Sebut sahaja sambal belacan anda pasti akan teringat belacan Melaka atau sesetengah orang memanggilnya sebagai terasi. Sambal belacan bukan sahaja terkenal dikalangan masyarakat Melayu malah bangsa lain seperti Cina, India, Serani dan Chitty Melaka amat menggemari sambal belacan malah turut mengubahsuai mengikut citarasa mereka dengan campuran bahan-bahan lain.
Sambal belacan boleh dimakan bersama ubi rebus, nasi putih, nasi goreng, aneka mee dan lain-lain. Masyarakat Melaka membuat sambal belacan untuk hidangan seharian dan sesetengahnya ada yang membakar atau menggoreng belacan dan bahan-bahan lain terlebih dahulu kemudiannya barulah ditumbuk untuk dijadikan sambal belacan.
Antara bahan-bahan yang diperlukan untuk membuat sambal belacan adalah belacan, bawang merah, bawang putih, lada merah dan lada hijau. Kesemua bahan-bahan tersebut akan digoreng dengan sedikit minyak sehingga naik bau wangi kemudiannya ditumbuk menggunakan lesung batu.
Bagi masyarakat Melaka, mereka tidak menumbuk bahan-bahan tadi sehingga hancur. Cukup sekadar bahan-bahan tadi sebati dan sedikit lumat. Sambal belacan sangat mudah dibuat malah anak-anak gadis di Melaka sudah pandai membuat sambal belacan tanpa perlu diajar oleh ibu mereka seawal usia 9 tahun.
Kepada anda yang gemar atau ingin mencuba sambal belacan buatan Melaka, jangan lepaskan peluang untuk merasai kelazatan rasa sambal tradisi negeri Melaka ini. Untuk menambahkan kelazatan, jangan lupa memerah sedikit limau sambal pada sambal belacan!