Tuesday, December 28, 2010

Melaka Cuisine: Genggang Gula Melaka


Kuih Genggang atau lebih dikenali sebagai kuih lapis di tempat lain adalah merupakan sejenis kuih tradisional masyarakat Melayu. Di Melaka, kiuh genggang boleh didapati dimana-mana sahaja gerai kuih, restoran mahupun di hotel-hotel. Terdapat beberapa jenis kuih Genggang di Melaka antaranya adalaha kuih Genggang Gula Melaka, kuih Genggang Nyonya dan Kuih Genggang biasa.

Kuih Genggang Gula Melaka tidak jauh bezanya dengan kuih Genggang biasa Cuma pewarna atau inci digantikan dengan air gula Melaka. Jadi, kuih yang terhasil adalah bewarna coklat perang dan berbelang-belang putih. Belang-belang yang terdapat pada kuih inilah yang telah membuatkan masyarakat di Melaka memanggilnya sebagai kuih Genggang.


Kuih Genggang sering menjadi pencuci mulut untuk majlis-majlis kenduri kahwin, tahlil dan lain-lain. Kini, penggunaan pewarna ataupun inci lebih meluas berbanding gula Melaka menjadikan kuih Genggang Gula Melaka ini kian dilupakan.

Rasa kuih Genggang yang lembut dan lazat menjadikan kuih ini antara kuih kegemaran segenap lapisan masyarakat di Melaka dari sekecil-kecil kanak-kanak hinggalah sebesar-besar datuk dan nenek (termasuk yang tidak bergigi penuh :P).

Adunan tepung akan dibahagikan kepada dua warna iatu warna putih dan warna coklat perang dan akan berselang seli. Setiap lapisan perlu dibiarkan masak dan kenyal barulah boleh dilapiskan lapisan seterusnya. Jika pandai dan cermat buatannya, anda akan mendapati setiap lapisan boleh dicabut sekeping demi sekeping dan kanak-kanak gemar berbuat demikian.

Jadi, mari cuba resepi kuih Genggang Gula Melaka yang istimewa ini:

Bahan-bahan:
1 1/2 cwn tepung gandum
1/4 cwn tepung beras
1/4 cwn tepung jagung
1/2 cwn gula pasir (mengikut kadar kemanisan yang dikehendaki)
3 cawan santan (ikut keperluan)
1 sudu teh garam
Air gula Melaka (gula Melaka dicairkan dengan sedikit air)
1/2 camca teh esen vanila (sekiranya perlu)


Cara-cara:
1. Panaskan pengukus. Sapukan loyang dengan sedikit minyak dan masukkan loyang ke dalam pengukus.
2. Campurkan kesemua bahan kecuali air gula Melaka dan esen vanila.
3. Kemudian tapis adunan dan dibahagikan kepada dua bahagian.
4. Satu bahagian dicampurkan dengan air gula Melaka dan campurkan sedikit esen vanila. Satu bahagian lagi dibiarkan putih (tanpa campuran gula Melaka dan esen vanila)
5. Mulakan lapisan bawah dengan adunan berwarna putih. Biarkan selama 6min-8min atau sehingga masak barulah dimasukkan dengan lapisan adunan bercampur gula Melaka. Ulangi sehingga adunan habis.

Selamat mencuba!