Saturday, December 11, 2010

Melaka Cuisine: Bahulu Ikan Emas

Bahulu ikan emas

Bahulu merupakan salah satu kuih tradisi masyarakat Melayu di Malaysia dan telah menjadi makanan ataupun kuih yang sinonim untuk Hari Raya mahupun untuk dihidangkan di majlis-majlis keraian seperti kenduri-kendara, majlis perkahwinan dan sebagainya. Bahulu berbentuk ikan ini tidaklah berbeza dengan bahulu-bahulu lain namun ianya membawa maksud yang tersirat bagi masyarakat Melayu Melaka. 

Di Melaka, peranan kuih bahulu terutamanya yang berbentuk ikan sangat penting suatu ketika dahulu kerana masyarakat lama Melaka menganggap ikan emas dapat membawa tuah kepada seseorang tertamanya kepada mempelai. Jadi, ibu, nenek dan ibu saudara mempelai akan bergotong-royong membuat kuih bahulu berbentuk ikan emas untuk dihidang dan diberikan kepada para tetamu yang datang berkunjung sewaktu majlis perkahwinan. 

3 ekor ikan emas berenang di atas pinggan

Bahulu telah mengalami evolusi dan cara pembuatannya yang sangat rumit pada suatu ketika dahulu kini telah menjadi mudah dengan penggunaan mesin dan ketuhar. Jika dahulu kala, ibu dan nenek kita terpaksa mengencap telur untuk dibuat bahulu sehingga kembang menggunakan encap bahulu, kini kita sudah mempunyai mesin pemukul telur dan penggaul atau penguli tepung. Penggunaan bara, sepit bara dan kayu api serta sabut tidak lagi digunakan dan digantikan dengan penggunaan ketuhar dan oven. 

Kuih bahulu lazat dimakan sewaktu masih panas dan boleh juga dicelup ke dalam air sirap sewaktu minum petang

Terdapat perbezaan yang sangat ketara di antara bahulu buatan lama atau kampung dengan bahulu moden. Bahulu buatan lama mampu bertahan sangat lama jika betul cara adunan dan pembuatannya. Bahulu buatan lama mampu bertahan sehingga sekurang-kurangnya 3 hingga 4 bulan dan akan menjadi keras seperti batu namun lembut apabila dicecah (dicelup) ke dalam air. Tetapi bahulu moden hanya mampu bertahan selama sebulan lebih dan akan berbau tengik. Bahulu moden hanya mengeras di bahagian luar namun rapuh apabila ditekan.

Seekor bahulu ikan berharga RM 0.50

Bahulu berbentuk ikan emas kini telah mula mendapat tempat setelah sekian lama dilupakan dalam majlis perkahwinan masyarakat Melayu Melaka. Walaupun ada yang memberikan gula-gula dan jajan (makanan ringan) untuk tetamu yang berkunjung, namun terdapat segelintir masyarakat Melaka yang masih berpegang dengan adat lama dengan memberikan kuih muih tradisional, telur rebus dan bunga telur sebagai tanda kesyukuran dan simbol kesuburan dan tuah untuk mempelai. 

Kuih bahulu boleh dimakan dengan pelbagai cara seperti dicelup ke dalam air seperti kopi, teh, sirap meskipun air kosong. Kuih bahulu juga lazat dimakan sewaktu masih panas.

Acuan kuih bahulu ikan emas yang diperbuat daripada tembaga (dipanggil citak oleh masyarakat Melaka)



Pasu sebegini digunakan untuk mengencap adunan kuih bahulu



Bahulu akan diencap sehingga kembang dan gebu, barulah boleh dimasuk ke dalam acuan dan dibakar



Sabut kelapa



Bara api digunakan untuk membakar bahulu



Bahulu akan dibakar menggunakan baradibahagian atas dan bawahnya



Beginilah cara tradisional pembuatan bahulu. Menyeksakan!