Saturday, December 11, 2010

Melaka Cuisine: Roti Jala Putih

Roti Jala Putih

Sememangnya roti jala bukan sahaja boleh didapati di Melaka, tetapi terkenal di seluruh Malaysia. Namun di bahagian selatan Melaka, penduduknya menggemari roti jala putih. Perbezaan roti jala putih dan roti jala biasa adalah roti jala putih tidak dicampurkan dengan pewarna kuning seperti roti jala biasa. Cara pembuatannya juga sama. Roti jala putih akan digulung seperti lempeng gulung bukannya dilipat atau dipotong.

Roti jala putih boleh dimakan bersama kuah kari, dhal, kuah durian, rendang mahupun air gula Melaka. Makanan ini sering dihidangkan pada waktu sarapan pagi, minum petang dan di Melaka, penduduknya akan menghidangkan roti jala pada hari rewang (gotong-royong untuk perkahwinan) dan hidangan untuk tetamu pada malam berinai. 

Dahulunya, roti jala dibuat (tebar) menggunakan tempurung kelapa atau tin yang ditebuk dengan 5 lubang dan menggunakan kayu api. Sekitar tahun 60-an, masyarakat di Melaka mula mencipta acuan roti jala (penebar) menggunakan aluminium. Kemudian, mengikut peredaran zaman, acuan roti jala telah mengalami evolusi dan diperbuat daripada plastik.

Acuan (penebar) roti jala yang diperbuat daripada aluminium

Acuan sebegini boleh dibeli di kedai-kedai barangan tembaga di sekitar Kampung Jawa, pinggir Bandaraya Melaka

Salah sebuah kedai yang menjual acuan roti jala aluminium di Kampung Jawa


Acuan roti jala pada masa kini diperbuat daripada plastik

Bahan-bahan membuat tepung roti jala:
1. 1 kg tepung gandum
2. 2 sudu kecil garam
3. Air

Cara-cara penyediaan:
1. Masukkan teoung gandum, garam dan air kemudian digaul sebati. Kepekatan adunan tepung mengikut citarasa anda. Jangan terlalu pekat kerana tepung akan tersekat di dalam acuan apabila hendak ditebar di atas kuali.
2. Masukkan adunan tepung roti jala dalam acuan dan tebarlah mengikut citarasa anda. Jangan terlalu banyak pusingan tebaran, nanti tidak nampak seperti jala.
3. Gulung atau lipat mengikut citarasa anda.
4. Siap dan boleh dihidangkan

*Jangan lupa membuat kuahnya!


Kuah kari