Sunday, December 12, 2010

Berita: Enam Gelanggang Silat RM 30 Juta Akan Dibina

Kerajaan Negeri Melaka akan membina enam buah gelanggang silat di Perkampungan Hang Tuah, Duyong menjelang tahun 2011 untuk memeartabatkan seni bela diri masyarakat Melayu yang sangat penting dalam era kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka. 

Berikut merupakan artikel berkaitan:

MOHD ALI memalu gong tanda perasmian Kejuaraan Silat Wanita Terbuka Kebangsaan di Melaka Mall sambil diperhatikan Othman (kiri) dan Yaakub.
MOHD ALI memalu gong tanda perasmian Kejuaraan Silat Wanita Terbuka Kebangsaan di Melaka Mall sambil diperhatikan Othman (kiri) dan Yaakub.

Melaka komited lahir jaguh silat taraf dunia

MELAKA: Kerajaan negeri akan membina enam gelanggang silat di Perkampungan Hang Tuah, Duyong dekat sini, dengan semua gelanggang terbabit akan dinamakan mengikut nama pahlawan lima sahabat zaman Kesultanan Melayu Melaka.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, berkata gelanggang yang dinamakan Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Lekir, Hang Kasturi, Hang Lekiu dan Tun Fatimah itu boleh memuatkan antara 500 hingga 1,000 orang pada satu sama. Beliau yang juga Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan (PESAKA) berkata, selain itu, di sekeliling gelanggang berkenaan pula, kerajaan turut menyediakan sebuah padang terbesar di dunia bagi membolehkan orang ramai melihat pelbagai aktiviti yang bakal diadakan di kawasan itu kelak. "Perkampungan Duyong dipilih kerana ia kampung asal Hang Tuah, selain di sini turut ada masjid dan perigi yang menggunakan nama pahlawan Melayu terbabit.

"Projek bagi membangunkan kampung ini menelan belanja kira-kira RM30 juta menerusi peruntukan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10) dan pembinaannya akan bermula Januari tahun depan, dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh dua tahun," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Kejuaraan Silat Wanita Terbuka Kebangsaan 2010 di Melaka Mall dekat sini, kelmarin.

Hadir sama, isteri Mohd Ali yang juga Penaung Kejuaraan Silat Wanita Terbuka Kebangsaan 2010, Datin Seri Asmah Abdul Rahman, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Othman Muhamad dan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri merangkap Presiden PESAKA negeri, Datuk Yaakub Md Amin.
Terdahulu, Mohd Ali dalam ucapannya berkata, kerajaan memberi sepenuh komitmen dalam melahirkan jaguh silat bertaraf dunia demi kecemerlangan mutu sukan negara.

Katanya, silat bukan saja dipelajari untuk mempertahankan diri dan bersukan, malah ia juga memupuk disiplin dan nilai murni di kalangan anak muda.

"Ia juga dapat membentuk karektor dan keperibadian terpuji dan kekuatan jati diri dalam mengharungi cabaran dunia masa kini, selain menjadi elemen penting dalam menjayakan hasrat kerajaan bagi mencapai Wawasan 2020," katanya.

Sumber: Berita Harian

Perigi Hang Tuah di Kampung Duyong