Friday, January 14, 2011

Melaka Cuisine: Sayur Pisang Masak Lemak


Sayur pisang masak lemak sangat terkenal dan lazat untuk dijadikan hidangan makan tengahari mahupun malam. Selain pisang, terdapat pelbagai jenis sayur-sayuran kampung seperti rebung, pucuk ubi, labu, pucuk manis cendawan dan lain-lain.


Antara pisang yang sesuai untuk dimasak lemak adalah pisang kapas dan pisang lemak manis. Pisang-pisang lain boleh juga dimasak lemak namun rasanya mungkin tidak selazat pisang kapas dan pisang lemak manis. Bagi warga Melaka, lauk ini sangat enak jika dimakan bersama nasi putih, sambal belacan dan ikan kering atau ikan masin. Kulit pisang tidak dibuang dan dicelur bersama-sama isi pisang sehingga empuk. Teknik memasak juga diperlukan. Anda perlu sentiasa menembok atau mengacau kuah santan setelah mendidih bagi mengelakkan timbul minyak pada kuah.


Mari kita lihat bahan-bahan dan cara penyediaannya:

Bahan-bahan:
8-10 biji pisang muda (dibelah dua dan direbus sehingga empuk)
6 ulas bawang kecil
10 biji cili padi
2 onci kunyit hidup
50 gm ikan bilis (ditumbuk)
½ sudu teh serbuk kunyit
Semangkuk santan pekat
½ helai daun kunyit (dicarik)
Garam secukup rasa



Cara memasak:
1. Didihkan air, masukkan santan bersama bahan kisar dan biarkan masak seketika.
2. Kemudian masukkan ikan bilis bersama daun kunyit. Kacau rata.
3. Setelah itu masukkan pisang dan biarkan masak dengan api sederhana. Kacau sentiasa.
4. Setelah pisang empuk, bubuh garam secukupnya dan padamkan api.
5. Sedia untuk dihidangkan.