Tuesday, March 22, 2011

Dances: Joget Lambak


Joget Lambak merupakan warisan masyarakat Melaka sejak berkurun lamanya. Sewaktu ketika dahulu, Joget Lambak menjadi suatu kemestian untuk diadakan pada majlis-majlis kahwin sekitar Melaka namun kini lenyap dek peredaran masa dan kesesuaian keadaan sekarang. Joget Lambak juga dikenali sebagai Joget Cak Kun Cak oleh masyarakat setempat di Melaka.

Koleksi lagu-lagu Joget. Riqq ada album ni tapi tak tahu mana perginya.

Pemuda-pemudi akan menari beramai-ramai di dalam mahupun halaman rumah secara ‘berlambak’ diiringi kugiran dari malam hingga ke awal pagi. Pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan dalam Joget Lambak tidak terbatas menjadikan tradisi ini mendapat tentangan dan akhirnya terus terkubur.

Mengikut cerita orang tua-tua, pengantin dan para tetamu akan menari beramai-ramai dan mereka boleh memilih pasangan masing-masing dengan mencuit bahu seseorang yang disukainya. Lama kelamaan budaya Joget Lambak semakin dilupakan berikutan usaha ulamak-ulamak dan pegawai syarak dalam membanteras kegiatan ini.

Dipercayai bahawa Joget Lambak berjaya dihapuskan melalui usaha juru nikah dan pegawai syarak masjid-masjid sekitar Melaka yang mengugut tidak mahu menikahkan pasangan pengantin jika ibu bapa mereka bercadang untuk mengadakan Joget Lambak atau Joget Cak Kun Cak pada malam persandingan. Joget Lambak masih dapat dilihat di sesetengah tempat di Melaka namun tidaklah sehingga melupakan batas-batas pergaulan lelaki dan perempuan.