Friday, March 04, 2011

Melaka Cuisine: Kuih Koci Pulut Hitam


Kuih koci adalah sejenis kuih tradisional masyarakat Melayu. Terdapat pelabagai jenis kuih koci yang menjadi identiti masyarakat Melayu termasuklah kuih koci pulut hitam, kuih koci pulut putih, kuih koci labu dan kuih koci koleh santan. Kuih koci juga turut menjadi kegemaran masyarakat berbilang bangsa di Malaysia seperti masyarakat Cina, India, Chitty, Portugis dan sebagainya.


Kuih koci bukan sahaja dimasak oleh masyarakat Melayu namun bagi masyarakat Baba Nyonya Melaka, mereka mempunyai resipi kuih koci tersendiri yang unik dan berbeza berbanding kuih koci biasa. Dalam masyarakat Melayu, kuih koci sering kali menjadi hidangan pada Hari Raya Korban dan majlis-majlis kenduri.


Sewaktu Hari Raya Korban, pelbagai jenis kuih-muih tradisional (kuih basah) seperti kuih bakar basah, kuih koci, kuih talam, seri kaya, pulut inti, kuih genggang, kuih bingka dan sebagainya akan menjadi hidangan istimewa bagi masyarakat Melaka. Kuih koci antara yang paling digemari dan hidangan yang wajib ada pada ketika itu.


Kelazatan dan keistimewaan kuih koci terletak pada intinya. Inti kuih koci diperbuat daripada kelapa muda, gula melaka dan beberapa bahan lain perlu dimasak dengan sempurna supaya tidak menjejaskan kualiti rasanya. Kuih koci pulut hitam adalah yang paling popular dalam masyarakat Melayu malah hanya sesetengah orang sahaja yang mampu memasaknya dengan sempurna.

Kuih koci koleh santan pula sangat mudah dihasilkan. Masyarakat Melayu akan meletak sedikit santan koleh pekat di atas kuih koci sebelum membungkusnya kemudian dikukus seperti biasa.