nyonya) dan Peranakan Portugis (Serani).
Jika masyarakat Baba Nyonya menggunakan ‘lu’ dan ‘gua’ untuk merujuk kepada saya dan awak, kaum Chitty pula menggunakan ‘engkau’ dan ‘aku’ di mana perkataan engkau disebut sebagai ‘engko’ yang cara sebutannya mirip kepada dialek Muar, Johor.
Kedua-dua perkataan tersebut bagaimanapun tidak boleh digunakan jika seseorang itu sedang bercakap dengan orang yang lebih tua daripadanya. Kebiasaanya mereka akan membahaskan diri mereka sebagai ‘saya’ dan orang yang lebih tua itu dibahaskan sebagai ‘Ateh’ untuk gelaran contohnya mak cik, manakala ‘mama’ untuk gelaran pak cik.
Peradaban bahasa pertuturan seharian kaum ini sentiasa dijaga agar tidak kasar terhadap orang lain kerana kekasaran bahasa seseorang itu akan dikatakan kurang ajar. Anak-anak Chitty sentiasa menggunakan bahasa yang sopan demi menjaga maruah ibu bapa mereka.
Kaum Chitty juga pandai berpantun, berperibahasa dan menggunakan bahasa kiasan sebagai sindirian sesuai dengan asimilasi mereka dengan orang-orang Melayu dan masyarakat lain di Melaka.
Pakaian
Salah satu kesamaan antara orang Chitty dengan Baba / Nyonya di Melaka adalah pakaian mereka. Perkahwinan dengan adat lama menunjukkan kaum Chitty di Melaka mempunyai kesamaan dengan orang India di negara India selatan seperti pakaian pengatin lelaki dan pengatin perempuan. Dalam upacara perkahwinan orang Chitty, pengatin lelaki memakai talpa, keris(senjata melayu) dan memakai kasut dalam bilik. Untuk pengatin perempuan pula, mereka memakai baju panjang labuh dan sarong, kepala meraka dihiasakan dengan sanggul lintang, tiara, dan memakai kasut dalam bilik.
Pakaian harian Baba / Nyonya dan Chitty mempunyai kesamaan.Wanita yang lebih tua memakai kebaya labuh panjang (kebaya encim) , kerongsang rangkai dengan sarong, sanggul tuga cabang dan pakaian bercorak berbintik-bintik.
Bagi wanita muda, mereka memakai kebaya pendek, kerongsang rangkai, sarong serta pakaian bercorak bunga. Untuk lelaki pula, mereka memakai baju cekak musang, saputangan di atas kepala dan kain pelikat (sarong).
Makanan
Makanan Masyarakat Baba Nyonya dan Chitty Melaka mempunyai kesamaan kecuali makanan untuk menyambut peryaaan Seemto. Daging babi dan lembu adalah dilarang bagi kaum Chity. Lauk pedas seperti lauk pindang iris, lauk pindang, lauk haram jadah, lauk nenas goreng asam, telur ikan masak belimbing, timun santan, sambal timun, sambal balacan dan lain-lain.
Kuih-muih mereka adalah seperti pulut tekan atau seri kaya, kuih bingka ubi, beras, apam berkuah, kuih bongkong (tapioca), kuih sesagun, kanda kasturi (bentuk segitiga), kuih ros, koya kacang, kuih belanda, kuih bahulu, wajik putih atau hitam, dodol putih atau hitam. Makanan pembasuh mulut bagi mereka adalah taibah, bubur kacang, bubur terigu, bubur chacha, pengal pisang, pengal durian dan lain-lain.
Kaum Chitty sering menggunakan kunyit, lengkuas, daun limau purut, limau kasturi daun kari dan lain-lain dalam penyediaan makanan dan juga rempah ratus yang digunakan oleh kaum India.
Seni Persembahan
Dondang sayang adalah seni persembahan muzik bagi kaum Chitty. Mereka pandai bermain alat muzik dondang sayang dengan baik dan mahir dalam menghasilkan pantun, tetapi pada masa kini tiada sesiapapun tahu menggunakan muzik ini. Dengan itu, alatan tradisi muzik ini telah ditukar kepada serunai dan gendang yang dimainkan dalam upacara-upacara kebesaran mereka.
Keagamaan
Kuil dan tempat keramat yang lain adalah tempat untuk berdoa dan hanya untuk upacara yang mudah dan ringkas sahaja. Bagi upacara yang lebih besar, Masyarakat Chitty Melaka akan mengadakan upacara dan sambutan di kuil-kuil yang besar seperti Kuil Kalaisanathar/Kuil Baru, Kuil Sri Angglaman/Kuil Kolam Besar.
Kuil-kuil Masyarakat Chitty Melaka beserta tarikh pembinaannya:
Sri Poyyatha Vvinayagar Moorthi Temple, Jln Tukang Emas 20.08.1781
Sri Kkailasanathar (Sivan) Temple,Chitty Village (Kuil Baru) 20.09.1887
Sri Muthu Mariamman Temple, Chitty Village (Datuk Cacar) 26.10.1822
Sri Anggalamman Temple, Chitty Village (kuil kollam besar) 01.05.1888
Sri Ayyanar Temple, Bacang (kuil Gajah)
Sri Dharma Rajah Temple Bacang (kuil Dharma) 15.09.1770
Sri Amman Temple, Bacang (kuil Amman) 15.09.1770
Sri Kathee Temple, Bacang (kuil Katai Amman)
Sri Kaliamman Temple, Bacang (kuil Dusun Amman ) 1804
Sri Lenggadariamman Temple, Chitty Village (kuil Nenek)
Sebuah rumah masyarakt Chitty di Kampung Chetti, Gajah Berang
Rumah tradisional
Rumah tradisional Masyarakat Chitty di Melaka adalah lebih kurang sama bentuknya dengan rumah Melayu yang mempunyai anjung. Ini adalah digunakan untuk tetamu berehat sebentar sebelum masuk ke dalam rumah.
Susunan daun mangga pada pintu rumah tradisional masyarakat Chitty Melaka
Rumah mereka sering dihiasi dengan daun-daun mangga serta gambar dewa atau dewi (pilihan sesebuah keluarga) yang digantung di hadapan pintu rumah. Ini adalah untuk melindungi keluarga tersebut dari sebarang malapataka, kecelakaan roh-roh ghaib yang jahat serta memberi rahmat dan kesejahteraan kepada penghuni rumah tersebut.
Walaupun ciri ini merupakan pengaruh dari India kerana agama hindu yang dianuti; akan tatapi di sebalik susunan daun mangga tersebut tersimpan rahsia masyarakat Chitty Melaka. Susunan daun mangga kaum Chitty adalah berbeza dari kaum India yang lain. Kaum Chitty Melaka menyusun daun mangga tersebut rapat-rapat dan bilangan daun mestilah berangka ganjil sahaja iaitu angka yang mesti digunakan untuk semua tujuan keagamaan manakala kaum India yang lain menyusunnya agak jarang.
Susunan daun yang rapat-rapat ini mencerminkan ketelitian serta kehalusan kaum wanita Chitty. Biasanya daun mangga ini ditukar setahun sekali iaitu pada hari bulan April kalender tahun masihi.
Sesetengah rumah masyarakat Chitty Melaka mempunyai serambi dan tempat yang lebih tinggi sedikit dari lantai yang selalunya di antara 2 kaki tinggi yang dipanggil ‘Tennai’.
Seperti kaum India yang lain, masyarakat Chitty Melaka juga mempuyai tempat sembahyang (altar) di dalam rumah mereka di mana mereka meletakkan gambar-gambar ataupun patung dewa-dewi yang mereka sembah.
Kepercayaan
Melahirkan anak
Ibu yang melahirkan anak tidak dibenarkan keluar dari rumah selama tempoh 48 hari selepas. Mereka menggunakan daun garoda / geroda (sejenis tumbuhan herba Melayu yang tidak boleh dilangkah oleh ayam kerana akan mati setelah dilangkah) untuk menyingkirkan kekotoran. Ahli keluarga tidak dibenarkan pergi ke kuil dalam tempoh 16 hari kerana dipercayai mempunyai kekotoran apabila melahirkan anak. Upacara pembersihan akan dijalankan selepas 16 hari dan dijalankan pada masa yang baik atau sesuai mengikut kalendar Hindu.
Kematian
Upacara Ortodoks Hindu. Makanan akan dihidangkan semasa upacara dijalankan. Selama 8 hari pertama kematian, nasi lemak akan dihidangkan dengan pulu inli dan pengat pisang, 16 berikutnya pula, hari nasi lemak dihidang sebanyak 15 hingga 20 pinggan. Dalam tempoh perkabungan, ahli keluarga tidak dibenarkan pergi ke kuil, rumah saudara-mara dan menyambut perayaan selama satu tahun. Penduduk Chitty lebih suka pengkebumian secara tanah atau mengkuburkan ahli keluarga berbanding upacara pembakaran.
Upacara-Upacara
Upacara bertindik di telinga
Upacara ini adalah untuk kanak-kanak berumur 1 tahun. Semasa upacara ini dijalankan, kanak-kanak ini akan duduk di atas kaki bapa saudara (sebelah ibu). Jika berlaku kematian dalam keluarga,upacara ini tidak dijalankan. Makanan akan dihidangkan selepas upacara.
Upacara Sandanghu
Upacara dilangsungkan untuk wanita yang telahpun mencapai umur dewasa. Dalam tempoh 16 hari ini, mereka tiadak dibenarkan ke kuil atau rumah orang lain dan orang lain tidak dibenarkan datang melawatnya. Selepas 16 hari, wanita itu mandi dengan herba yang istimewa dan memakai pakaian wanita dewasa untuk mendapat kesucian dari orang yang lebih tua. Pada malam upacara, bapa saudara (sebelah bapa) akan memberi hadiah. Selepas itu, gadis ini boleh dikatakan sebagai wanita dewasa.
Perayaan-Perayaan Kebesaran Masyarakat Chitty
Perayaan Mengammay
Penduduk Chitty akan menyambut perayaan Mengammay atau Datuk Cacar bersama (termasuk sesiapa yang telah berpindah ke luar negara seperti Singapura). Ramai orang yang bukan Chetti juga mengambil bahagian dalam perayaan tersebut. Perayaan ini akan berlangsung pada bulan April / Mei atau Chittirai Masam dalam kalender Hindu.
Perarakan kereta kuda beroda dua akan bermula dari kuil Sri Poyyatha Vinayagar Moorthi di Jalan Harmony hingga ke kuil Sri Muthu Mariamman di Gajah Berang (Kampung Chetti) pada waktu siang. Perarakan akan bermula dari kuil Sri Muthu Mariamman di Gajah Berang (Kampung Chetti) hingga kuil Sri Poyyatha Vinayagar di Jalan Harmony pada waktu malam. Dalam perarakan ini, terdapat patung berwarna hitam (Hantu Tetek / Bootham) akan berjalan di depan sebagai penjaga. Upacara ini adalah mengikut kepercayaan Hindu, tetapi banyak ciri tempatan telah menyerap ke dalamnya seperti Kuil Mariamman dijunjungi oleh orang bukan Hindu untuk melihat keunikan perayaan tersebut.
Perayaan Ponggol
Masyarakat Chitty seperti juga orang-orang beragama Hindu lain mempunyai hari bertuah dan menyambut perayaan agama dengan merujuk kepada kalender Hindu. Antaranya ialah hari Ponggol iaitu Hari Kesyukuran mereka kepada nenek moyang dan tuhan mereka. Sebelum Ponggol disambut pada seawal jam 4 pagi, mereka akan meletak bunga-bungaan di hadapan pintu (sebagai petunjuk bagi roh-roh nenek moyang untuk balik ke rumah) bermula dari 13 Disember hingga 13 Januari.
Seminggu sebelum Bhogi, Masyarakat Chitty akan pergi ke perkuburan untuk memberi penghormatan kepada orang kesayangan mereka yang telah meninggal dunia. Perayaan ini berlangsung selama 4 hari, termasuk Bhogi, Vithu Ponggol, Mathu Ponggol dan Kanni Ponggol.
Sewaktu Perayaan Bhogi (Parchu), Masyarakat Chitty menganggap hari ini sebagai hari penghormatan kepada nenek moyang. Makanan Chitty yang lazat seperti kek, nasi lemak dan lain-lain akan dihidangkan di atas daun pisang manakala telur masin, timun, lobak putih diletak di tengah-tengahnya dan bawang pula di sekeliling atau tepinya.
13 buah pinggan berisi nasi, dengan setiap satunya berlauk pindang, sambal timun santan, sambal telur ikan belimbing, gerago (sejenis udang, geragau) goreng kelapa, acar cili, terung masak kari, kacang panjang, kacang buncis, kobis, kangkung, daging ayam atau kambing kari, daging ayam atau kambing atau udang dan ikan parang. Wanita yang memasak mestilah berkeadaan bersih dan tidak boleh merasa makanan semasa memasak. Masyarakat Hindu hanya membuang barang yang tidak berguna pada perayaan Bhogi.
Vithu Ponggol atau Thai ponggol
Vithu Ponggol atau Thai ponggol akan disambut pada hari pertama dalam kalender India (Thaimasam) – Pertengahan Januari dalam setiap tahun iaitu 14 Januari, masyarakat Chetti memanggil bulan ini sebagai bulan Ponggol. Perayaan Ponggol adalah pergabungan antara unsur budaya dan agama. Nasi Poggol ialah sejenis nasi yang dimasak bersama susu, ia harus dimasak sehingga susu melimpah. Keadaan ini bermaksud komuniti Chitty mempunyai banyak kegembiraan dan kekayaan.
Mereka akan menyambut perayaan in di sawah padi tetapi kini mereka menyambut perayaan ini di kuil-kuil atau di rumah seseorang.
Mathu Ponggol
Mathu Ponggol adalah perayaan bagi golongan petani untuk memberi hadiah kepada lembu jantan. Dalam perayaan tersebut, lembu jantan akan berehat dan tidak perlu berkerja. Lembu jantan akan dimandikan, dibersihkan dan dihiaskan dengan pakaian yang cantik serta bunga-bungaan.
Kebiasaannya para pemilik lembu tersebut akan menggantung piala di leher lembunya. Pada hari tersebut, lembu-lembu akan diberi nasi Ponggol dan nasi yang dimasak bersama-sama dengan sayur-sayuran serta buah-buahan tempatan.
Semua makanan tersebut akan disediakan di atas daun pisang sebelum diberikan kepada lembu-lembu tersebut. Ini adalah salah satu cara untuk menunjukkan kesyukuran dan kejayaan mereka memungut hasil yang banyak dalam musim menuai. Selepas upacara tersebut, lembu-lembu akan mengelilingi kampung. Pemuda-pemuda kampung akan cuba mendapat piala yang digantung di leher lembu dan anak-anak dara juga berpeluang memilih bakal suami mereka. Dahulu, anak-anak dara hanya dibenarkan keluar pada hari tersebut.
Kanni Ponggol
Kanni Ponggol bermaksud perempuan yang muda atau belum berkahwin. Perayaan ini akan dilangsungkan pada 16 Januari setiap tahun, pemuda lelaki yang belum berkahwin juga berpeluang untuk memilih bakal isteri pada hari tersebut. Perempuan yang ingin berkahwin mestilah tahu memasak. Perempuan yang muda perlu menunjukkan kemahiran memasak mereka. Mereka akan diberi periuk tanah, beras, susu, minyak sapi dan gula tebu.
Mereka memasak nasi berwarna perang di dalam kuil dan bukan di rumah masing-masing. Nasi berwarna perang itu akan diletak di atas dulang dengan daun pisang dan dihidangkan kepada lelaki yang muda. Pada masa yang sama, lelaki dalam kampung boleh memilih bakal isteri mereka dengan mencuba hidangan itu. Pada masa sekarang, penduduk Chitty tidak lagi memilih bakal suami dalam perayaan tersebut, mereka hanya berharap mengekalkan kebudayaan untuk tatapan generasi akan datang.
Gambar keluarga lama masyarakat Chitty