Thursday, November 11, 2010

Berita: Pulau Pinang Gagal Saingi Melaka

Riqq terjumpa satu artikel dari Utusan Online. Memang sangat menarik artikel ni dan memeranjatkan. Tahniah buat Tourism Melaka dan Tourism Malaysia Melaka kerana berjaya mempromosikan Melaka seterusnya meningkatkan jumlah kedatangan pelancong ke Melaka sebanyak 8.9 juta orang manakala Pulau Pinang hanya berjaya menarik 5.5 juta orang sahaja. Jauh beza kan? nak tau sebab apa? Bacalah artikel di bawah.


PULAU PINANG 6 Nov. - Sangat menghairankan kerana segala-galanya dimiliki termasuk 191 penerbangan antarabangsa seminggu tetapi negeri ini gagal meningkatkan jumlah kemasukan pelancong.


Malah, Pulau Pinang gagal mengatasi Melaka walaupun negeri itu tiada penerbangan antarabangsa dan kemudahan lain seperti di negeri ini.


Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen hari ini menyatakan kehairanan beliau bagaimana negeri ini hanya dikunjungi 5.5 juta pelancong tahun lalu berbanding Melaka, 8.9 juta orang.


Menurutnya, berbanding Melaka, negeri ini bukan saja mempunyai lebih banyak tarikan pelancongan malah menerima jumlah bantuan yang jauh lebih besar daripada Kerajaan Pusat termasuk peruntukan RM143 juta dalam Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK-9).


"Apa yang berlaku tidak perlu saya nyatakan. Statistik menjelaskan segala-galanya dan sesuatu perlu dilakukan.
"Kerajaan negeri tidak boleh berharap kepada Kerajaan Pusat sahaja untuk promosi kerana kementerian bertanggungjawab untuk semua negeri, tidak hanya untuk memperkenalkan Pulau Pinang," katanya.


Beliau ditemui selepas menyempurnakan majlis pra pelancaran Projek Menaik Taraf Sistem Kereta Api Bukit Bendera di sini, hari ini.


Menerusi projek membabitkan kos RM68.8 juta itu, kereta api jenis furnikular yang digunakan sejak 1923 digantikan dengan kereta api jenis elektrik yang lebih moden serta memberi keselesaan kepada pengunjung ke Bukit Bendera.


Kemudahan itu yang kini 90 peratus siap dijangka beroperasi Mac depan dan apabila siap sepenuhnya kelak, projek itu akan diserahkan kepada kerajaan negeri untuk operasi dan penyelenggaraan.


Koc baru keretapi yang diimport dari Switzerland selepas pra pelancaran Projek Menaik Taraf Sistem Kereta Api Bukit Bendera, Pulau Pinang, semalam.

Bandar Pulau Pinang



Menurut Yen Yen, potensi negeri itu menjadi peneraju sektor pelancongan cukup tinggi tetapi memerlukan komitmen tinggi daripada kerajaan negeri kerana sesetengah aspek bukan di bawah bidang kuasa Kerajaan Pusat atau kementerian.


"Kuasa dan tindakan itu terletak di tangan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan mereka perlu peka mengenai perkara ini," katanya.


Mengulas lanjut, beliau berkata, antara perkara yang menjadi tanggungjawab kerajaan negeri adalah menjaga kebersihan, mempromosi dan mengambil tindakan menerusi PBT terhadap aduan pelancong.


"Contohnya, banyak aduan saya terima berhubung sukan air di Batu Feringghi. Begitu juga soal kebersihannya yang mungkin menjejaskan sedikit sebanyak kedatangan pelancong ke negeri ini.


"Kita tiada kuasa untuk menyelesaikannya sebaliknya ia tanggungjawab kerajaan negeri dan mereka harus bertindak menanganinya," katanya.


Dalam pada itu, Yen Yen berkata, sebaik sahaja projek menaik taraf sistem kereta api Bukit Bendera selesai hujung tahun ini, pihaknya akan menyerahkan kepada kerajaan negeri untuk menentukan bentuk operasi termasuk kadar tambang.


Logo Pesta Pulau Pinang



Katanya, proses penyerahan berkenaan akan dibuat menerusi satu majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU).


"Kementerian telah memperkenalkan satu dasar baru iaitu projek-projek yang kita buat akan kita serahkan pada kerajaan negeri melalui MoU.


"Menerusinya, kerajaan negeri tahu apa patut mereka buat. Ini untuk mengelakkan projek yang kita buat membazir apabila berlaku salah faham mengenai pengurusannya," katanya.