Panjang badannya yang hanya berukuran 45 sentimeter, dengan berat sebanyak dua kilogram, menyebabkan haiwan ini merupakan salah satu ungulat yang paling kecil di dunia. Kancil menggemari akan hutan yang berbatu-batan yang banyak terdapat di hutan tropika sekitar Asia Tenggara. Nama saintifik bagi kancil ialah Tragulus javatticus.
Famili Tragulidae sangat besar bilangannya antaranya adalah Epok Oligosen (34 juta tahun dahulu) hingga Epok Miosen (kira-kira 5 juta tahun dahulu) tetapi hampir tidak berevolusi sejak masa itu dan merupakan satu famili haiwan ruminan yang primitif. Famili ini mempunyai perut empat kebuk untuk menapaikan makanan iaitu tumbuh-tumbuhan yang susah dicernakan, tetapi keluk ketiga tidak berkembang dengan sempurna. Serupa dengan spesies-spesies lain dalam famili Tragulidae, kancil tidak mempunyai tanduk, dan kakinya pendek dan kurus seperti ranting.
Fizikal kancil yang kecil dan gemar menyelinap disebalik belukar dan dedaun menyebabkan ianya digelar sebagai 'rusa tikus' atau mousedeer. Kancil berbulu coklat kekuningan dengan beberapa jalur putih dan corak berbintik di beberapa tempat pada badan. Kepalanya berbentuk bujur seperti kacang, hidung yang kecil dan bulat serta bermata besar dan hitam. Populasi kancil di dalam hutan dan belukar di sekitar negara kita semakin berkurangan dari semasa ke semasa kerana pemburuan haram dan juga disebabkan oleh penerokaan hutan yang semakin berleluasa.
Disebalik haiwan comel ini, tersimpan beberapa kisah lagenda mengenainya. Kancil merupakan sejenis haiwan yang masyhur di Malaysia disebabkan legenda Melayu. Cerita rakyat "Sang Kancil dan Sang Buaya" mengisahkan tentang kecerdikan Sang Kancil memperdayakan sekumpulan buaya untuk berbaris merentasi sungai lalu menyeberanginya untuk menikmati buah-buahan seperti rambutan dan lain-lain yang sedang masak ranum. Sang Kancil menjadi simbol kepandaian dan kecerdikan serta haiwan yang paling digemari oleh kanak-kanak.
Dalam sejarah penubuhan negeri Melaka pula, kancil dilihat sebagai maskot penting atau haiwan rasmi yang menjadi simbol pada jata negeri Melaka. Mengikut sejarah, negeri Melaka mula mendapat nama dari "kisah Kancil atau pelanduk putih menendang Anjing Parameswara".
Kancil putih semamangnya wujud!
Mengikut catatan sejarah, dikisahkan bahawa, pada suatu ketika dahulu, (selepas baginda dan para bangsawan Palembang berjaya menyelamatkan diri dari ditangkap oleh tentera (Siam/Thailand) dan kemudiannya diselamatkan oleh penduduk orang laut dan nelayan yang menetap dipesisir laut Muar, Johor. Parameswara telah berkenan untuk berburu ke dalam hutan (kini disekitar hutan negeri Melaka).
Ketika baginda sedang berburu bersama-sama hulubalangnya, baginda berasa penat dan berkenan berehat sebentar di bawah pokok yang terletak dihadapan sebatang anak sungai. Tiba-tiba, sewaktu baginda sedang berehat, baginda dikejutkan dengan suatu peristiwa yang aneh bahawa seekor kancil yang kecil berdiri diatas batang pokok tumbang yang merentasi anak sungai telah menendang anjing buruan baginda dengan kuat kedalam sungai.
Melihat peristiwa tersebut, baginda merasakan bahawa telah mendapat suatu petunjuk daripada nenek moyang dan tuhan bahawa kawasan ini kelak mampu dibangunkan dengan sempurna dan sekaligus mampu melahirkan rakyat yang kuat dan handal dalam semua perkara (kepercayaan Hindu). Maka dengan itu, baginda telah menanyakan nama pokok tempat baginda bersandar kepada bendahara yang bersama baginda telah memberitahu bahawa pokok itu adalah pokok Melaka. Oleh yang demikian, Parameswara telah berkenan menjadikan seluruh kawasan tersebut sebagai sebuah negeri baru yang aman dan kuat dikenali sebagai Melaka pada ketika ini.
Kini kancil menjadi lambang kepada kekuatan dan kemegahan Negeri Melaka. Kancil telah menjadi maskot untuk Sukan Malaysia, SUKMA XIII Melaka 2010 dengan nama 'Tuah', menghiasi logo SUKMA XIII, maskot Sukan Paralimpiad XV Melaka 2010 dikenali sebagai 'Jantan', maskot bagi Kelab Bolasepak Melaka dan maskot Tourism Melaka. Kancil juga menjadi maskot bagi blog Sayang Melaka iaitu Hang Jebat dan Dang Wangi.
Tuah, Maskot SUKMA XIII Melaka 2010
Logo SUKMA XIII Melaka 2010
Maskot Sukan Paralimpiad XV Melaka 2010
Maskot dan Logo Melaka FA
Maskot Tourism Melaka
Hang Jebat
Dang Wangi
Selain menjadi maskot bagi Negeri Melaka, kancil juga menjadi kebanggaan warga Melaka. Kancil mendapat tempat yang tinggi setelah dipilih sebagai haiwan rasmi Negeri Melaka dan menghiasi jata Negeri Melaka. Bagi memperingati peristiwa kancil putih menendang anjing-anjing buruan Parameswara, sebuah tugu kancil telah dibina di Banda Hilir.
Seorang anak muda yang berwawasan dari Melaka, Stanley Chin telah mengambil inisiatif bagi menjadikan kancil sebagai lambang rakyat Malaysia telah mencipta jenama Mlackenydeer dan telah membuka sebuah kedai menjual pakaian bermotif kancil dan mengisahkan tentang Melaka di Jonker Walk. Bagi anda yang berkunjung ke Melaka, jangan lepaskan peluang untuk mendapatkan sehelai baju-T keluaran Stanley Chin. Jadi, jangan pandang remeh pada haiwan kecil bergelar kancil kerana besar peranannya!
Jata Melaka
Baju-T Mlackenydeer, cool kan?
Kancil
Pengelasan saintifik
Nama Tempatan: Kancil / Pelanduk
Nama Tempatan: Kancil / Pelanduk
Alam: Haiwan
Filum: Kordata
Subfilum: Vertebrat
Kelas: Mamalia
Order: Artiodactyla
Genus: Tragulus
Spesies: Tragulus javatticus