Tuesday, January 18, 2011

Melaka Cuisine: Pulut Kunyit


Pulut kunyit merupakan sejenis makanan tradisi bagi penduduk Melaka yang hanya dibuat khas untuk sesuatu majlis tertentu seperti ulang tahun kelahiran, kenduri aqiqah, majlis khatam al-Quran, majlis perkahwinan dan sebagainya. 

Pulut kuning membawa pelbagai maksud dan simbolik antaranya untuk menzahirkan rasa kesyukuran kepada Allah, menghargai tetamu undangan dan juga untuk memuja sesuatu. Menurut cerita orang-orang lama di Melaka, para pengamal ilmu ghaib dan pemuja kuasa bertentangan dengan ajaran Islam, mereka akan memasak dan menjamu pulut kuning pada setiap malam Jumaat bulan mengambang yang jatuh pada bulan ganjil kepada makhluk halus. 

Malah, menurut cerita nenek moyang, pulut kuning juga menjadi salah satu hidangan pada temasya mandi Safar yang telah lama berkubur sejak pengharamannya kerana bertentangan dengan ajaran Islam. 


Pulut kuning juga menjadi suatu hidangan istimewa bagi golongan bangsawan di Melaka suatu ketika dahulu iaitu pada zaman kegemilangan Kesultanan Melaka dimana pulut kuning akan disajikan bersama-sama hidangan sampingan seperti telur merah atau telur rebus, kari ayam, rendang, serunding dan lain-lain untuk majlis-majlis di dalam istana. 

Menurut cerita orang-orang lama, sejarah pulut kuning adalah berasal dari Melaka dimana hidangan ini mula tercipta pada era kegemilangan Melaka sebagai sebuah empayar Melaka yang masyhur pada ketika itu. Pulut yang ditanak akan diwarnakan dengan warna kuning yang melambangkan warna diraja, manakala kuah atau gulai ayam juga bermwarna kuning melambangkan kekuasaan dan daulat. 


Pulut kuning untuk hidangan bangsawan dan raja-raja akan dihidangkan didalam talam bertempawan yang diperbuat daipada emas atau perak dan disusun bertingkat-tingkat dengan diselang-selikan bersama-sama hidangan sampingan tersebut. Pulut kuning sengaja disusun dan dihidangkan lebih tinggi daripada hidangan lain kerana merupakan hidangan diraja dan mempunyai simbolik kepada kedaulatan.

Pulut kuning pada ketika itu peranannya bolehlah dianggap sama seperti kek pada zaman sekarang namun bukan semua orang boleh memasak pulut kuning untuk hidangan diraja kerana terdapat pantang larang tertentu yang perlu dituruti.

Kini pulut kuning boleh didapati di mana-mana sahaja dan boleh menjadi hidangan istimewa pada hari-hari biasa. Pulut kuning juga masih menjadi hidangan istimewa oleh sesiapa sahaja di Malaysia dan menjadi makanan tradisi orang-orang Melayu Melaka.