Masak lemak siput sedut dengan batang dan isi keladi merupakan masakan popular masyarakat Melayu di Melaka. Selain boleh dimasak asam, siput sedut boleh juga dimasak lemak dan dicampur dengan batang dan isi keladi. Masih ramai warga Malaysia yang belum mengetahui ataupun pernah mencuba siput sedut. Ssetengah rakan Riqq tidak tahu cara untuk memakan siput sedut.
Ada yang meniup, ada yang menyedut tetapi terbalik dan ada juga yang memecahkan cengkerangnya! Untuk pengetahuan anda, cara yang betul untuk mengeluarkan isi siput sedut adalah dengan menyedut siput ini pada lubang yang paling besar dan apabila isinya telah keluar, tarik penutup pintu rumah siput ini yang berbentuk bulat dan buangkannya. Penutup ini tidak boleh dimakan kerana merupakan lapisan kitin yang sangat keras dan tidak boleh dihadam.
Siput sedut banyak didapati di pantai-pantai berselut di seluruh Melaka seperti di Pantai Sebatu di Sebatu, Sungai Rambai dan Pantai Siring di Pulai.
Apabila air pasang, siput sedut akan naik beramai-ramai ke pokok kayu bakau untuk mengelakkan diri daripada lemas dan tenggelam dalam air laut. Jadi, para pencari siput sedut di sekitar Melaka akan memulakan misi menculik sput-siput yang melekat pada batang kayu bakau.
Menurut pantang larang, pencari siput tidak dibenarkan berbuat bising atau memanggil nama rakan-rakan sepencarian kerana orang yang memanggil akan mendengar namanya pula yang dipanggil. Ada juga yang mengatakan siput sedut hanya boleh dikutip pada waktu bulan telah mengambang penuh. Sekiranya dikutip bukan pada waktu yang sesuai, siput sedut tidak dapat disedut walau sekuat manapun anda mencuba. Pernah terjadi bukan? Siput yang disedut tidak mahu keluar.
Satu lagi petua orang Melaka, sekiranya anda ingin memasak siput, berilah siput-siput sedut anda makan hampas kelapa atau kelapa parut sehari sebelum dimasak. Ini bertujuan untuk menjadikan isi siput yang akan dimasak lebih lemak dan manis serta siput-siput tadi dapat membuang sisa lumpur dari perut mereka, maka kuah lemak akan menjadi sangat lazat dan tidak berbau hanyir.
Siput sedut yang dibeli dari pasar atau dibeli terus daripada pencari siput tidak boleh dibersihkan terus lumpurnya. Biarkan sahaja sehingga hari untuk dimasak untuk mengelakkan siput-siput tersebut kekeringan. Pastikan anda membeli siput segar dan masih belum mati dengan cara memeriksa samada siput-siput tadi melekap pada beg plastik.
Semasa membersihkan lumpur dari siput, gunakan batang anak pisang. Tenyeh-tenyehkanlah batang anak pisang dengan sekuat hati anda untuk menanggalkan kesan-kesan lumpur yang degil. Bilas beberapa kali dan setelah bersih, hujung siput yang tajam perlu dipotong sedikit supaya boleh disedut dan untuk membuang bahagian yang tidak digemari.
Setelah dipotong, bilas semula dan siaplah untuk dimasak. Masak lemak dengan batang keladi dan isi keladi memang sangat lazat, sekiranya anda ke Melaka, jangan lupa untuk mencuba lauk ini di restoran-restoran mahupun gerai-gerai.
Lauk masak lemak siput sedut ini sangat enak dimakan bersama sambal belacan dan ikan kering atau ikan goreng. Kalau makan beramai-ramai bersama keluarga memang meriah. Satu rumah bunyi cencorot! Cruuut...Cruuuuuuut...Hahaha :P
Nak tahu resepinya?
Bahan-bahan:
1 kg siput sedut (dipotong sedikit pada bahagian yang tajam, bersihkan dengan menggunakan batang anak pisang dan dicuci sehingga lumpur hilang)
6 ulas bawang merah (dimesin)
6 ulas bawang putih (dimesin)
Halia setengah inci (dimesin)
2 sudu kunyit hidup dimesin
4 sudu lada mesin (cili kering)
Sedikit garam
Sedikit serbuk perasa
Sebelah asam keping / asam gelugor
Santan kelapa (1 biji kelapa untuk 1 kilo)
2 rumpun batang keladi (dicelur terlebih sehingga empuk dahulu)
Isi keladi dibelah kepada 4 bahagian (dicelur sekali dengan batang keladi sehingga empuk)
Cara-cara:
1. Didihkan 2 cawan air yang dimasukkan bawang merah, bawang putih, halia, lada mesin, asam keping, kunyi dan siput. Tunggu sehingga mendidih
2. Setelah emndidih, masukkan santan dan batang serta isi keladi. Tunggu sehingga mendidih.
3. Masukkan sedikit garam dan serbuk perasa.
4. Siap untuk dihidangkan.
Cubalah!