Saban tahun warga Melaka akan meraikan Ulangtahun Pengisytiharan Melaka Bandaraya Bersejarah dengan pelbagai aktiviti dan pengisian yang telah disusun dengan rapi oleh kakitangan Majlis Bandaraya Melaka Bandaraya Bersejarah (MBMB). Melaka diiktiraf sebagai Bandaraya Bersejarah pada 15 April 2004.
Seperti kebiasaan, satu acara mega atau kemuncak bagi sambutan tersebut adalah Pesta Gendang Nusantara dimana persatuan-persatuan gendang dari dalam dan luar negara akan berhimpun dan memalu gendang seminggu lebih awal dari tarikh tersebut. Pelbagai negara ASEAN (Nusantara) menghantar wakil persatuan gendang mereka seperti Indonesia, Brunei Darussalam, Singapura, Thailand, Kemboja, Myanmar, Laos, Vietnam dan lain-lain. Pesta gendang ini menjadi suatu kemestian dan acara yang ditunggu-tunggu bukan sahaja bagi warga Melaka malah para pelancong yang saban tahun datang ke Melaka untuk meraikan sambutan tersebut.
Selain pesta gendang, Kerajaan Negeri Melaka turut merancang dan melaksanakan pelbagai program seperti bacaan yassin dan tahlil, pertandingan nyanyian, konvensyen, kejohanan sukan seperti hoki, golf, futsal, bowling dan lain-lain, karnival dan banyak lagi. Orang awam boleh menyertai acara-acara tersebut dan pelbagai hadiah menarik ditawarkan.
Pesta Gendang Nusantara Sempena Sambutan MBMB Ke-8 Bermula 9 April Ini
MELAKA, 24 Mac - Satu Pesta Gendang Nusantara ke-14 dijadualkan berlangsung di sini mulai 9 April sebagai salah satu acara bagi memeriahkan lagi sambutan ulang tahun Ke lapan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) pada 15 April ini.
Setiausaha Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Azmi Hussain berkata pesta itu akan menyajikan persembahan oleh enam pasukan gendang tempatan, 12 pasukan dari Indonesia, dan masing-masing satu persembahan oleh pasukan dari India, Sri Lanka, Korea Selatan, Thailand dan Singapura.
"Lebih 80,000 orang dijangka menyaksikan Pesta Gendang Nusantara tahun ini," katanya kepada pemberita dalam satu persidangan media sempena sambutan itu di Ayer Keroh di sini, hari Khamis.
Beliau berkata pesta gendang kali ke-14 itu akan bermula pada 9 April dengan persembahan diadakan di empat destinasi utama pelancong yang terdiri daripada Jonker Walk, Melaka Mall, Menara Taming Sari dan Taman Rempah di sini.
Katanya malam kemuncak pesta itu akan berlangsung serentak dengan perasmian ulangtahun MBMB itu pada 15 April ini di Dataran MBMB, Ayer Keroh di sini, dengan majlis perasmian disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob.
Azmi berkata selain pesta itu, 11 lagi acara akan diadakan untuk memeriahkan sambutan ulang tahun MBMB, bermula pada hari Sabtu ini dengan Program Bandaraya Penyayang.
Beliau berkata satu lagi acara yang dirancang ialah Konvensyen Bandaraya Berkembar antara 16 dan 17 April ini, yang akan menyaksikan pembentangan lima kertas kerja yang berkaitan.
"Konvensyen ini akan dirasmikan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam di Hotel Equatorial bertemakan Pelancongan Warisan dan Teknologi Hijau Ke Arah Pembangunan Bandaraya Mapan," katanya.
Azmi berkata satu acara baru yang diselitkan pada sambutan ulang tahun itu ialah Malam Komedi pada 21 Mei ini, yang disaasr untuk mencungkil bakat-bakat baru dalam bidang lawak jenaka di kalangan penduduk Melaka.
Beliau berkata sambutan itu akan berakhir dengan Kejohanan Hoki 6/7 sebelah yang berlangsung antara 27 dan 29 Mei ini dan MBMB mensasarkan 60 pasukan lelaki serta 40 pasukan wanita dari seluruh negara akan mengambil bahagian dalam kejohanan itu.
-- BERNAMA