Tapai pulut sememangnya digemari bukan sahaja oleh golongan dewasa, malah kanak-kanak dan para pelancong. Keunikan yang terdapat pada tapai tradisional dari Melaka adalah terletak pada rasanya yang lazat, lembut dan cara bungkusannya. Tapai pulut di Melaka berbeza-beza cara bungkusan dan rasanya mengikut kepakaran dan mukim-mukim yang terdapat di Melaka.
Tapai pulut Serkam
Tapai Pulut mukim Serkam adalah merupakan yang paling lazat dan unik manakala tapai pulut mukim Sungai Rambai dan Sebatu dipengaruhi oleh tapai pulut jawa kerana bersempadan dengan Johor dan majoriti penduduknya berketurunan Jawa. Tapai di bahagian utara Melaka seperti Alor Gajah, Masjid Tanah dan Tampin pula lebih kepada tapai pulut biasa.
Mengikut pantang-larang golongan tua, tapai tidak boleh dibuat oleh anak dara yang sedang datang bulan kerana tapai yang dibuat oleh mereka ini dikatakan akan berdarah. Tapai akan menjadi merah seperti warna darah dan tidak menjadi. Pantang-larang ini masih dijaga dan diamalkan di kampung Riqq dimana anak dara yang sedang datang bulan tidak dibenar menyentuh tapai dan bahan-bahan membuat tapai termasuklah daun dan lidi malah mereka tidak dibenarkan berada di kawasan pembuatan tapai.
Melaka Go Green! Hahaha
Tapai pulut mukim Serkam adalah antara tapai yang sangat lazat dan digemari masyarakat Melaka kerana rasanya lazat dan bertekstur lembut. Pulut yang telah ditapai menjadi sangat lembut dan tidak terasa mentah. Tapai mukim Serkam dibungkus dengan menggunakan daun tapai atau juga dipanggil sebagai daun mahang tapai. Daun ini banyak didapati di kawasan hutan belukar dan digunakan sebagai pembungkus tapai pulut masyarakat di Serkam.
Tapai pulut Serkam memang lazat. Kalau tak percaya, cubalah. Mesti tak cukup sebungkus!
Sebanyak 4 helai daun tapai digunakan untuk membungkus tapai Serkam. Sehelai daun yang bersaiz paling lebar dan besar di bahagian paling luar manakala 3 helai lagi bersaiz kecil dibahagian dalam (kiri, kanan dan pengalas tapai; tengah-tengah). Pulut yang beragi akan diletakkan ditengah-tengah daun dan dibungkus runcing dan sebatang lidi buluh dicucuk dan disematkan pada daun untuk mengelakkan bungkusan tapai daripada terbuka.
4 helai daun tapai (mahang tapai) digunakan untuk membungkus tapai pulut Serkam
Tapai pulut Serkam sering menjadi pilihan untuk dijadikan pencuci mulut pada majlis-majlis perkahwinan masyarakat Melaka. Pengusaha-pengusaha tapai di Serkam sering mendapat tempahan bukan sahaja dari dalam Melaka malah dari Johor dan Negeri Sembilan.
Tapai pulut mukim Sungai Rambai pula tidak jauh bezanya dengan tapai-tapai pulut lain. Tapai ini dibungkus dengan daun pisang dan bezanya dengan tapai lain adalah tapai ini bertekstur sedikit kasar. Tapai ini juga berasa lazat, manis dan sesuai untuk dihidangkan sebagai pencuci mulut untuk majlis-majlis perkahwinan dan kenduri.
Air tapai boleh disimpan dan dijadikan ubat bagi menghilangkan bisa sengatan tebuan, lebah, penyengat dan lipan. Air tapai akan disapu pada bahagian yang sakit dan bisa sengatan akan hilang sedikit demi sedikit. Cubalah! Tetapi jangan sesekali dibuat untuk bisa ular kerana bisa ular boleh membawa maut.