Monday, December 06, 2010

Berita: Bandar Teknologi Hijau Hampir Tercapai

Kepesatan pembangunan Melaka kini sudah ternyata dan tidak dapat dinafikan oleh mana-mana pihak setelah berjaya menjadi sebuah negeri yang bukan sahaja maju dalam pelbagai bidang namun turut memperkenalkan dan sekaligus ingin menjadi peneraju pembangunan teknologi mesra alam. 

Pembangunan ekonomi dan fizikal yang berterusan serta mapan telah menjadikan Melaka negeri pertama di Malaysia yang berjaya melepasi 32 indikator OECD yang menjadi pemangkin dan penanda aras ke arah pembangunan negeri. Semenjak pentadbiran Datuk Seri Mohd Ali Mohd Rustam, DAR, Ketua Menteri Melaka yang ke-9, Melaka terus mengolak langkah dan menjadi sebuah negeri yang maju dalam pelbagai bidang. 

DAR telah bersungguh-sungguh untuk menjadikan Melaka sebuah negeri maju yang pesat membangun dalam pelbagai bidang termasuklah industri pembuatan, ekonomi, astronomi, pelancongan, pendidikan, perubatan, pertanian, bioteknologi dan lain-lain. Beliau turut mengambil berat soal pengurusan sumber dan pemeliharaan alam sekitar dengan memperkenalkan slogan 'Negeri Bandar Teknologi Hijau'. Beberapa langkah telah diambil bagi memenuhi hasrat Kerajaan Melaka tersebut seperti menubuh dan memperkenalkan penggunaan teknologi solar, kempen pemeliharaan alam sekitar dan kitar semula bagi mengurangkan kos perbelanjaaan.

Melaka giat membangunkan teknologi hijau dengan memperbanyakkan kemudaha-kemudaha awam seperti perhentian bas dan lampu tenaga solar

Pandangan sisi

Kontraktor berwajib sudah mula memasang panel solar dan CCTV di perhentian bas seluruh Melaka

Tenaga angin (kincir angin) turut dibangunkan di air terjun buatan Bukit Sebukor. Mungkinkah Melaka akan mempunyai ladang tenaga angin selepas ini sperti di Neunkirchen, Ditmarschen, German seperti dibawah?

Ladang Angin Neunkirchen, Ditmarschen, German


Jika diperhatikan, di Seluruh Negeri Melaka ketika ini telah mula terbina prasarana atau kemudahan awam yang mesra alam dan menggunakan teknologi solar terutamanya lampu jalan, perhentian bas, tandas awam dan lain-lain. Dengan terbinanya kilang pembuatan panel solar di sini, pelbagai produk dan kemudahan lain dapat dinikmati bukan sahaja penduduk Melaka, namun rakyat Malaysia. Berikut merupakan artikel mengenai pembangunan teknologi solar terbesar di Asia Tenggara oleh Melaka yang dipetik daripada Utusan Online:

Bandar Teknologi Hijau Hampir Tercapai

NURFARAH Shahidah Rosli, 8, menunjukkan pondok menunggu bas yang dilengkapi panel solar untuk menjana tenaga elektrik bagi menghidupkan lampu di pondok itu yang dibina berhampiran rumah beliau di Paya Rumput, baru-baru ini.


ALOR GAJAH 5 Dis. - Matlamat kerajaan negeri ke arah menjadi bandar teknologi hijau menjelang 2020 semakin hampir apabila kilang membuat panel solar terbesar dari Amerika Syarikat, AUO Sunpower dijangka memulakan operasi sepenuhnya hujung bulan ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam, berkata, ketika ini kilang yang dibangunkan di Melaka World Solar Valley di Taman Perindustrian Rembia dekat sini itu telah 96 peratus siap dan memulakan operasi pengeluarannya.

Katanya, projek pembinaan kilang di fasa pertama dan kedua yang mempunyai seramai 1,083 pekerja termasuk 200 jurutera telah pun 96 peratus siap, manakala kilang kedua yang juga mempunyai dua fasa dijangka siap tidak lama lagi.

"Setakat ini, saya difahamkan, AUO Sunpower sudah pun memulakan pengeluarannya secara berperingkat sejak September lalu.

"Syarikat itu juga telah membuka peluang pekerjaan kepada hampir 2,000 pekerja dalam pelbagai kategori jawatan di kilang berkenaan," katanya selepas mengadakan lawatan selama sejam ke kilang itu di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Md. Yunos Husin, Ketua Pegawai Eksekutif Invest Melaka, Ramli Mohd. Ali dan Naib Presiden AUO Sunpower, Robert Vinje.

AUO Sunpower yang beroperasi di kawasan seluas 172.8 hektar dengan nilai pelaburan mencecah sehingga RM3.2 bilion itu membuktikan Melaka World Solar Valley yang mempunyai potensi tinggi untuk terus berkembang.

Ini dapat dibuktikan apabila sehingga kini, sebanyak 162 lot perindustrian berjaya dijual oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) kepada pelabur termasuk beberapa syarikat vendor AUO Sunpower yang terbabit dalam pengeluaran wayar serta kabel.

Sementara itu, Robert ketika ditemui berkata, kerja-kerja pembinaan kilang berkenaan mempunyai empat fasa dengan kilang pertama yang mempunyai dua fasa akan siap sepenuhnya hujung bulan ini.

"Kita juga mempunyai kilang kedua yang turut mempunyai dua fasa dan kerja-kerja pembinaannya kini berjalan lancar tetapi masih belum dapat dipastikan bila ia dapat disiapkan sepenuhnya.

"Ini disebabkan, pihak syarikat masih menjalankan kerja-kerja penyelidikan dan pembangunan (R&D) terhadap kilang kedua itu," katanya.

Melaka tubuhkan Institut Teknologi Hijau

MOHD. Ali Rustam (dua kiri) bersalaman dengan Kang Un Tae (tiga kanan) pada satu Majlis MoU Kerajaan Negeri Melaka dengan Korea di Seri Negeri, Ayer Keroh Melaka, semalam.

MELAKA 16 Nov. - Kerajaan negeri akan menubuhkan sebuah institut khusus untuk tujuan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam teknologi hijau tahun depan selaras dengan hasrat menjadikan Melaka Bandar Teknologi Hijau menjelang 2020.


Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, antara fungsi institut yang akan dikenali sebagai Institut Teknologi Hijau itu termasuklah pembangunan teknologi tenaga boleh diperbaharui (RET).

"Melaka sedang menuju ke arah Bandar Teknologi Hijau dalam tempoh 10 tahun lagi dan saya fikir kita perlu bergerak lebih cepat dalam menerokai bidang teknologi hijau seperti Korea yang telah melakukannya 15 tahun dahulu.

"Dengan kelengkapan makmal, saintis tempatan di Institut Teknologi Hijau boleh bekerjasama dengan kepakaran Korea dalam bidang ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) bersama Datuk Bandar Gwang Ju, Korea Selatan, Kang Un Tae di Seri Bendahara, Ayer Keroh di sini hari ini.

Melalui perjanjian itu, Melaka dan Gwang Ju bersetuju merapatkan lagi hubungan dan persefahaman terutama dalam bidang teknologi hijau selain kebudayaan, seni, pendidikan, ekonomi dan perdagangan.

Mengulas lanjut mengenai institut yang akan berpusat di bangunan Kota Cemerlang di sini, Mohd. Ali berkata, beliau akan melantik Pengarah K- Ekonomi, Dr. Mohamed Sulaiman Sultan Suhaibuddeen bagi mengetuai institut tersebut tahun depan.

"Sebaik sahaja institut ini ditubuhkan, saya mahu ia menumpukan R&D menghasilkan lampu LED sekali gus menjadikan Melaka sebagai negeri pengeluar lampu LED.

"Gwang Ju merupakan pengeluar lampu LED dan saya mahu Melaka juga jadi pengeluar lampu LED kerana ia menggunakan tenaga yang sedikit tetapi menghasilkan cahaya yang lebih terang," katanya.

Tambahnya selepas kejayaan lampu LED, institut tersebut akan melakukan R&D bagi menghasilkan panel dan sel solar.

Pada pendapat Riqq, untuk menjadi sebuah negeri maju, pemimpin haruslah berwawasan dan  mempunyai visi yang jitu bagi membolehkannya bersaing dengan negara-negara maju lain. Syabas untuk DAR kerana menjadi pemimpin berwawasan dan berpandangan jauh. Kini negeri Perlis sudahpun meminta nasihat dan berminat untuk menjejaki langkah Melaka sebagai negeri maju. Syabas Perlis!

Pemimpin setiap negeri tidak boleh hanya bergantung kepada pihak Kerajaan Persekutuan semata-mata, mereka harus memilih jalan sendiri dan mengatur langkah dan strategi dengan sumber yang ada untuk memajukan negeri masing-masing. Biarlah apa orang  lain kata seperti pembaziran wang rakyat, projek gajah putih, pelaburan tidak mendatangkan hasil janji projek tersebut dapat menyenangkan rakyat dan menaikkan imej sesuatu negeri. 

DAR tidak pernah membelakangkan kebajikan rakyat. Baik bangsa Cina, India, Melayu, Chitty, Portugis, Orang Asli, Jawa, Bugis, Baba Nyonya dan lain-lain turut dibantu sekiranya susah. Rakyat bebas mengadu nasib. Kompleks Seri Bendahara yang didiami beliau menjadi tempat rakyat berkumpul. Sebarang aduan boleh dibuat kepadanya. Projek-projek baru akan menyusul di setiap daerah peringkat demi peringkat dan mengambil masa. 

Melaka sudah bersedia untuk menjadi maju menjelang 2020. Negeri lain bila lagi? Sahutlah cabaran dan wawasan kita.