Selain Asam Pedas yang semamangnya sudah terkenal sebagai makanan tradisi Melaka, satu jenis lagi masakan yang kini semakin mendapat perhatian dikalangan pelancong tempatan mahupun dari negara lain ialah Asam Rebus. Warna kuah Asam Pedas dan Asam Rebus sememangnya sama namun rasanya memang berbeza. Orang Melaka pasti tahu membezakan rupa dan rasa kedua-dua masakan ini.
Asam Rebus
Apakah perbezaan antara Asam Pedas dan Asam Rebus?
1. Asam Pedas perlu ditumis terlebih dahulu manakala Asam Rebus tidak perlu
2. Asam Pedas lebih sesuai untuk ikan laut seperti kembung, cencaru, jenahak, parang dan lain-lain manakala Asam Rebus pula lebih elok dimasak untuk ikan darat seperti haruan, patin, keli dan sebagainya.
3. Asam Pedas lebih banyak mengandungi minyak manakala Asam Rebus tidak langsung menggunakan minyak
4. Asam Pedas menggunakan jus asam jawa manakala Asam Rebus hanya menggunakan Asam Keping atau Asam Gelugor.
5. Asam Pedas perlu ditambah dengan daun-daun seperti kesum, serai, daun limau purut atau bunga kantan tetapi Asam Rebus tidak perlu.
6. Asam Pedas boleh juga ditambah dengan bahan-bahan lain seperti buah tomato dan sawi asin manakala Asam Rebus tidak perlu ditambah sebarang bahan.
Asam Rebus Ikan Haruan
Haa, sedapnya!
Perhatikan kuahnya, tidak berminyak namun minyak dari isi ikan telah meresap ke dalam kuah
Hirisan halia
Warna kuah Asam Rebus sama seperti Asam Pedas, kuning kemerah-merahan
Kebetulan hari ini Mummy Riqq masak Asam Rebus ikan haruan, jadi Riqq bertanya resipi dan keistimewaan Asam Rebus. Mummy kata, Asam Rebus lebih menyihatkan berbanding Asam Pedas kerana tidak berminyak. Jadi orang-orang tua atau orang sakit boleh makan Asam Rebus tanpa was-was dengan syarat kuahnya tidak masin dan tidak dicampur bahan perisa.
Nak tahu cara-cara memasak Asam Rebus?
Bahan-bahan yang diperlukan:
1. Ikan darat / laut.
2. Lada mesin (cili kering yang telah direbus dan dimesen halus, elakkan cili boh)
3. Asam keping / asam gelugor (potong dua)
4. Garam
5. 5 ulas bawang merah (dihiris)
6. 5 ulas bawang putih (dihiris)
7. Sedikit halia (dihiris)
8. Air
Cara-cara:
1. Masak 2 mangkuk air sehingga mendidih di dalam periuk.
2. Setelah air mendidih masukkan ikan, lada mesin, sebelah asam keping, sedikit garam, bawang merah, bawang putih dan halia.
3. Tunggu sehingga mendidih dan ikan masak (kebiasaannya mengambil amsa 25 minit sahaja).
4. Setelah masak, boleh dihidangkan.
Mudahkan? Asam Rebus memang sangat mudah dimasak apatah lagi dimakan. Tak sampai 5 minit mesti licin. Cubalah!