Teori Pertama:
Di Tanah Melayu penyebaran agama Islam amat unik. Ia berlaku tanpa sebarang pertumpahan darah. Kemasukan Islam di Tanah Melayu bermula selepas Parameswara Raja Melaka memeluk Islam dalam abad ke 15. Pengislaman Parameswara tidak mempunyai hubung kait dengan kekayaan yang dimiliki oleh pedagang-pedagang Islam yang berurusan di Melaka. Malah ketika itu pedagang dari India, China dan Eropah juga turut berurusan di perairan Melaka.
Cuba anda bayangkan bagaimana usaha dakwah yang dilakukan oleh mubaligh Islam ketika itu untuk mengislamkan seorang raja yang berkuasa dan berpengaruh. Menukar agama bukan semudah penukaran barang dagangan atau pakaian sutera yang tersarung di badan. Penukaran agama lama kepada agama baru melibatkan pengorbanan ke arah pengabdian spiritual dan fizikal yang amat berat dan sukar.
Namun pendakwah-pendakwah Islam yang datang dari Arab, Parsi, India dan China ketika itu berjaya mengislamamkan raja Melaka. Rahsia pengislaman Parameswara adalah dikaitkan dengan keindahan akhlak yang ditunjukkan oleh orang-orang Islam ketika berurusan di pelabuhan Melaka. Amanah, berbudi pekerti, menepati janji serta bersopan santun sebagaimana yang dianjurkan Islam dipratik secara zahir dan batin oleh pedagang-pedagang Islam ketika itu.
Dikisahkan sebelum Parameswara memeluk Islam, pada suatu hari, baginda telah melihat perlakuan sekumpulan pedagang-pedagang Islam yang sedang sembahyang berjamaah. Baginda kagum melihat mereka yang bersembahyang itu kerana terdiri dari pelbagai bangsa seperti Arab, Parsi, India dan China melakukan perlakuan yang sama dengan diketuai oleh seorang imam.
Selepas tamat bersembahyang mereka berjabat salam tanpa membezakan negara yang mereka datang serta warna kulit yang mereka miliki. Mereka juga saling berpelukan dan beramah mesra bagaikan bersaudara sedangkan mereka baru pertama kali bertemu.
Raja Parameswara bertanya kepada pembesar dan hulubalang-hulubalang yang mengiringi beliau,“Pernahkah kamu berurus dagang dengan mereka?”
Shahbandar yang turut mengiringi baginda berkata,“Amat mudah apabila berurusan dengan mereka, mereka sentiasa beramah mesra dan tidak menipu, apabila berjanji mereka tepati, apabila berhutang mereka tidak mengenakan bayaran yang tinggi dan mereka juga murah hati dan mudah memberi.”
Parameswara bertanya lagi,“Apakah nama tuhan yang mereka sembah itu dan apakah nama agama mereka.” Seorang hulubalang yang telah memeluk Islam menjawab,“Tuhan mereka dipanggil ALLAH dan agama mereka disebut ISLAM.” Lalu baginda bertitah kepada seorang pembesarnya,“Titahkan ketua di antara mereka itu menemui beta.”
Parameswara dikatakan memeluk agama Islam selepas peristiwa tersebut.
Sebagai seorang raja, baginda menyedari sekiranya diri beliau dan seluruh rakyat baginda memiliki akhlak dan keperibadian sebagaimana yang ditunjukkan oleh pedagang-pedagang Islam tersebut nescaya negeri Melaka akan menjadi aman, makmur dan sejahtera. Tidak akan berlaku rasuah, terhapus segala kemiskinan, golongan kaya akan bermurah hati membantu yang miskin, rakyat akan bersatu padu, jenayah akan dibasmi dan pemerintahan baginda akan dihormati dan disegani.
Islamnya Parameswara memberi kesan yang besar kepada Melaka sehingga hampir semua pembesar dan rakyat Melaka menerima Islam. Maka terbentuklah sebuah tamadun Melayu yang berasaskan dari ketamadunan Islam yang kemudiannya berkembang ke seluruh pelusuk Tanah Melayu.
Teori Kedua:
Parameswara memeluk Islam dengan dakwah Laksmana Cheng Ho yang singgah di Melaka.
Ketika itu Melaka diancam oleh Siam yang mahu menakluki Melaka kerana peranannya sebagai pelabuhan entreport terkemuka di rantau ini. Jadi Apabila kapal Laksamana Cheng Ho berlabuh di Melaka, Parameswara mengambil kesempatan untuk meminta perlindungan daripada Kerajaan China.
Cheng Ho kemudiannya telah kembali ke China dan menyampaikan hasrat Parameswara itu kepada Maharaja China lalu baginda telah mengutuskan rombongan ke Melaka untuk memberi perlindungan kepada kerajaan pemerintahan Sultan Iskandar Syah. Maharaja China uga telah memberikan perutusan berupa amaran kepada Siam supaya tidak mengganggu Melaka kerana Melaka sudah berada dibawah naungan China atau sekiranya mereka berdegil, mereka perlu berdepan dengan China.
Laksamana Cheng Ho telah kembali ke Melaka beserta rombongan dari China dengan bekalan bahan letupan dan meriam serta kelengkapan perang. Ramai cendekiawan China datang ke Melaka untuk mengkaji budaya serta menambah ilmu pengetahuan masing-masing di Melaka.
Maka ramailah yang telah berkahwin dan menetap di Melaka ketika itu dan majoriti masyarakat serta pengikut Laksamana Cheng Ho adalah beragama Islam termasuk dirinya sendiri. Beliau telah banyak mempengaruhi masyarakat setempat untuk mengikut ajaran Islam termasuklah Parameswara.
Demi menjaga hubungan baik dengan China, Parameswara pun memeluk Islam setelah menerima dakwah dari Cheng Ho. Parameswara memeluk Islam diikuti para pembesar istana kemudiannya rakyat jelata. Tujuan asal baginda memeluk Islam ialah atas dasar politik dan keselamatan Melaka. Islam datang ke Melaka melalui China bukan melalui pedagang-pedagang. Pedagang Arab dikatakan datang lebih lewat dan cuma mengembangkan ajaran Islam. Sebelum kedatangan pedagang-pedagang Arab, orang Melayu telahpun memeluk Islam.
Percampuran masyarakat yang berlaku di Melaka akhirnya mewujudkan suatu bangsa yang dikenali sebagai bangsa Melayu. Mereka ini bertutur dalam dialek tempatan iaitu Bahasa Melayu danberubah-ubah mengikut sebutan masing-masing. Masyarakat Melayu Melaka ketika itu dikatakan menjadi pelopor ataupun asas kepada pembentukan Melayu lain di Semenanjung dimana segala adat budaya Melayu berpusat di Melaka.